Thursday, August 13, 2009

Bukan Dia

Sejak Sabtu lalu, hampir semua media perdana di rantau ini dan antarabangsa terarah kepada satu isu yang telah lama ditunggu. Tewasnya Nordin Mohd Top dalam pertempuran 18 jam dengan Densus 88 di Temanggung Jawa Barat, Indonesia.

Hari itu aku kerja pagi. Sepatutnya jam 9.45 aku perlu berada di pejabat kerana jam 10 akan ada mesyuarat editorial. Tetiba di hari berkenaan, dompet aku hilang. Nasib baik pakaian tidak dihantar ke kedai dobi lagi. Cari punya cari ada dalam longgokan baju busuk.

Jadinya aku terlewat, bukan sikit tetapi banyak. Dengan muka toyer aku ke pejabat. Produser agak tertekan. Aku cuba kawal keadaan dengan memantau siaran dari Metro TV, Trans TV dan RCTI.

Pada masa yang sama mata aku tertumpu pada sebarang perkembangan yang disiarkan melalui online.

Operasi di dua serentak, satu di kawasan perumahan Nusapahala, Bekasi, Jakarta Timur dan satu lagi di Temanggung, Jawa Tengah.

Aku agak keliru dengan laporan berita. Dengan perbendaharaan bahasa Indonesia yang semakin tercemar dengan anasir bahasa asing, adakala membuatkan aku susah memahaminya. Situasi semakin tidak selesa apabila ramai yang bertanya perkembangan semasa, sedangkan aku perlu siapkan kerja sebelum jam 1.15, aku tahu, ia akan menjadi headline dan lead story.

Pada jam 11 dilaporkan, terdapat empat orang beradaa dalam rumah di Temanggung. Seorang daripada mereka dikenalpasti sebagai Nordin Mohd Top. Kepungan dengan tembakan selama 18 jam telah berakhir dan akhir mayat dibawa keluar.

Aku tertanya, mana lagi tiga?

Vox pop dengan penduduk sekitar memberi respon yang mereka mendengar suspek merayu dan menjerit meminta tolong sewaktu dihujani dengan pelancar bom tangan dan tembakan.

Sekaligus keraguan terdetik? Adakah manusia yang bernama Nordin Mohd Top akan berbuat demikian, merayu simpati tatkala dipadam kudrat.

Akhhirnya mayat yang disarung plastik kuning dibawa ke ambulans.

Macam nak rak lintas langsung dari Metro TV. Naik muakpun ada terlebih sensasi. Macam-macam andaian yang dibuat. Ia cuba dirangkum dari segala perspektif. Aku ketepikan perkara mengarut kerana mengejar masa untuk Buletin 1.30.

Ketika itu persoalan terus timbul. Macamana dengan ujian DNA? Ini penting kerana mayat suspek rosak teruk. MUkannya terbelah dua. Ini yang tidak dilaporkan.

Kemudian, selepas mayat dibawa ke Lapangan Terbang Hadisucipto untuk diterbangkan ke Jakarta, baru ada laporan yang suspek ketika ditemui memakai vest yang penuh berisi bahan letupan.

Satu lagi persoalan yang timbul? Kalau sudah pakai vest mengapa tidak meletupkan diri? Sebaliknya meminta simpati. Bukankah apabila bahan letupan berada di badan ia bermakna, suspek sudah bersedia korbankan diri?

Sebelah petangnya diadakan sidang akhbar oleh jurucakap POLRI, Nanan Soekarna. Ujian DNA akan tentukan siapakah suspek.

Tetapi media Indonesia bagai tidak sabar-sabar lagi, mendakwa kononnya yang mati adalah Nordin dan pihak berkuasa Indonesia sendiri seolah-olah memberi klu, itu adalah Noordin. Pada sidang akhbar yang sama, turut diperjelaskan operasi di Bekasi yang berjaya menumpaskan dua suspek, iaitu Air Setiyawan dan Eko Joko Sarjono.

Berdasarkan keterangan Amir Abdullah salah seorang daripada 3 orang yang berjaya ditangkap dalam operasi di Bekasi, mereka merancang untuk melancarkan serangan ke atas kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang terletak tidak jauh dari situ.

Laporan awal menyebut jaraknya, 3 kilometer kemudian jadi 5 kilometer kemudian jauh lagi jadi 7 kilometer? Apakah ini semua? Kenapa tiada ketepatan dalam membuat laporan? Kenapa jarak berubah-rubah? Adakah rumah suspek di Bekasi bergerak-gerak macam caravan?

Selepas itu ditemui poster Presiden Susilo yang kononnya digunakan sebagai sasaran tembakan. Hairan cucu pelik anak ajaib namanya. Cuba bayangkan, macamana latihan menembak boleh diadakan di kawasan perumahan yang agak padat?

