Sunday, August 30, 2009

Ganyang

Di sebalik kemeriahan warga Malaysia menyambut 31 Ogos esok, ramai yang tidak tahu bagaimana maruah kita diguris. Insiden itu tidak jauh berlaku. Di negara seberang. Bayangkan bagaimana harga diri dihina bila Jalur Gemilang dibakar dan dinjak serta kata-kata kurang ajar. Sebagai panji negara, perbuatan berkenaan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.



Isunya gara-gara Tarian Pendet. Walaupun Norman telah memberikan penjelasan, Secara mudah aku mempersalahkan krew penerbitan KRU, kenapa jahil sangat mengenai tarian itu. Masalah itu timbul selepas, yang berkenaan tidak memahami sejarah dan budaya. Namun begitu perkara itu boleh dimaafkan bila dilihat dalam konteks sosiologi dan antrapologi.



Jika dihitung, dalam tempoh lapan bulan, berapa kali Jalur Gemilang dan kedaulatan kita sebagai negara merdeka diperlakukan demikian. Reaksi segelintir penduduk mereka berhubung isu pembantu rumah, Ambalat dan lain-lain lagi mengguris hati rakyat Malaysia. Alhamdulillah media Malaysia bersifat lebih rasional tidak banyak dilaporkan dan sesetengahnya dibiarkan sepi.

Ada sesuatu yang tidak kena di Indonesia sekarang. Terdapat anasir dalam negara itu, khususnya ahli politik tertentu yang chauvanistik. Segalanya ingin dijadikan asas kepentingan untuk mendapat sokongan. Tanpa melontar pemikiran dengan lebih jauh, mereka cuba menodai keharmnian bangsa serumpun.

Di Indonesia, khususnya di Jakarta tidak sukar untuk mengadakan tunjuk perasaan, golongan siswazah masih ramai menganggur itu tidak lagi mengambil kira golongan marhain. Sebungkus nasi dan sekotak kretek sudah cukup untuk menggerakkan mereka keluar dan menjerit-jerit.

Semalam, dalam Trans TV dan Metro TV, rakyat Indonesia dimomokkan dengan pelbagai propaganda membenci Malaysia. Hampir semua kandungan dari berita sehingga ke ehwal semasa bersifat emosi. Dalam erti kata mudah tiada otak. Itu bahayanya bila emosional menguasai diri.

Bayangkan, soal cendulpun menjadi isu. Kononnya mereka mendakwa cendol hak milik mereka. Aku berani berdebat isu ini. Cendul sejenis makanan yang berasal dari Champa. Ia bermakna kita serumpun bersama mewarisinya. Kalau itu ingin diperdebatkan, songkok juga bukan berasal dari Indonesia. Songkok berasal dari warisan kerajaan Melayu Champa yang lenyap dari muka bumi pada 1830. Prasasti abad ke 10 secara jelas menunjukkan imej Melayu memakai songkok.

Aneh dalam program berkenaan, tiada langsung dikupas dari perspektif alam Melayu, khususnya sebelum 1824. Mengapa mereka tidak menyentuh mengenai budaya dan kerajaan Melayu sebelum kedatangan penjajah. Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Johor Riau. Ini semua menjadi jawapan kepada isu yang dibangkitkan.

Kerana dangkal mereka tidak memahami diaspora umat Melayu. Bagaimana proses migrasi sejak 2000 tahun dulu sehingga sekarang membentuk budaya serumpun. Pemikiran yang sempit menjurus kepada tindakan yang bodoh.

Begitu juga dengan tarian Pendet. Ia sama sekali bukan berasal dari Bali. Tarian itu adalah hasil ekspresi petikan epik Hindu tersohor Ramayana dan Mahabrata. Adakah agama Hindu itu lahir di bumi Indonesia atau India? Mereka sebenarnya bengong!.

Tidak cukup dengan itu, isu Ashraf Sinclair yang bermastautin di negara itu juga dibangkitkan. Mereka mempersoalkan mengapa perlu mencari makan di negara berkenaan, sekiranya Malaysia sebuah negara yang makmur. Janganlah bertindak sehingga membodohkan diri sendiri. Berapa kerat rakyat negara ini yang mencari makan di negara itu. Sedangkan artis mereka bersepah datang ke sini. Itu tidak mengambil kira soal buruh yang mencecah dua juta.

Bagi aku, sudah sampai masanya kerajaan bertindak menyekat kehadiran artis mereka. Dalam erti kata yang lain, mula memberi tindak balas di atas sifat kurang ajar, segelintir pihak di republik berkenaan.

Untuk siaran radio tertentu hentikan putaran lagu artis dari seberang. Mereka tidak sehebat mana, banyak hasil karya luar yang diciplak dan cuba dilabelkan "made in Indonesia"

Ramai rakyat republik itu sebenarnya juling fakta kerana dimomok pihak tertentu. Lebih buruk bagi golongan marhain mereka tidak mampu berfikir jauh kerana tahap sistem pendidikan yang jauh ketinggalan. Penguasaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris amat rendah. Lantaran itu mereka mudah dieskpoitasi.

Bagi petualang serumpun selesaikanlah isu dalaman, jangan dengki dengan nikmat orang lain. Mereka lupa sepanjang 52 tahun betapa Malaysia, tidak pernah lokek berkongsi kemakmuran dengan negara serumpun, khususnya Indonesia.

Adakala susu yang diberi dibalas dengan tuba. Jika dianalasis, kebanyakan kes jenayah rompak, samun dan bunuh di negara ini dilakukan siapa?

Berapa banyak pembantu rumah mengkhianati majikan? Tidak cukup melarikan isteri, atau suami, mereka sanggup merembat anak-anak gadis tempatan. Tetapi pernah reaksi yang sama penduduk Malaysia berikan. Sebaliknya kehadiran mereka terus dialu-alukan.

Inilah yang akan berlaku, bila manusia tiada harga diri. Bagi aku, mereka sebenarnya berada dalam keadaan keliru dalam segala segi. Lihatlah bahasa dan budaya mereka.Ia kini sedang dirojakkan. Tiada lagi keindahan dan keaslian. Kecelaruan itu sekarang merebak. Dan adakah wajar kita perlu dijadikan beban dek kebodohan itu?.

