Di hadapan laptop aku tersenyum lega kerana telah membeli kelengkapan beraya anak-anak saudara aku. Walaupun tidak berpasang-pasang, sekurang-kurangnya aku mampu memenuhi hajat apa yang mereka impikan. Tahun ini, ia agak meringankan kerana 3 daripada mereka telah tamat pengajian. Seorang ijazah sarjana muda dan dua lagi diploma. Hanya Daus yang masih mencari kerja. Kak Long dan Abang Cik telah mampu cari rezeki sendiri.
Sejak 11 tahun lalu selepas abang ipar aku meninggal dunia kerana serangan sakit jantung, 6 beradik ini begitu dekat di jiwa aku. Aku begitu menyayangi mereka, menatang dan menggalas tanggungjawab setakat yang termampu.
Bagaimanapun, 5 tahun lalu, Khairul Atmam meninggalkan aku. Arwah yang memanggil aku "ayah", meninggal dunia akibat lemas di Pantai Sura, Dungun, di saat begini, aku terbayangkan telatahnya. Tetiba air mata ini berjurai. Kelibatnya masih terbayang kerana seminggu sebelum meninggal aku memaksa Khairul makan dengan puas piza di TTDI. Kami bersembang bagaikan anak dengan bapa. Sambil makan aku menyakat dan bergurau. Akhirnya dia tunjukkan isyarat jari telunjuk di perut dengan menggelengkan kepala kerana kekenyangan memakan piza.
Dengan iras wajah lebih kepada mat saleh, arwah yang kami panggil K terlalu rapat dan dengan semua orang. Aku tidak ingin kembali lagi ke rumah persinggahan kami di tepi pantai berkenaan. Setiap kali aku mendengar desiran ombak, perlahan-lahan air mata aku menitis. Aku pernah bertanya pada sang ombak, mengapa mengambil anak yang tidak berdosa yang baru ingin mengenal dunia. Mengapa terlalu rakus pada insan kerdil yang dikerup sewaktu bermain di gigi ombak. Mengapa tidak aku sebagai gantinya?
Tetapi bila didongak rasa pada takdir, aku tahu ia adalah perancangan Yang Maha Esa. Aku bersyukur kerana Kay diambil pada usia muda. Dia bahagia sekarang di sisi Tuhan, menjadi pelayan syurga dan aku tahu, dia sedang menunggu aku di alam sana.
Tidak lama selepas itu, jiwa ini diragut lagi. Kakak aku pula dipanggil pulang ke alam barzakh, akibat barah. Tinggalah lima beradik yatim piatu. 21 September 2005 menjadi detik suram untuk kami semua.
Terlalu mudah kakak aku dijemput pulang. Aku bersyukur walaupun diberi kesempatan sehari melayan di wad HUKM selepas pulang dari Manila dan Sarawak, sekurang-kurangnya aku puas bergurau, bersembang dan memohon maaf sebelum arwah memejam mata untuk selamanya.
Insan ini terlalu gigih. Kanser yang dihidapi sama sekali tidak menghalangnya daripada menyudahkan pengajian peringkat sarjana. Kanser kulit yang disahkan pulih oleh doktor nyata begitu jahat dengan menyelinap masuk ke sel-sel lain. Selepas vival kakak aku dimasukkan ke hospital kerana lumpuh.
Aku menerima kepulangannya dengan redha. Aku segera bangkit dan menujahkan kekuatan yang mana aku tidak perlu meleretkan rasa nestapa demi anak-anak buah.
Aku perlu lebih kuat dari mereka.
Ia memberi peluang kepada kegagalan sebelum ini untuk aku curahkan naluri kebapaan kepada mereka. Kerana aku tahu mereka tidak mampu sendirian menempuh kehidupan.
Nyata, sekarang mereka mampu berdikari dan mempunyai keazaman yang kuat untuk meneruskan kehidupan. Kak Long meneruskan lagi pengajian dan melakukan kerja separuh masa untuk tampung kos hidup. Daus masih menganggur walaupun mendapat pelajar terbaik dalam Diploma Chemical Engineering. Abang Cik meneruskan cita-cita untuk menjadi pelaut.
Hanya ada dua lagi yang masih bersekolah. Seorang di UITM dan seorang lagi di tingkatan satu. Mereka semua insan tabah....meneruskan hidup tanpa ayah dan ibu. Walaupun kami adik beradik memberikan yang terbaik untuk mereka, aku tahu ia tidak akan setanding kasih sayang ibu bapa mereka.
No comments:
Post a Comment