Eid Mubarakpun hampir dekat, satu benda aku tidak bersedia. Seperti biasa, aku akan bekerja, di kala orang lain bersama keluarga. Sejak 9 tahun lalu, ia menjadi rutin. Entah mengapa tahun ini menjadi paling malas, mungkin kerana kena penangan si penipu atau juga bajet yang semakin susut. Aku ada juga menjeling beberapa jenama yang aku selalu pakai, tetapi dalam situasi sekarang, keadaan tidak begitu mengizinkan, apatah lagi aku akan bercuti panjang selepas Eid nanti.
Aku rasa seperti biasa, cukuplah solat sunat hari raya dan terus ke pejabat dengan jeans dan baju T. Itu sudah menjadi lumrah. Kalau ada suara kutukan, biarkan mereka. Di hari meraikan kemenangan, aku tidak akan menjawab perkara yang menyakitkan hati dan pertanyaan sumbang.
Cukup setakat pemahaman dan penghayatan Eid Mubarak. Ia penting supaya aku tidak terleka. Masih ramai mereka yang bernasib malang. Apatah lagi jiwa dan perasaan aku selamanya terpahat di bumi Gaza. Ohh Tuhan Yang Maha Mendengar, semoga ku mampu tebus kesilapan, kealpaan, keculasan dan segalanya dengan berbakti di situ. Berilah aku peluang sekali lagi untuk kembali lagi ke tanah syuhada'. Di sebalik kesengasaraan perang dan cengkaman zionis, aku temui sesuatu yang aku cari....di situ aku mampu melupakan sendi-sendi kecewa dan hasutan naluri, yang selama ini membelenggu diri. Insan di Gaza lebih memerlukan aku daripada diriku sendiri....Semoga peluang yang aku harapkan akan tiba.
Jika tidak di situ, berikan aku peluang untuk ceritakan penderitaan mereka yang sebangsa dan seagama di Selatan Filipina dan Thailand. Biarlah aku redah kesusahan dan mempertaruhkan jiwa untuk membantu. Mereka insan-insan terainaya yang sebenarnya semakin dilupa.
No comments:
Post a Comment