Bagi penggerak tunjuk perasaan, media dan pihak berkenaan, sampai bila perkara ini perlu dilakukan bagi menutup kelemahan diri.

Thursday, August 27, 2009

Pulang Ke PangkuanNya



Telah lama aku mengenali insan mulia ini. Allahyarham banyak menyuntik semangat supaya aku menjadi seorang Melayu yang sedar diri. Tetapi pagi tadi aku dikejutkan Allahyarhan Prof. Dr. Ismail Salleh telah dijemput pulang ke Sang PenciptaNya, pada jam 2 pagi. Ketika itu Allahyarham dalam penerbangan dari Beijig ke Kuala Lumpur. Jenazah arwah kemudian di bawa ke Hospital Changi, Singapura.

Aku dimaklumkan sewaktu memasuki mesyuarat editorial MPB jam 10 pagi tadi . Dalam diam aku hantar sms kepada kawan-kawan yang mengenali Allahyarham. Intan Murnira, Zohan dan Nizal. Semua mereka membalas dengan segera. Intan beritahu yang dia telah ke rumah arwah pagi tadi, antara kami Intan agak rapat dengan keluarga Dr. Ismail kerana isteri arwah, Datin Hasnah Wahab pernah mengajar subjek ekonomi di Fakulti Undang-Undang.

Semangat allahyarham terlalu kental. Cacat pengelihatan yang dialami sewaktu zaman kanak-kanak sedikitpun tidak mematah semangat sehingga menjadi pakar ekonomi tersohor. Bukan setakat di negara ini, malah melangkaui sempadan.

Kali terakhir aku menemuramah allahyarham dua tahun lalu, ketika itu aku menjadi pengacara rancangan Hujah.

Prof, semangatmu akan tetap hidup pada jiwa kami.

Al Fatehah...

Saat Menunggu Subuh

Marhaban Ya Ramadan..Bulan yang penuh keampunan dan keberkatan. Pejam celik hampir seminggu kita lalui detik-detik indah, kemanisan bulan yang terkandung penuh kehikmatan. Kerana sekali setahun, ia menjunjung seribu satu kenangan.




Rutin hidup aku tidak banyak beza kecuali belajar dan terus berusaha mencukupkan sembahyang 5 kali sehari semalam dan cuba ditambah dengan solat sunat terawih, berjemaah. Aku akui, walaupun mendapat didikan agama hidup ini pernah melencong kerana terpana pada keindahan duniawi.



Aku rasa bersyukur kerana masih ada ruang untuk beramal ibadat dalam keadaan sihat. Kepulangan beberapa teman ke pangkuan Rabbul Jalil, adakala membuat aku terfikir, masa aku juga akan tiba. Aku diterjah rasa yang hakikatnya aku dan kita semua semakin dihampir Izrail. Di saat itu, wajah mereka yang aku sayang yang kini berpindah dari alam fana' muncul.

Adakala perasaan aku dicubit kenangan. Satu persatu permainan yang pernah aku lalui hadir pada ruang masa. Insan-insan yang aku sayang dan kesudahannya berakhir dengan kenangan. Jika aku bersalah, mungkin masa sekarang menghukum aku. Jika aku dipermainkan biarkan keindahan menggulitku.

Selepas hampir seminggu, aku masih mampu mengekalkan rutin berbuka puasa dengan sedarhana. Cukuplah apa yang ada. Kaki masih belum menginjak Bazar Ramadan. Kelaziman aku berbuka sekadar kurma, muesli dan dadih bersama sedikit buah. Ada masa lintasan perasaan sebak berbuku. Inilah perjalanan hidupku, selepas 39 tahun.

Persiapan untuk Eid Mubarak, aku memilih untuk terus bekerja. Entah beberapa tahun bertugas di Hari Lebaran aku tidak pernah ambil kira.

Cuma semalam, tatkala berterawih bila melihat segak mereka berpakaian baju melayu sedangkan aku sekadar berpelikat dengan baju T. Hati aku berdetik bila kali terakhir aku membeli baju Melayu. Oh!!! lima tahun lepas. Bukan soal tidak mampu, tetapi mengapa aku tidak cuba untuk memiliki. Apakah di sebalik semangat jatidiri Melayu yang cuba aku pupuk, di satu segi aku membunuh budaya itu? Itu permainan yang bermain di kepala.

Sepasang baju Melayu juga mempunyai cerita tersendiri. Kini ku alas kisah itu di dalam kotak memori. Jika dikenang, mungkin aku merasakan tidak perlu lagi memiliki baju Melayu.

Aku juga membuat keputusan untuk pergi jauh selepas bekerja di Hari Raya. Aku juga akan menziarahi ARO yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di sebuah negara asing. Bila dikira conggak anaknya kini berusia 9 tahun. Membuat aku sebak, anak ARO tidak pernah mengenali ARO dan aku tidak tahu status perkahwinannya. Selepas itu aku akan meneruskan kelana selama 10 hari. Insya Allah.

Ya Allah azan subuh telah mengetuk pendengaranku....Selamat tinggal lamunan dan terima kasih kerana menemani ku di saat menunggu subuh.

Monday, August 24, 2009

Jangan Tak Kipas

Pembodek ada di mana-mana. Tersenarai beberapa nama popular yang satu kategori dengannya, selain jadi pak sanggup, mereka juga dikenali tukang kipas. Di beberapa organisasi spesis ni mampu berkembang dan tahan lama. Tukang bodek atau tukang kipas ni akan berkembang subur apabila bos lemah dari segi kewibawaan. Modal mereka yang paling bisa, cucuk sana cucuk sini. Yerlah nak cari makan. Kalau tidak payah nak hidup.

Mereka ni kalau bercakap dengan bos, mak ai bukan main sopan, halus susun bahasa pendek kata penuh berhemahlah. Kalau panjang kata, entah macamana lagi. Tapi kalau dengan mereka yang dijadikan mangsa atau lauk mula nak tunjuk kuasa.

