Friday, September 11, 2009

Di Mana Kita

16 September depan berakhirnya, sambutan Bulan Kemerdekaan dan 20 September, umat Islam akan menyambut Eid Mubarak. Tidak seperti kelaziman, tahun ini Hari Kebangsaan disambut dengan cukup sedarhana. Tanpa perarakan besar-besaran, yang penting tiada "count down" yang gila-gila sebagaimana sebelumnya.

Inilah hikmah sambutan 31 Ogos di bulan Ramadan. Aku benci dengan sambutan yang bukan bertunjangkan nilai setempat. Konsert sana sini. Sejak sekian lama, budaya kuning dipinjam untuk semata-mata untuk meraikan detik yang bersejarah. Tanpa disedari mereka mencemari natijah perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan.

Seandainya tokoh pejuang terdahulu melihat keghairahan tiada batasan golongan tertentu menyambut Hari Kemerdekaan, mesti hancur lulur hati mereka. Jika generasi sebelum ini menggunakan agama untuk menyemarakkan perjuangan, tetapi golongan terkemudian menggunakan arak, ganja dan maksiat untuk meraikan apa yang mereka perjuangkan.

Mungkin juga dengan pendidikan yang diterima menyebabkan mereka melihat kemerdekaan dalam bentuk yang mudah. Dalam erti kata yang lain, ia sekadar perayaan @ sambutan tanpa ada penghayatan. Saat yang bermakna hanya sekadar reaksi hiburan. Atas nama kemodenan ia cuba diraikan dengan nilai global seperti Hari Kemerdekaan di Amerika Syarikat. Inilah yang ada pada minda mereka yang tongong bin bangang.

Itu tidak mengambil kira penghayatan terhadap sejarah. Kesempitan fakta dan kejulingan terhadap subjek memburukkan lagi keadaan, Lebih dhaif bila perjuangan mendapat kemerdekaan hanya bermula pada abad ke 20, walhal banyak nyawa pejuang Melayu gugur lebih awal daripada itu.

Dari Siam, Portugis, Belanda, British dan Jepun, berapa banyak yang rebah ke bumi kerana pertaruhkan diri mempertahankan Tanah Melayu di atas nama agama Islam dan kebebasan. Sesetengah mereka bersemadi tanpa nisan dan jika ada dihiasi rimbunan semak samun.

Banyak yang menjadi wira yang tidak didendang. Jika ada nama, hanya terselit dalam lipatan mulut penduduk setempat. Tiada usaha untuk memertabat dan meletakkan mereka di makam yang sewajarnya.

Di mana penghargaan untuk Raja Haji, Si Putong, Tok Gajah, Sharif Mashor, Tok Janggut dan lain-lain lagi.

Di Kelantan dan Terengganu, nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut, hanya jadi sebutan. Tetapi tiada usaha untuk mengabadikannya pada jalan atau premis tertentu.

Mereka menjadi wira sepi yang mana satu hari namanya akan lupus ditelan waktu. Jabatan Muzium dan Antikuiti dan Arkib Negara, terus kaku dan sunyi. Mungkin fungsinya lebih serasi untuk berdiam diri.

Dua hari lepas, DBKL mengumumkan yang Jalan Berhala ditukar kepada nama tokoh MIC atas alasan menghargai sumbangan yang diberikan dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai Little India.

Butakah mata kita, yang berapa ramai tokoh nasionalis Melayu yang berasal dari Kuala Lumpur sebelum kemerdekaan, namanya kita dibiarkan lusuh dimamah zaman. Sesetengahnya mati di hujung bonet Jepun dan diratah peluru komunis. Adakah masyarakat Melayu di Kuala Lumpur ketandusan tokoh sehingga tiada nama yang layak diabadikan.

Kalau dulu ada Kampung Abdullah Hukum, sekarang apa yang tinggal? Bagi aku inilah sikap pemurah yang ada pada segelintir pentadbir dan ahli politik Melayu yang akhirnya membawa bala kepada bangsa sendiri. Tidak cukup-cukup memberi dan mereka lupa yang menerima tidak henti-henti meminta. Ibarat kunyit dengan kapur bila Tun Mahathir mengingatkan kita, yang Melayu mudah lupa.

