Sunday, September 13, 2009

Di Mana Aku

Pejam celik, minggu depan umat Islam menyambut Eid Mubarak. Hampir semua topik perbualan terarah ke situ. Segala masalah yang serumpun dan berkaitan dengan perayaan itu menjadi tajuk utama berita dan akhbar utama.

Pastinya, isu politik akan sedikit reda sebaliknya tumpuan akan diberikan kepada hal-hal yang berkaitan kepenggunaan. Isu barangan kawalan membuatkan menteri berkenaan, panas bontot.

Satu lagi perkara yang tidak perlu dipandang ringan, keupayaan OPS Sikap ke20. Mampukah ia mengurangkan jumlah korban dan kadar kemalangan. Yang pasti saban tahun, jumlah korban pada setiap kali sambutan perayaan, ia mencatatkan peningkatan. Ramai yang terkorban sama ada angkara kelalaian sendiri atau kegoan orang lain yang ingin menjadi hero di jalanraya.

Kekadang aku berpendirian, itulah proses kitaran kehidupan. Sesekali kekesalan bermain di benak betapa ramai yang mati begitu sahaja.

Tulisan ini bukan berniat menghukum, tetapi sekadar menyuarakan rasa terkilan dengan sikap pemanduan sebahagian daripada kita yang tiada berotak. Ini punca segalanya. Kalaulah otak berfungsi dengan waras, ia akan mempengaruhi tingkah laku sekaligus membentuk pemanduan yang beretika.

Bagi generasi muda yang baru menapat lesen, mereka taksub dengan stereng, yang tua bangka masih tidak sedar diri dengan merasakan merekalah pemandu profesional. Ini semua membentuk tingkah laku yang jika gagal dikawal bukan sahaja merosakkan diri sendiri tetapi boleh membahana orang lain.

Tahun ini genap 21 tahun aku mendapat lesen sah memandu kereta. Kalau dikira tanpa lesen, aku mula menyunglap @ memandu kereta secara curi-curi ketika berusia 14 tahun. Evolusi usia membuatkan aku semakin sedar diri ketika berada di atas jalan raya.

Tidak dapat dinafikan sewaktu zaman frust menonggeng dulu, aku juga juara di jalan raya. Dari Bangi ke JB hanya dua jam. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun kemalangan sewaktu menunggang superbike ZZR 600 pada 27 Januari 2000, merubah segalanya. Sebelum itu, ketika ramai menasihati aku supaya jangan membawa dengan laju, aku balas dengan senyuman kerana kelajuan memberikan keseronokan yang tidak terkira.

Ketika itu aku ingin lari dari kenyataan selepas berpisah dengan orang yang paling aku sayang. Tetapi aku silap bukan dengan cara begitu untuk menyelesaikan masalah.

Ketika dimasukkan ke wad kecemasan, Zod (member kamceng sejak dari UKM)tanya sakit tak...masa tu aku tengah mamai. Dengan tercunggap aku menjawab "Kepala aku rasa macam nak pecah". Zod yang selama ini bengang dengan perangai aku yang suka pecut laju sama ada dengan kereta dan motor melepaskan geram.

"Tu kau belum mati, kalau mati kau lagi sakit kena siksa".

Sejak dari tarikh itu, aku mula ubah sedikit demi sedikit. Mungkin juga faktor usia membuatkan aku banyak berfikir dan semakin matang.

Beberapa siri kempen keselamatan seperti Kelajuan Membunuh, Jangan Biarkan Yang Tersayang Menanti Dalam Tangisan dan Kemalangan Adalah Tragedi sedikit sebanyak mengendurkan kegoan aku.

1 comment:

  1. 1998 aku juga kemalangan kat simpang petronans bangi, pukul 2.00 pagi dirempuh mat rempit. Tu sebab sampai sekarang aku bengan nagn mat rempit ni. Kaki aku patah dan berjalan pun agak lari sikit balancingnya.

    Start itu juga badan aku naik mendadak sebab aku tak boleh lari dan tak dapat main bola, bola tampar dan lain-lain permainan.

    berpisah ngan orang yang kita sayang memang memedihkan, aku simpati tu...... takde pengganti ke

    ReplyDelete