Aku enggan mengulas panjang mengenai isu ini. Maklumlah bulan Ramadan. Tetapi sebagai manusia biasa, rasa terkilan dan kemarahan akan tetap ada. Siapa yang makan cili dia akan rasa pedas. Betul tak? Ada beberapa tips untuk mengelak daripada terjebak dengan politik golongan yang tak bermaruah ini. Awas mereka boleh jadi kawan rapat dan juga boleh menjadi musuh paling jahat.

Sebagai langkah berhati-hati, bukan apa beringat sebelum kena. Untuk itu ada beberapa Tips mengenal spesis ini di pejabat dan di mana sahaja.

1. Suka keluar masuk bilik bos, bila keluar mulalah lubang hidung besar ekzos kereta waja.

2. Rapat bila senang, dalam kes kritikal sanggup berhujan berpanas konon nak tunjuk setia.

3. Suka menyampuk orang bercakap, walaupun tak faham sepatah haram apa orang duduk bincang.

4. Berlagak pandai walaupun hamprak, bagi idea tetapi ala-ala mat jenin sebab pengetahuan setakat dalam pinggan.

5. Berjalan dengan mata melilau ke kiri dan ke kanan dengan harapan ada orang menyapa buat apa dan nak ke mana.

6. Suka cakap kuat-kuat dengan harapan orang perasan.

7. Suka bandingkan si A dan si B atau sesiapa sahaja. Permulaan awal nak cari kredit lepas itu akan ada tindakan susulan. Contohnya duduk di korner, panggil a atau b dan mulakan karangan.

Friday, August 21, 2009

Main-Main

Selain membaca, beriadah dan terbaru membabitkan diri dengan aktiviti sukan lasak, aku juga gemar memasak untuk mengisi masa lapang. Aku jadikan sebagai hobi. Selain menjimatkan, aku mampu sediakan apa jua juadah dengan cara bersih dan sihat. Mustahak bagi menjauhkan diri daripada bahan perasa dan pengawet.

Aku sebenarnya suka makan segala jenis kek terutama Marble Cheese Cake. Tidak terkecuali Kek Gula Hangus, kegemaran aku sejak dari kecil. Masa itu aku suka minta perisa Nescafe. Sedap sangat, itu menjadikannya mahal kerana ia tiada di pasaran.


Aku gunakan gula perang, kerana hasilnya pasti tidak mengecewakan. Bahan yang terbaik akan menghasil produk berkualiti.





Adunan perlu diperapkan tidak kurang 3 jam, supaya hasilnya menjadi dan bersarang

Bermula dengan cuba-cuba dan memberi member merasa dengan percuma. Akhirnya terdapat permintaan. Bak kata pepatah rezeki jangan ditolak. Berbekalkan semangat itu, aku beranikan diri ambil tempahan Kek Gula Hangus @ Kek Sarang Semut sempena Ramadan. Yang order bukan orang lain, kawan-kawan kat ofis, kalau keluarga aku tahu mesti dia orang tergolek dok gelakkan aku. Yang penting rezeki halal....target sale tak banyak, 100 biji jer.

Dah masak, perlu disejukkan untuk keluarkan wap

Paling best mulai hari ini, aku telah mula terima tempahan. Semoga ia berpanjangan. Harganya tidak mahal RM 20 sebiji.

Tempahan sedia untuk dihantar kepada pelanggan

Siapa tahu bermula dengan main-main, satu masa aku jadi serius. Lagipun tak lama nanti ada lagi VSS. Kekadang rasa dah malas nak kerja, dah boring ulang alik ke pejabat. Paling aku benci, politik di sekeliling. Cucuk sana, cuit sini...benda ini tidak akan berakhir. Bagi yang berpegang pada prinsip seperti aku, sampai sudah tidak naik pangkat. Yang heboh khabar angin dengan pelbagai janji manis.

Thursday, August 20, 2009

Masa

Suatu Masa


Bagaimanakan ku mula
Dan apakah kata-kata
Yang indah untuk diabadikan

Tiap wajah berkisah
Tiap madah bererti
Manakah ilhamku

Cahaya di matamu
Senyum di bibirmu
mengukir seribu tanda pertanyaan

Mungkinkah kau jua dalam kerinduan
Di saat begini aku merindukah

Berhelai-helai surat
Terbiar di depanku
Tak dapat aku utuskan

Ku ramas semua
Dan ku buangkan
Jauh dari pandangan

Lalu aku kesal
Ku kumpul semula
Tak dapat ku nyatakan apa yang ku rasa

Jika engkau tahu di dalam hatiku
Mungkinkah kau sahut jeritan batinku

Dengarkanlah panggilanku
Dengarkanlah lagu untukmu
Angin lalu kau sampaikan
Rasa rindu yang membara
Kepadanya

Warna-warna cintaku
Kian pudar bersama
Malam yang gelap gelita

Entahkan kau rasakan
Apa yang aku rasa
Atau kau tak endah

Tapi ku percaya
Semua telah tertulis
Dan niat suciku takkan disiakan

Dan di suatu masa
Di hari yang indah
Ku hulur tanganku
Lalu kau terima


Sambil memandu ke tempat kerja, tiba-tiba deejay pasang lagi kegemaran aku. Lagu Suatu Masa dendangan M Nasir menyimpan seribu makna tersurat dan tersirat Aku pernah cuba download ke ipod aku tetapi hampeh. Sambil menyanyi dengan sumbang aku terfikir sebagaimana yang pernah dihujahkan Aristotle mengenai masa dan angka. Ia terangkum sebagai sesuatu yang infinite. Sedangkan kita manusia adalah finite. Ertinya kita adalah terbatas.

Secara ringkas kita mampu mencari masa dan mencipta masa. Tetapi ada sesuatu yang tidak mampu dilakukan, mengubah masa. Waima sesaat terlepas, ia tidak mampu ditarik atau diulang semula.

