Wednesday, September 15, 2010

Anuar Zain - Perpisahan

Hanya sasau @ gila yang dapat menghilangan ingatan aku terhadap dia. Kerana masih waras, kenangan selalu datang menujah.

Wednesday, July 21, 2010

Berganti Hati (No Song) (Anggun Channel Video)

Pertama kali dengar lagu ini, berkali-kali aku ulang dan terus ulang. Jadikan senikata nan indah sebagai teman dan kekuatan vokal Anggun memenuhi santapan telinga. Hanya mereka yang melalui, memahami setiap erti bait yang tersirat...

Friday, July 16, 2010

Menaut Silaturahim

Pertemuan petang semalam di Old Town Kopitiam dekat Ampang Point, berlangsung dalam keadaan santai. Di sebalik hujan gerimis tersirat seribu maksud. Detik-detik yang berlalu menyaksikan pertemuan semula keluarga yang terpisah sejak lebih 150 tahun lalu.

Kisah Perang Bendahara, biarlah menjadi rakaman sejarah. Kehadiran Ku Nine, kerabat Pahang, Engku Azuan dari Johor Bahru yang juga bersusur galur dari nasab yang sama dan Datuk Ramona Murad memberi seribu satu makna terhadap penyatuan semula keturunan Bendahara Seri Wak Raja Tun Ali.

Selepas berjaya dalam Perang Bendahara, Wan Ahmad membentuk dinasti memerintah Pahang sehingga ke hari ini. Bagaimanapun nasab kekandanya, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir tidak banyak dicatatkan dalam sejarah secara bertulis. Kalau ada hanya kebelakangan ini, hasil ketekunan kekanda Suzana M Osman, yang juga dari jurai Tun Mutahir. Mungkin sudah tiba masanya selepas mencecah tujuh keturunan, keluarga yang berpecah ditakdirkan untuk kembali berjemaah semula.

Banyak pengajaran yang boleh dititip dari masa lalu. Kisah-kisah yang berlaku bukan lagi untuk diungkit sebaliknya berguna untuk menjadi madah dalam menguat kesatuan ketuanan Melayu. Bak kata pepatah Turki "Sejarah cerminan masa lalu, tafsiran masa kini".

Tuesday, July 13, 2010

Menyusur Salsilah

Tulisan dalam entry sebelum ini mengenai moyang nenek aku, Tun Sharifah menarik perhatian salah seorang kerabat Pahang. Ketika menerima mesej, tanpa berlengah aku menghubungi Ku Nine. Kami berceloteh seolah-olah telah lama mengenali satu sama lain.

Selapis demi selapis kami cuba merungkai siapakah Tun Sharifah. Ia menjadi cabaran kerana semua generasi arwah nenek aku telah kembali ke alam baqa'. Beberapa fakta cuba kami simpul untuk menyokong cerita lisan.

Mak sepupu dan bapa sepupu aku yang juga pangkat piut dan pernah berjumpa dengannya. Tun Sharifah meninggal di kala berusia 112 tahun, di sekitar tahun 50 an. Ketika itu dia telah nyanyuk dan bila petang akan menyebut-menyebut ingin balik ke istana. Dia pernah berkhidmat dengan almarhum Sultan Zainal Abidin III kerana menjadi pengasuh kepada almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, nenda kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Cerita lisan yang disampaikan kepada kami dari generasi ke generasi, arwah menceritakan yang dia kaum keluarga Engku Tanjung dan pangkat sepupu dengan Tengku Ampuan Pahang.

Galakan dari Ku Nine mendorong aku menyiasat siapakah Tun Sharifah. Kesempatan itu tiba bila berjumpa Ayah Chik Cheng, bapa sepupu aku di IJN. Walaupun dalam menerima rawatan Ayah Cheng masih memberi kerjasama. Akhirnya dapat maklumat tambahan dan petunjuk penting.

Tun Sharifah sempat bercerita yang ayahndanya bernama Tun Mutahir....Oh, ini fakta mengejutkan. Berdasarkan maklumat itu, aku menghubungi Ku Nine dan dia bercakap sendiri dengan Ayah Cheng.

Sejurus selepas itu, Ku Nine telefon semula dan memaklumkan aku, salah seorang anak Bendahara Tun Mutahir, yang dikenali Engku Nit @ Sonit tidak diketahui.