Ruang sejarah perlu dibuka. Kelompok pejuang kiri seperti Ahmad Boestaman, Shamsiah Fakeh, Sakinah Juned dan ramai lagi terus dipandang negatif. Hakikatnya mereka golongan yang mempunyai cara tersendiri menentang British. Sekali lagi kita tidak cuba memperbetulkan propaganda dan perang psikologi yang ditanam British, yang mereka penentang orang Melayu. Ketika itu penjajah menggunakan alasan komunis untuk membangkitkan kebencian kepada mereka. Bagi aku setelah menelaah beberapa memoir yang ditulis tokoh berkenaan, ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Bila sukatan mata pelajaran sejarah melihat kebangkitan nasionalisma hanya bermula pada abad ke 20 bukannya tempoh masa sebelum itu. Sesuatu yang dikesalkan bila melihat hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan nasib orang Melayu pada 1946. Ke mana Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar dan Hizbul Muslimin.

Benarlah kata cendikiawan yang sejarah ditulis mereka yang menang.

PAS beruntung kerana lahir dari perpecahan golongan ulamak dalam UMNO. Jika ia lahir sebelum itu, mungkin PAS juga akan menerima nasib yang sama.

Sementelah Melayu masih memegang kuasa, jadikan pepatah ini sandaran, anak sendiri kebuluran, kera di hutan disusukan.

Aku sendiri takut, yang UMNO selama ini menjadi tunjang perjuangan orang Melayu akan melencong. Ramai pemimpin pelapis kekakisan jatidiri. Bukan setakat berbunga tetapi telah berputik dengan baik. Tidak perlu pergi jauh. Sebahagiannya bukan setakat berterampilan dengan berjenama mewah, malah lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian sehingga terbawa-bawa dalam perbincangan parti. Aku percaya mereka tidak bermimpi. Cuma keliru dek pendidikan yang diterima. Kekeliruan itu menyebabkan yang berkenaan kabur dalam menzahirkan amanah perjuangan. Mereka juga mamai sehingga tidak sedar di mana bumi dipijak.

Ingat Bahasa Jiwa Bangsa.....jika bahasa ibunda sendiri terpinggir ia memberi makna sesuatu perlu dilakukan segera. Melayu wujud bukan pada bentuk fizikal semata-mata tetapi yang mustahak pengisian jiwa.

Itu atas nilaian bangsa. Bagaimana pula dengan penjenamaan Islam dalam perjuangan sebagaimana yang diwarwakan....Jika dinisbah kepada ciri kepimpinan seperti yang disyarahkan Ikhwanul Safa' mengenai siasah wal qiadah, tindak tanduk sebahagian pemimpin Melayu seolah-olah jauh panggang dari bara. Atas nama politik dan kedudukan, mereka cuba mencari jalan bagi menghalalkan sesetengah perbuatan.

Bila disuarakan, akan ada persepsi yang tulisan ini cenderung kepada parti politik tertentu. Jangan melatah, kerana Islam hak milik semua. Islam itu ad Din yang syumul.

Bila ditegur kerana tidak bersembahyang, ber%#%@ dan sewaktu dengannya, ia dikata hak individu. Kalau begitu tidak payah jadi pemimpin kerana dalam Islam, pemimpin perlu menjadi contoh dan teladan kepada yang dipimpin. Pemimpin adalah imam. Itu kekuatan pejuang terdahulu. Mereka mempunyai ketokohan yang menepati syarat syara'. Bila pengisian ajaran Islam penuh di dada, mereka bukan sekadar tahu cakap, sebab itu atas nama perjuangan jiwa dan raga dikorbankan. Bukan seperti pemimpin sekarang, tidak kiralah parti mana, segelintirnya lebih mengutamakan kebendaan, pangkat dan darjat.

Keadaan sekarang mendesak umat Melayu semua bersatu. Tuntutan bangsa asing adakala sudah keterlaluan. Kembali semula kepada semangat perpaduan dan ketepikan kepentingan peribadi. Percayalah selagi bertunjangkan Islam dan bersendikan bangsa, Tidak Akan Melayu Hilang Di Dunia.

1 comment:

  1. Salam, sudah lama tidak mencurah isi hati dalam blog. Sekian lama hamba menunggu. Sangat menarik isinya dan peringatan terhadap diri sendiri.

    ReplyDelete