Jangan sesekali terlepas kerana masa memberi ruang dan masa juga yang menutup peluang. Cuma dapat dikatakan, aku rindukan masa silam, aku rindukan kenangan manis, aku rindukan zaman kebahagiaan tetapi aku sedar, segalanya mustahil. Jika ia berlaku lagi ia tidak akan sama dengan masa lalu.

Harapanku satu, dengan masa-masa yang berlalu dan akan datang, aku tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan sesiapa yang pernah hadir dalam hidupku satu waktu dulu. Lebih dari itu, waktu banyak mempengaruhi aku seperti sekarang. Paling penting waktu menjadi penentu keikhlasan, sama ada kita ditipu atau atau dipermainkan.

Monday, August 17, 2009

Satu Malaysia

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesama kita
Cinta lenyap diarus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ketangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan gagah dinusantara

Lirik lagu ini menyimpul maksud mendalam. Rangkap yang pendek, tetapi huraian prosanya boleh dikupas bermalam-malam.

Dalam keadaan sekarang, perpaduan Melayu berada dalam keadaan tenat. Matlamat menyatupadukan umat yang batangnya iman, cabangnya fekah dan akarnya ehsan masih bersimpang siur. Masing-masing ingin mendakwa pejuang dan satu pihak lagi dituduh petualang.

Bangsaku yang namanya, Melayu hentikanlah permainan politik dan retorik. Kekuasaan kita sebenarnya di hujung tanduk. Dolak dalik, hentam menghentam adalah bunga perpecahan yang akan membawa persengketaan. Kita sedang diperhatikan. Ada yang bersuara kerana dicucuk dan yang melatah kerana diacah. Tidak malukah kita apabila diperlakukan begitu oleh bangsa asing.

Tiada guna kita mendabik dada kita tuan di sini, kalau kita lemah. Sejarah berlaku bukan sekali, malah jika dihitung dari Langkasuka, Sri Vijaya, Singapura, Champa, Melaka, Patani dan mutakhir Johor Riau, sengketa sesama kita tidak pernah menguntungkan sesiapa. Kesudahannya generasi selepas itu menanggung azab kerana dijajah dan dihina.

Yang berkuasa, janganlah mendabik dada. Tanah kita sekarang cuma tinggal sekakang kera. Dulu ada Semanjung Tanah Melayu, masih lagi ada tempat umat Melayu berlindung. Ketika nusantara dirobek Barat, bumi inilah yang menjadi pelindung. Ada yang datang dari Pulau Jawa, Sumatera, Sulawesi dan sebagainya. Tetapi selepas merdeka dengan helah orang putih dan petualang, apa lagi yang kita ada? Tanah Melayu telah dipadamkan dari peta dengan begitu berhemah. Kalau adapun sekarang hanya tanah rizab Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Selebihnya jadi habuan. Dulu kita lemah. Tetapi selepas merdeka dengan dasar kerajaan yang memetingkan rakyat, taraf hidup mula berubah. Kita mula merasa senang dan mewah, namun nikmat yang dikecapi membuat kita mengulang semula kelemahan generasi sebelum ini. Bak kata Tun Mahathir orang Melayu mudah lupa. Yang berkuasa terus mengejar kuasa dan harta. Yang miskin terumbang ambing.

Generasi kita perlu menghayati sejarah. Bukan setakat belajar untuk lulus. Pepatah Turki ada menyatakan, " Sejarah cerminan lalu, tafsiran masa kini". Hanya dengan sejarah, dapat menceritakan bagaimana bangsa asing memainkan peranan untuk terus memperlekehkan kita. Ketika Malayan Union diperkenalkan, tiada seorangpun tokoh bukan Melayu tampil membela orang Melayu. Atuk nenek kita ketika itu sendirian mempertahankan rancangan jahat British. Ramai yang tidak tahu ketika orang Melayu beriya-iya ingin meminta kemerdekaan dari British. Apa yang bangsa lain lakukan.

Fakta ini perlu diketengahkan. Ketika orang Melayu ingin merdeka, Cina Peranakan yang diketuai Tun Tan Cheng Lock, pergi ke London berjumpa Gabenor Jeneral, supaya Malaya tidak diberi kemerdekaan. Alasannya nanti orang Cina akan menjadi warga kelas 2. Pernahkah ini diceritakan? Mengapa fakta ini tidak diketengahkan? Jawapannya mudah, demi menjaga hati parti komponen Barisan Nasional, MCA.

Itu tidak termasuk fakta campurtangan British di Tanah Melayu pada 1875. Memang ketika itu politik di kebanyakan negeri Melayu tidak menentu. Tetapi apa sebenarnya yang berlaku? Kenapa tidak diceritakan pada buku sejarah yang kepentingan ingin mengaut kekayaan dari dua kumpulan Cina yang berkuasa, Ngee Heng dan Hai San menjadi duri dalam daging. Mereka sebenarnya dalang di sebalik permusuhan.

Begitu juga dengan selepas merdeka. Bangsa mana yang menyokong perjuangan komunis dan siapa yang mempertahankan bumi ini.

Tulisan ini bukan menghina sesiapa. Tetapi bagi bangsa India, mereka sepatutnya bersyukur. Mereka juga perlu belajar dari sejarah bagaimana Inggeris melayan mereka dan nikmat yang mereka kecapi di bumi bertuah ini ibarat langit dengan bumi berbanding tanah asal nenek moyang mereka. Di sini tiada kasta, mereka boleh bersentuhan dengan kita. Tetapi adakah nikmat itu mereka kecapi di India, sampai sekarangpun isu kasta tidak pernah berkesudahan walaupun lebih 60 tahun ia merdeka.

Di sini mereka mendapat kuasa politik dan jaminan sosial. Apakah itu masih tidak mencukupi.

Dulu sewaktu di bawah Inggeri mereka diperlakukan seperti abdi. Yang lelaki hanya bercawat dan majoriti menjadi kuli. Pemimpin politik India jangan buta sejarah. Untuk mendapat setitis perhatian daripada pihak Inggeris, masyarakat India perlu korbankan akidah. Dalam erti kata yang lain mereka perlu menjadi Kristian, barulah diberi sedikit layanan.