Kesokan hari, semua tertumpu kepada laporan DNA selepas bentuk fizikal suspek yang ditembak mati di Temanggung, berbeza dengan lakaran yang dibuat pihak berkuasa Indonesia.

Terus menjadi persoalan yang terbunuh kemungkinan besar bukan Noordin.

Berita terus menjadi hinggar binggar. Keluarga Noordin melalui jurucakapnya kemudian mengesahkan yang mereka telah memberikan sampel DNA. Kesudahannya siapa lelaki mati ditembak?

Bagaikan dapat meneka sesuatu yang tidak kena, media Indonesia mula memperlahankan laporan dan cuba mengusik sesuatu yang sensitif. Noordin rakyat Malaysia yang melancarkan serangan bom di Indonesia.

Aku ucapkan tahniah kepada Duta Besar, Datuk Zainal Abidin Zain kerana menyindir dan membelasah dengan baik pertanyaan media republik itu. Aku memang pakai dalam Buletin Utama. Kalau tidak tidak silap aku lebih kurang macam ini." Saudara perlu ingat siapa guru Noordin Mohd Top. Gurunya siapa? Abu Bakar Bashir, di mana dia belajar? di Indonesia.

Bagi aku jawapan yang memberi makna mendalam. Kecuali wartawan tongong yang tidak dapat memahami maksud duta besar.

Tepat jam 9.20 pagi semalam, sidang akhbar diadakan. Akhirnya apa yang dinantikan dijawab. Ujian DNA menunjukkan ia bukan Noordin. Sebaliknya Ibrohim atau Boim atau A'ang.

Dalam sidang akhbar yang diadakan diberikan versi siapa Ibrohim ini? Dia kononnya antara suspek utama yang diburu kerana terbabit dalam dua serangan ke atas hotel mewah di Kuningan bulan lalu.

Aku mengigit jari, kenapa baru sekarang nama Ibrohim muncul.

Kenyataan rasmi itu memberikan tamparan kepada keghairan segelintir individu dan yang paling terkedu media negara itu yang cuba menganyang Malaysia.

Hakikatnya nasib Noordin masih belum diketahui. Dalam erti kata lain Noordin masih bebas.

Mungkin juga Noordin telah lama mati dan wataknya yang dihidupkan mereka yang tertentu untuk memburukkan hubungan Kuala Lumpur-Jakarta. Ini juga perlu difikirkan. Aku melihat situasi yang berlaku adalah konspirasi pihak berkuasa negara itu, bagi menutup malu akibat serangan bom 17 Julai lalu. Caranya mudah alihkan tumpuan.

Aku sama sekali tidak menyokong apatah lagi bersetuju dengan keganasan, tetapi terdapat segelintir pihak di negara itu yang cuba mengalihkan tumpuan isu dalam negeri seperti pengangguran, kemiskinan, penyelewengan dan sebagainya kepada isu pengganas. Apabila ini terjadi, sekaligus seorang rakyat Malaysia yang bernama Noordin Mohd Top akan dikaitkan.

Dalam erti kata lain, ia menjadi perkara mudah untuk melonjakkan semangat taksub rakyat negara itu. Hakikatnya Malaysia sering menjadi mangsa. Sebenarnya bukan Noordin seorang sahaja yang mempunyai kebolehan membuat bom. Ramai lagi rakyat negara itu yang mempunyai kemahiran yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Noordin.

Dalam sidang akhbar yang diadakan semalam, ada 8 lagi yang sedang diburu. Mengapa mereka ini tidak diperincikan dan pastinya setiap seorang daripada mereka juga mempunyai potensi untuk melakukan serangan bom.

Pihak berkuasa dan media negara itu sepatutnya bukakan mata, telinga dan lubang hidung yang di negara yang bernama Indonesia masih terdapat kumpulan pemisah yang bergerak aktif. Apakah mereka tidak mempunyai kemungkinan untuk melakukan serangan?

Jangan lupa yang di negara seberang, pentas sandiwaranya amat ketara. Dalam ertikata lain mereka suka bermain wayang....tak percaya? Cubalah berurusan dengan mana-mana kantor. Pasti anda tidak akan mempunyai kenangan terindah.

Mungkin juga, apa yang berlaku minggu lalu, sebahagian sinetron pihak tertentu di negara itu? Segalanya mungkin.

1 comment:

  1. bangus bangat artikel engko ini. huraian yang tepat dan tidak berselindung. Kalau engko benarkan atas keizinan engko aku nak siarkan tukisan engko ini dalam blog aku. Ok ke? kalau tak keberatan

    ReplyDelete