Jika maklumat ini benar, terdapat kemungkinan Engku Sonit dan Tun Sharifah adalah orang yang sama. Salah seorang daripada tiga orang anak perempuan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Dua yang lain dapat dikesan. Engku Chik berkahwin dengan Sultan Abu Bakar, Johor. Engku Puan berkahwin dengan Sultan Mahmud Lingga. Kalaulah itu menjadi fakta, bukan sesuatu yang pelik kepada Engku Sonit untuk bermastautin di Kuala Terengganu kerana di situ masih ramai kaum keluarga Bendahara dan kemudian berkahwin dengan Ismail. (ada sumber kata nama sebenarnya Tun Ismail dari Pulau Duyong. Dari perkahwinan ini melahirkan oneng kami Hajjah Nik). Hal yang sama juga dilakukan Tengku Safiah adinda kepada Sultan Mahmud. Dia tidak kembali ke Lingga selepas Raja Mongkut mangkat. Sebaliknya bermastautin di Kuala Terengganu dan berkahwin lain.


Perang Bendahara antara Tun Mutahir dengan adindanya, Wan Ahmad yang kemudian dikenali Sultan Ahmad 1 Pahang menyebabkan banyak keluarga terpisah. Mungkin sudah tiba masanya, jurai yang bercerai dicantum semula.

Tuesday, June 22, 2010

Perpisahan

Di kala insan lain menikmati kemanisan mimpi, mata ini semakin segar menemankan aku. Tetiba lagu ini berkumit di mulut. Jari bertemankan tembakau tanpa secangkir kopi, aku merenung sepuasnya ke lebuhraya. Hutan masih berbalam kehijauan walaupun dalam kepekatan. Naluri bersuara, atas nama perpisahan biarlah masa menghakimkan segalanya....atas fitrah alamiah, aku tidak akan mendendami, walau bertalu ditipu. Aku tetap sisipkan doa, semoga kebahagiaan dia berpanjangan....

Thursday, June 17, 2010

Kembali Semula

Lama sekali blog ini ditinggalkan. Tetapi ia tidak bermakna, ia disisihkan. Sebolehnya aku tidak ingin menggunakan masa sebagai kekangan. Masa tetap ada, cuma kudrat akal dan jasad amat terhad. Sepanjang tiga bulan lalu, banyak sekali kisah yang boleh dimadah. Semoga apa yang cita terlaksana.

Perjalanan selama 18 hari ke City of Angel, yang kemudian menjadi medan berdarah perlu dikisahkan. Di sebalik kesibukan di siang hari, masih ada masa untuk bercengkerama. Tetapi bukan dengan kupu-kupu malam. Kunjungan ke Bangkok kali ini, menemukan semula dengan ARO. Ia sesuatu yang menyentuh perasaan selepas berbelas tahun kami membawa diri.

Di malam hari juga aku aktif berchatting, sesuatu yang luar biasa berbanding sebelum ini. Ketika itu, aku disapa Tg Ismail Tg Su, cicit almarhum Sultan Zainal Abidin Ketiga. Dia yang aku panggil Ayahku mengingatkan aku tentang perkahwinan Cha Choam Sufiah atau Tengku Sufiah dengan Raja Mongkut, pada 1857. Dia yang juga bonda saudara Sultan Zainal Abidin menjadi korban percaturan politik.

Ketika itu, Tengku Sufiah mengikuti kekandanya, Sultan Mahmud Riau-Lingga yang diturunkan takhta oleh Belanda. Dia cuba mencari pengaruh Siam untuk kembali berkuasa. Nasib malang menimpa Tengku Safiah apabila kejelitaannya dipandang Mongkut. Dia menjadi salah seorang daripada berbelas gundik Raja Siam.

Cerita yang disampaikan kepada kami, perkahwinan itu tidak melahirkan sebarang zuriat. Tengku Safiah ke Terengganu selepas Mongkut mangkat. Dia akhirnya dikahwinkan sekali lagi dengan Ku Din Molek @ Ku Din Comel, seorang kaki perempuan di zamannya. Perangai Ku Din yang keterlaluan menyebabkan Sultan Zainal Abidin mengarahkan supaya bapa sepupunya dibunuh.

Generasi lama keluarga diraja Terengganu dan Riau-Lingga menyimpan versi tersendiri mengenai Tengku Safiah. Ia satu kisah tragis sebagaimana nasib yang menimpa Sultan Mahmud Lingga yang kemudian mangkat di Pekan, Pahang.

Bandaraya Bangkok bukan asing bagi kami. Sesekali bila bertandang, aku cuba membayangkan generasi lama kami pernah berada di situ. Sama ada dari jurai Pattani atau Riau Lingga. Kedua elemen itu, aku warisi dari sebelah Tok Ki.

Banyak sekali cerita mengenai Bangkok. Aku percaya tanpa hikayat malam, banyak lagi kisah menarik dipaparkan.