Secara logik setiap benda akan ada pemilik atau tuan. Tanah Melayu tuannya adalah orang Melayu. Itu bangsa lain perlu faham. Walaupun pendatang, mereka mendapat layanan yang sama. Bagi yang sepet perlu celikkan mata dan yang bulat beliakkan mata, adakah mereka mendapat hak sedemikian di negara lain. Tidak payah pergi jauh tengok saja di Thailand, Indonesia, Filipina dan Australia sendiri. Di sini tidak fasih berbahasa Malaysia masih diterima sebagai warganegara. Tetapi cuba bandingkan dengan Australia dan Perancis. Bak kata orang Terengganu, mereka sebenarnya muer (terlalu dimanjakan sehingga mengada-mengada)

Hakikatnya semangat jatidiri kita sedang dimamah sedikit demi sedikit. Tetapi ini semua tidak akan berlaku jika kita bersatu padu. Jangan letakkan kesalahan pada bangsa lain bila kita lemah dan berantakan. Percayalah bila kita kuat tiada siapapun akan menganggu gugat. Fahamilah pepatah, jerat tidak akan melupakan pelanduk.

Aku khuatir, konsep Satu Malaysia satu perangkap yang menghilangkan ketuanan Melayu. Sampai bila kita terus mengalah dan bersifat pemurah. Apakah sejak lebih 50 tahun lalu, tidak cukupkah kita memberi, sehinggakan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Konsep ini bukan baru dan telah berdekad dilaksanakan di Singapura. Belajar dari seberang tembok, di mana kedudukan orang Melayu.

Renung-renungkanlah.

Thursday, August 13, 2009

Kemaruk

Semakin dekat Ramadan semakin kemaruk selera aku. Secara tetiba teringat asam gumpal. Satu manisan yang jarang ditemui. Dulu kami selalu pesan daripada Che Nik yang pernah bekerja di rumah 708, dia mempunyai kemahiran. Kami tahu yang Che' Nik warisi resipi daripada moyang saudara kami, Tok Alang. Setiap kali menelan asam gumpal aku akan teringatkan kecantikan dan keunggulan arwah Tok Alang @ Hajah Dayang. Memang terpegun, bukan sahaja rupa paras tetapi budi bahasa. Arwah pangkat cicit al Marhum Long Senik Mulut Merah@ Sultan Muhammad Kelantan.



Tidak terkecuali Rojok Betik. Memang sedap cicah dengan kerepok keping. Minum pulak kopi O. Bila tanya dalam adik beradik aku rupanya tidak ada seorang yang pandai buat. Aduh...pupuslah resepi. Rojak ni menjadi hidangan petang yang biasa dijual bersama ikan celup tepung atau goreng pisang. Teringat Kedai Timoh, belakang SMAASZA Ladang. Selain mee goreng yang sedap rojok diapun peeehhhhh.






Ini dia nekbat. Dulu aku selalu ajuk orang sengau. Dia tak boleh sebut perkataan ni dengan betul. Tu zaman jahat dan jahiliah. Kuih ini satu kemestian di 708 sama ada untuk berbuka atau bersahur. Favourite arwan Wan. Rasanya sejak Wan meninggal aku tak sentuh langsung kuih ni, sebab bagi aku, sirap kuih ni hanya air tangan Wan yang terbaik. Aku rindukan arwah Wan, kerana di saat akhir hidup, akhirnya Wan menerima kehadiran aku. Biarlah 708 tinggal tapak dan telah dijual, sedikitpun kenangan aku dengan Wan tidak akan pudar.

Aku risau, semakin maju, bertamadun dan kehidupan yang semakin selesa, resipi tradisi khususnya milik keluarga kami, semakin pupus. Lihatlah kuih tepung pelita, apam berkuah dan rempah ratus. Selepas Wan dan generasi yang sebayanya meninggal, mereka membawa bersama rahsia yang pernah menjadi hidangan istana dan bangsawan.

Tiada siapa lagi yang tahu buat rempah nasi minyak, kuzi, inti murtabak, baulu berlauk dan opal (kuih ni unik sikit, macam murtabak tapi kecik-kecik, pakai banyak minyak sapi. Favourite aku) yang tahu buat Mok Ku Wook, tapi beliau sedang uzur. Banyak resepi keluarga kami masih dia simpan. Ayam masak merah dia...............wowwwwwwwww sedap sampai ke tulang.



Bukan sahaja resipi masakan yang pupus, tetapi kemahiran bertukang juga menerima nasib yang sama. Dalam entry sebelum ini, aku ceritakan siapa yang memperkenalkan Perahu Pinis ke Terengganu. Kami yang mewarisi darah itu, sekadar mampu menengok. Aku dan mereka yang sebaya serta generasi selepas ini, dari satu segi sudah terputus dari tradisi.

Apapun, setiap kali terpandang perahu pinis @ pinas, perasaan aku melonjak untuk belayar meredah lautan. Tetapi semangat sahaja tidak cukup. Gambar di atas, menunjukkan betapa cantiknya perahu pinas yang telah diberi sentuhan Melayu.

Bukan Dia

Sejak Sabtu lalu, hampir semua media perdana di rantau ini dan antarabangsa terarah kepada satu isu yang telah lama ditunggu. Tewasnya Nordin Mohd Top dalam pertempuran 18 jam dengan Densus 88 di Temanggung Jawa Barat, Indonesia.

Hari itu aku kerja pagi. Sepatutnya jam 9.45 aku perlu berada di pejabat kerana jam 10 akan ada mesyuarat editorial. Tetiba di hari berkenaan, dompet aku hilang. Nasib baik pakaian tidak dihantar ke kedai dobi lagi. Cari punya cari ada dalam longgokan baju busuk.

Jadinya aku terlewat, bukan sikit tetapi banyak. Dengan muka toyer aku ke pejabat. Produser agak tertekan. Aku cuba kawal keadaan dengan memantau siaran dari Metro TV, Trans TV dan RCTI.

Pada masa yang sama mata aku tertumpu pada sebarang perkembangan yang disiarkan melalui online.

