Saturday, September 12, 2009

Bila Aku Ke Dapur

Latarbelakang yang pelbagai memperkayakan menu keluarga aku. Ada sesetengahnya hilang begitu sahaja apabila generasi tua kami meninggal tanpa sempat menurunkan kepada golongan muda. Stew, steak, chiken boxer antara makanan barat yang menjadi keistimewaan keluarga kami sejak dulu.

Berbeza di tempat lain, masyarakat di Terengganu agak tertutup. Bagi keluarga aku, beberapa hidangan Barat akan dihidangkan hanya pada masa tertentu. Stew pada majlis tahlil, steak biasanya pada Eid Adha. Aku masih terbayang reaksi orang kampung apabila memakan stew pada majlis tahlil sewaktu Tok Ki meninggal dunia. Pada 1982 ia sesuatu yang asing kepada mereka.

Begitu juga dengan steak, bila Hari Raya Haji, ada jiran akan meminta keluarga kami masakkan makanan berkenaan.

Hari ini sebab off day aku lapangkan masa untuk memasak. Terlintas yang sudah lama tidak merasa stew ala Perancis. Resepi yang menjadi milik keluarga kami. Ia diperturunkan Tok Mak, nenek saudara aku. Arwah yang merupakan saudara sebapa dengan Tok Ki, begitu tegas dan berdisiplin dalam apa juga urusan termasuk menyediakan resepi. Segalanya ada peraturan yang teliti dari segi penerampilan, tutur kata sehingga ke amal ibadat.

Semasa kecil aku menganggap ia sebagai kolot dan terkongkong. Tetapi bila semakin dewasa, aku memahami ia sebahagian sukatan pembelajaran. Apa yang diterapkan Tok Mak merupakan nilai keluarga bangsawan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Biarpun tiada lagi gelaran apatah lagi harta bertimbun, pendidikan tidak rasmi yang diterima sebenarnya membentuk peribadi. Paling mustahak ia menjadi landasan agar diri menjadi seorang yang beradab dan tahu harga diri.

Arwah meninggal pada 1987 pada usia 87 tahun, tidak meninggalkan sebarang zuriat walaupun berkahwin sebanyak 4 kali. Arwah mengulangi sejarah keluarga dengan berkahwin kerabat Diraja Terengganu dan keluarga al Idrus. Banyak sumber susur keluarga kami dari sebelah Riau-Lingga dan sejarah pelayar Perancis aku perolehi daripadanya.

Ok lupakan latarbelakang itu. Berikut resepi Stew Perancis...mudah, ringkas dan berkhasiat.

1Kg daging, campur batang pinang dengan yang ada lemak sikit
50 gram mentega-nak sedap brand President dari Perancis
3 Labu bawang besar-cincang
6 ulas bawang putih
3 sudu besar parsley
5o gram tomato puri
1/2 cawan oat @ gandum
3 batang saleri, potong
1 biji lada benggala
4 biji cendawan putih @ shitake, racik halus
4 batang lobak merah, potong 3 segi
2 sudu lada hitam
Garam secukup rasa.


Panaskan mentega sampai cair jangan lama sangat nanti hangus. Untuk elak mentega hangus masukkan sedikit minyak jagung.



Masukkan daging, tujuannya untuk "seal". Nanti bila masak lama daging tidak kecut. Kaedah ini biasa dikalangan orang Perancis. Untuk bangkitkan rasa, masukkan bawang putih sebiji-sebiji. Jangan cincang bawang putih. MAsak dalam 10 minit, balik-balikan. Lepas itu keluarkan daging berkenaan.


Masukkan bawang besar yang telah dicincang. Kacau sampai bawang berkenaan layu dan menjadi karamel. Kaedah yang sama untuk membuat Soup de onion..sup bawang.



Kemudian masukkan oat. Gaul dalam 5-10 minit kena kacau. Kalau tak ada oat boleh ganti dengan gamdum. Tujuannya untuk memekatkan kuah.



Kemudian masukkan puri tomato. Perlahan api ke tahap sedarhana. Kacau selalu selama 10 minit. Selepas itu masukkan air sesuka hati. Kacau sekali sekala selama 10 minit @ sehingga menggelegak.

Ini antara sayur yang telah sedia untu dimasukkan ke dalam puyuk (sebutan orang Terengganu). Bergantung hendak masuk sayur cepat atau lambat. Ikut resepi asal masukkan awal. Ini untuk dapatkan jus. Tetapi aku masukkan lambat, selepas 45 minit daging dimasak. Ingat bila buat stew periuk kena sentiasa tertutup. Untuk hasil yang lebih baik masak dengan api yang amat perlahan. Penting supaya daging tidak meyetok dan pohu (daging masak dengan sekata dan emput elok)

Ini dia, selepas 45 minit, aku masukkan sayur dan masak selama 15 minit lagi. Masa ini dah boleh masukkan garam dan lada hitam. Resepi asal dimasukkan kacang peas, lagi sedap. Aku tidak suka sangat. Ia bergantung atas budi bicara tukang masak.

Dah bersedia untuk dingap. Sepatutnya makan dengan roti Perancis, tetapi aku malas nak beli semasa pergi Cold Storage. Dalam fridge ada roti canai dari Terengganu. Aku belasah jer untuk berbuka ...

Aku belanja dalam RM 35. Kalau makan di Secret Recipe, Irish Lamb Stew RM 21. Itu sekali makan. Ini dengan RM 35 aku boleh bagi kat jiran dan dua bekas lagi kepada kawan sepejabat.

No comments:

Post a Comment