Marhaban Ya Ramadan..Bulan yang penuh keampunan dan keberkatan. Pejam celik hampir seminggu kita lalui detik-detik indah, kemanisan bulan yang terkandung penuh kehikmatan. Kerana sekali setahun, ia menjunjung seribu satu kenangan.
Rutin hidup aku tidak banyak beza kecuali belajar dan terus berusaha mencukupkan sembahyang 5 kali sehari semalam dan cuba ditambah dengan solat sunat terawih, berjemaah. Aku akui, walaupun mendapat didikan agama hidup ini pernah melencong kerana terpana pada keindahan duniawi.
Aku rasa bersyukur kerana masih ada ruang untuk beramal ibadat dalam keadaan sihat. Kepulangan beberapa teman ke pangkuan Rabbul Jalil, adakala membuat aku terfikir, masa aku juga akan tiba. Aku diterjah rasa yang hakikatnya aku dan kita semua semakin dihampir Izrail. Di saat itu, wajah mereka yang aku sayang yang kini berpindah dari alam fana' muncul.
Adakala perasaan aku dicubit kenangan. Satu persatu permainan yang pernah aku lalui hadir pada ruang masa. Insan-insan yang aku sayang dan kesudahannya berakhir dengan kenangan. Jika aku bersalah, mungkin masa sekarang menghukum aku. Jika aku dipermainkan biarkan keindahan menggulitku.
Selepas hampir seminggu, aku masih mampu mengekalkan rutin berbuka puasa dengan sedarhana. Cukuplah apa yang ada. Kaki masih belum menginjak Bazar Ramadan. Kelaziman aku berbuka sekadar kurma, muesli dan dadih bersama sedikit buah. Ada masa lintasan perasaan sebak berbuku. Inilah perjalanan hidupku, selepas 39 tahun.
Persiapan untuk Eid Mubarak, aku memilih untuk terus bekerja. Entah beberapa tahun bertugas di Hari Lebaran aku tidak pernah ambil kira.
Cuma semalam, tatkala berterawih bila melihat segak mereka berpakaian baju melayu sedangkan aku sekadar berpelikat dengan baju T. Hati aku berdetik bila kali terakhir aku membeli baju Melayu. Oh!!! lima tahun lepas. Bukan soal tidak mampu, tetapi mengapa aku tidak cuba untuk memiliki. Apakah di sebalik semangat jatidiri Melayu yang cuba aku pupuk, di satu segi aku membunuh budaya itu? Itu permainan yang bermain di kepala.
Sepasang baju Melayu juga mempunyai cerita tersendiri. Kini ku alas kisah itu di dalam kotak memori. Jika dikenang, mungkin aku merasakan tidak perlu lagi memiliki baju Melayu.
Aku juga membuat keputusan untuk pergi jauh selepas bekerja di Hari Raya. Aku juga akan menziarahi ARO yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di sebuah negara asing. Bila dikira conggak anaknya kini berusia 9 tahun. Membuat aku sebak, anak ARO tidak pernah mengenali ARO dan aku tidak tahu status perkahwinannya. Selepas itu aku akan meneruskan kelana selama 10 hari. Insya Allah.
Ya Allah azan subuh telah mengetuk pendengaranku....Selamat tinggal lamunan dan terima kasih kerana menemani ku di saat menunggu subuh.
Apabila ramai orang yang rapat ngan kita kembali ke rabbul jalil memang teras seolah-olah selepas tu macam turn kita pulak.
ReplyDeleteSyok aku tengok gambor engko di mekah, bila la aku dapat jadi tetamu Allah.
Buat la catatan ke mana engko pergi nanti untuk berkongsi rasa suka dan dukanya.Sanap la gambor tempat-tempat menarik