Operasi di dua serentak, satu di kawasan perumahan Nusapahala, Bekasi, Jakarta Timur dan satu lagi di Temanggung, Jawa Tengah.

Aku agak keliru dengan laporan berita. Dengan perbendaharaan bahasa Indonesia yang semakin tercemar dengan anasir bahasa asing, adakala membuatkan aku susah memahaminya. Situasi semakin tidak selesa apabila ramai yang bertanya perkembangan semasa, sedangkan aku perlu siapkan kerja sebelum jam 1.15, aku tahu, ia akan menjadi headline dan lead story.

Pada jam 11 dilaporkan, terdapat empat orang beradaa dalam rumah di Temanggung. Seorang daripada mereka dikenalpasti sebagai Nordin Mohd Top. Kepungan dengan tembakan selama 18 jam telah berakhir dan akhir mayat dibawa keluar.

Aku tertanya, mana lagi tiga?

Vox pop dengan penduduk sekitar memberi respon yang mereka mendengar suspek merayu dan menjerit meminta tolong sewaktu dihujani dengan pelancar bom tangan dan tembakan.

Sekaligus keraguan terdetik? Adakah manusia yang bernama Nordin Mohd Top akan berbuat demikian, merayu simpati tatkala dipadam kudrat.

Akhhirnya mayat yang disarung plastik kuning dibawa ke ambulans.

Macam nak rak lintas langsung dari Metro TV. Naik muakpun ada terlebih sensasi. Macam-macam andaian yang dibuat. Ia cuba dirangkum dari segala perspektif. Aku ketepikan perkara mengarut kerana mengejar masa untuk Buletin 1.30.

Ketika itu persoalan terus timbul. Macamana dengan ujian DNA? Ini penting kerana mayat suspek rosak teruk. MUkannya terbelah dua. Ini yang tidak dilaporkan.

Kemudian, selepas mayat dibawa ke Lapangan Terbang Hadisucipto untuk diterbangkan ke Jakarta, baru ada laporan yang suspek ketika ditemui memakai vest yang penuh berisi bahan letupan.

Satu lagi persoalan yang timbul? Kalau sudah pakai vest mengapa tidak meletupkan diri? Sebaliknya meminta simpati. Bukankah apabila bahan letupan berada di badan ia bermakna, suspek sudah bersedia korbankan diri?

Sebelah petangnya diadakan sidang akhbar oleh jurucakap POLRI, Nanan Soekarna. Ujian DNA akan tentukan siapakah suspek.

Tetapi media Indonesia bagai tidak sabar-sabar lagi, mendakwa kononnya yang mati adalah Nordin dan pihak berkuasa Indonesia sendiri seolah-olah memberi klu, itu adalah Noordin. Pada sidang akhbar yang sama, turut diperjelaskan operasi di Bekasi yang berjaya menumpaskan dua suspek, iaitu Air Setiyawan dan Eko Joko Sarjono.

Berdasarkan keterangan Amir Abdullah salah seorang daripada 3 orang yang berjaya ditangkap dalam operasi di Bekasi, mereka merancang untuk melancarkan serangan ke atas kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang terletak tidak jauh dari situ.

Laporan awal menyebut jaraknya, 3 kilometer kemudian jadi 5 kilometer kemudian jauh lagi jadi 7 kilometer? Apakah ini semua? Kenapa tiada ketepatan dalam membuat laporan? Kenapa jarak berubah-rubah? Adakah rumah suspek di Bekasi bergerak-gerak macam caravan?

Selepas itu ditemui poster Presiden Susilo yang kononnya digunakan sebagai sasaran tembakan. Hairan cucu pelik anak ajaib namanya. Cuba bayangkan, macamana latihan menembak boleh diadakan di kawasan perumahan yang agak padat?

Kesokan hari, semua tertumpu kepada laporan DNA selepas bentuk fizikal suspek yang ditembak mati di Temanggung, berbeza dengan lakaran yang dibuat pihak berkuasa Indonesia.

Terus menjadi persoalan yang terbunuh kemungkinan besar bukan Noordin.

Berita terus menjadi hinggar binggar. Keluarga Noordin melalui jurucakapnya kemudian mengesahkan yang mereka telah memberikan sampel DNA. Kesudahannya siapa lelaki mati ditembak?

Bagaikan dapat meneka sesuatu yang tidak kena, media Indonesia mula memperlahankan laporan dan cuba mengusik sesuatu yang sensitif. Noordin rakyat Malaysia yang melancarkan serangan bom di Indonesia.

Aku ucapkan tahniah kepada Duta Besar, Datuk Zainal Abidin Zain kerana menyindir dan membelasah dengan baik pertanyaan media republik itu. Aku memang pakai dalam Buletin Utama. Kalau tidak tidak silap aku lebih kurang macam ini." Saudara perlu ingat siapa guru Noordin Mohd Top. Gurunya siapa? Abu Bakar Bashir, di mana dia belajar? di Indonesia.

Bagi aku jawapan yang memberi makna mendalam. Kecuali wartawan tongong yang tidak dapat memahami maksud duta besar.

Tepat jam 9.20 pagi semalam, sidang akhbar diadakan. Akhirnya apa yang dinantikan dijawab. Ujian DNA menunjukkan ia bukan Noordin. Sebaliknya Ibrohim atau Boim atau A'ang.

Dalam sidang akhbar yang diadakan diberikan versi siapa Ibrohim ini? Dia kononnya antara suspek utama yang diburu kerana terbabit dalam dua serangan ke atas hotel mewah di Kuningan bulan lalu.

Aku mengigit jari, kenapa baru sekarang nama Ibrohim muncul.

Kenyataan rasmi itu memberikan tamparan kepada keghairan segelintir individu dan yang paling terkedu media negara itu yang cuba menganyang Malaysia.

Hakikatnya nasib Noordin masih belum diketahui. Dalam erti kata lain Noordin masih bebas.

Mungkin juga Noordin telah lama mati dan wataknya yang dihidupkan mereka yang tertentu untuk memburukkan hubungan Kuala Lumpur-Jakarta. Ini juga perlu difikirkan. Aku melihat situasi yang berlaku adalah konspirasi pihak berkuasa negara itu, bagi menutup malu akibat serangan bom 17 Julai lalu. Caranya mudah alihkan tumpuan.

Aku sama sekali tidak menyokong apatah lagi bersetuju dengan keganasan, tetapi terdapat segelintir pihak di negara itu yang cuba mengalihkan tumpuan isu dalam negeri seperti pengangguran, kemiskinan, penyelewengan dan sebagainya kepada isu pengganas. Apabila ini terjadi, sekaligus seorang rakyat Malaysia yang bernama Noordin Mohd Top akan dikaitkan.

Dalam erti kata lain, ia menjadi perkara mudah untuk melonjakkan semangat taksub rakyat negara itu. Hakikatnya Malaysia sering menjadi mangsa. Sebenarnya bukan Noordin seorang sahaja yang mempunyai kebolehan membuat bom. Ramai lagi rakyat negara itu yang mempunyai kemahiran yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan Noordin.

Dalam sidang akhbar yang diadakan semalam, ada 8 lagi yang sedang diburu. Mengapa mereka ini tidak diperincikan dan pastinya setiap seorang daripada mereka juga mempunyai potensi untuk melakukan serangan bom.

Pihak berkuasa dan media negara itu sepatutnya bukakan mata, telinga dan lubang hidung yang di negara yang bernama Indonesia masih terdapat kumpulan pemisah yang bergerak aktif. Apakah mereka tidak mempunyai kemungkinan untuk melakukan serangan?

Jangan lupa yang di negara seberang, pentas sandiwaranya amat ketara. Dalam ertikata lain mereka suka bermain wayang....tak percaya? Cubalah berurusan dengan mana-mana kantor. Pasti anda tidak akan mempunyai kenangan terindah.

Mungkin juga, apa yang berlaku minggu lalu, sebahagian sinetron pihak tertentu di negara itu? Segalanya mungkin.

Tuesday, August 11, 2009

Kg Buah Pala Vs Kg Ladang

Kecoh memang kecoh.

High Chapral @ Kampung Buah Pala di Pulau Pinang gegak gempita menjadi tajuk utama akhbar dan Buletin Utama.

Kampung yang majoriti dihuni penduduk keturunan India tiba-tiba mendapat perhatian dan diberi gambaran seolah-olah mereka ditindas dek pembangunan. Pelbagai versi dan persoalan dibangkitkan berhubung isu apabila mereka diarahkan keluar dari tanah yang diduduki.

Secara logik, adakah mereka pemilik tanah yang sah? apa yang membolehkan hak mereka dilndungi dari sudut perundangan? Adakah penjualan tanah kepada Koperasi Kakitangan Kerajaan Pulau Pinang melanggar undang-undang sekaligus mencabar Kanun Tanah Negara?

Jelas, dek politik ia menjadi polemik. Aku tidak memihak kepada mana-mana parti siasah. Tetapi luahan ini disuarakan kerana khuatir, atas nama kepentingan politik kebenaran terpaksa disembunyikan dan lebih dari itu ia perlu dikorbankan.

Penutup Buletin Utama minggu lalu menyiarkan titisan air mata penduduk Kampung Buah Pala, mengapa ini perlu ditonjolkan. Sejujurnya aku melihat apa yang diketengahkan tidak lebih hanya drama bagi meraih sokongan masyarakat India, satu umpan untuk memancing undi pada pilihanraya akan datang. Dalam isu ini, ke mana pergi parti parti politik kaum India yang menjadi komponen Barisan Nasional. Ke mana pergi Samy Vellu, M Kayveas dan ramai lagi.

Apakah UMNO perlu dikorbankan untuk kepentingan bangsa lain? Adakah UMNO khususnya di Pulau Pinang berada dalam keadaan kuat sehingga boleh menjadi jagoan membela bangsa lain?

Hentikanlah permainan sorong papan tarik papan. UMNO perlu pulang ke wadah, menjadi payung yang melindungi kepetingan umat Melayu. Jika tidak, ramai yang akan cuak dan muak.

Bagi aku, tragedi pengambilan tanah di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu sewaktu pentadbiran Deris Jusoh, tiada siapa peduli. Mereka pemilik tanah yang sah. Ada geran dan bukannya menumpang. Tetapi tangisan mereka tidak diendahkan.

Lebih dari itu mereka, daripada 17 keluarga yang diambil tanah, sebahagiannya terdiri daripada Kerabat Terengganu, Pahang dan Riau-Lingga. Tanah berkenaan adalah kurniaan Almarhum Sultan Zainal Abidin dan Almarhum Sultan Sulaiman kepada kaum kerabat.

Dan pastinya keluarga aku tidak terkecuali.

Rumah Tengku Langgi , Tengku Yusuf dan Tengku Wook terpaksa dikorbankan untuk membina taman permainan setelah kawasan berdekatan dibangunkan blok kondominium.

Ketika menziarahi Mok Ku Wok dapat aku bayangkan kekecewaannya kerana diusir. Mata beliau berkaca. Hal ini dipanjangkan ke istana termasuk ke pengetahuan keluarga Diraja Pahang. Kemudian Tuanku Mizan juga diberitahu, tetapi ia terlambat. Apapun selepas dimaklumkan, ia menambahkan lagi kemurkaan Tuanku setelah kaum kerabat diperlukan seperti hamba dina.

Ketika itu, di mana peranan parti Melayu yang selama ini melaungkan perjuangan membela dan melindungi kepentingan orang Melayu. Pernahkah kisah mereka didedahkan secara mendalam di media arus perdana? Kenapa ia menjadi seolah-olah isu terpinggir?

Sepatutnya pada masa itu, pemimpin UMNO, tidak kiralah ketua cawangan waima bahagian perlu menjadi jaguh, bukanya pak sanggup. Biar berani berdepan dengan kepimpinan Deris yang ketika itu Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Sekarang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kononnya ingin mengambil saki baki kawasan Melayu di Kampung Ladang atas tujuan pembangunan. Aku nak tengok sama ada ia akan menjadi isu sehangat Kampung Buah Pala atau sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Bila difikirkan, pemimpin Melayu yang kemaruk kuasa dan harta bukannya membela, tetapi memusnah dan mengkhianati bangsa.

Pembangunan sepatutnya mengekalkan yang sedia ada dengan memperkaya yang baru. Pembangunan bukan bermakna memusnah apa yang diwarisi dan menjadi hak kita.

Friday, August 7, 2009

Nasi Dagang

Nasi Dagang Terengganu. makan dalam pinggan lama yang sempat aku selamatkan ketika 708 hendak dirobohkan. Terasa macam tahun 50an

Sebenarnya susah hendak dapatkan Nasi Dagang Terengganu yang rasanya sama seperti dari negeri asal. Memasaknya bukanlah sukar sangat cuma, ada peraturan dan tidak ada jalan pintas. Jika tidak ikut, memang rasanya tidak akan menjadi.

Proses bermula dengan mencari ikan tongkol. Orang Terengganu panggil ikan aye. Kena rebus satu hari satu malam dengan asam keping, garam dan gula melaka. Kuahnya pula tidak boleh ditumis, sebaliknya dimasak perlahan selama 8 jam, sehingga hitam dan pekat. Beras pula perlu direndam 8 hingga 9 jam. Dikukus dua kali dan terakhir baru disiram santan pekat.

Aku tahu mengadun sendiri rempah, tanpa membeli yang segera. Satu resepi yang saya sempat warisi dari keluarga kami. Aku masih gunakan periuk tembaga dari istana, yang berusia 130 tahun lebih, supaya dapat" feel" macamana nenek moyang kami satu ketika dahulu menyedia dan menghidangkan santapan di istana.

Paling penting bila memasak saya tidak mahu "authentic" lari. Tidak ada jalan pintas. Jadi aku kena masak ikut prosedur, sebagaimana sepatutnya. Walaupun tidak sesedap air tangan keluarga aku, sekurang-kurangnya rasanya tidak banyak lari.

Bila dah kenyang aku tersengih teringat kisah Boris dan Gaspard yang teringin makan nasi lemak sewaktu cuti Krismas di Switzerland tahun lepas. Dari Paris mereka bawa ikan bilis, cabai dan bawang, terlupa satu bahan penting. Bila sampai di Bern mana ada kedai jual asam jawa. Untuk ganti dia letakkan sos tomato, untuk buat sambal ikan bilis. Mana jadi?

Oh ye masa aku di Paris, harga sepinggan nasi lemak, 12 Euro. Sebab teringin sangat aku makan dengan Gaspard dekat Malaysiana Restaurant di Paris de Nord. Dua orang makan dah jadi 24 Euro, cuba kali dengan 6....mahal giler. Teh tarik 3 Euro..tu pun gelas kecik jer.

Sekadar Puisi

Hampir setahun aku karang puisi ini. Ia menceritakan betapa hati, harapan dan cinta aku dipermainkan seseorang. Apapun aku hargai setiap detik dan masa yang dilalui walaupun bagi si pelaku, aku hanya randik untuk memenuhi jarum waktu.
KALAU
Kalau ku pergi
Jangan dicari
Selama ini aku menanti
Tetapi kau tidak peduli

Kalau aku mati
Jangan ditangisi
Kerana sudah puas
Aku disakiti

Kalau aku dikebumi
Jangan dinesani
Kerana sewaktu hidup
Aku tak pernah dihargai

Kalau ada secebis kenangan
Kau katakan pada bulan
Pada awan dan mentari
Insan ini pernah dipersiakan

Kalau kau pandang tanah
Katakan pada bumi
Yang dulu kau berjanji
Sehidup semati

Kalau aku hadir dalam mimpi
Jangan dikesali
Kerana itu bererti
Aku semakin menjauhi.

Kalaupun kau rasa ingin menangis
Tak akan memberi erti
Kerana aku telah berada
Di alam abadi
RAA

PAR'E HIDUP

Di kala kau tersenyum aku menangis
Di kalau kau gelak aku meratap
Adakah ini hukum alam
Atau aku yang silap

Mengapa perhitungan aku khilaf
Mungkin kifayat dosa lalu
Atau karmanya begitu

Aku keliru
Pada perjalanan bernama kehidupan
Dalam mencari mencari arah aku terjah

Hidupku bukan minta simpati
Jauh sekali mengemis diri
Biar kekosongan tidak terisi
Bertiang maruh berpasak harga diri

Mungkin benar kata pujangga
Cinta ada di mana-mana
Biar di lorong hitam
Jua terselit nur cinta

Bolehkah ku hidup tanpa cinta
Kerana cinta pernah buat ku bahagia
Cinta dullu mengulitku bak di syurga
Tetapi kini...
Sisa cinta menyiksaku
RAA

Thursday, August 6, 2009

Darfur


Aku masih kehilangan thumb drive tugasan ke Darfur. Tetapi sebelum itu ada aku burn cd untuk diberi kepada member. Malangnya gambar aku tak banyak, yerlah tak ada alasan aku nak bagi gambar aku kat dia orang.


Gambar ini sewaktu tunggu transit di Kaherah untuk ke Khartoum, kami pusing-pusing di Khan Khalili sempat ziarah masjid Saidina Husin.



Santapan di Pasar Kambing, memang sedap. Cara penyediaan yang mudah, sembelih, lapah, panggang dan ngap. Di sini pertama kali aku kenal gargil....rocket herbs. Bagus untuk kencing manis, darah tinggi dan pastinya untuk tenaga lelaki.


Murni dan begitu mendalam budi bahasa, di sebalik kepayahan mereka sanggup menghidangkan kami kopi Arab yang begitu lazat.

Pasar di Bandar Nyala, tiada apa yang teratur tetapi roti yang paling baik dan sedap aku jumpa di sini.


Tabung Dapur Untuk Darfur mendekatkan hati rakyat Malaysia dengan saudara seagama yang berada jauh di Sudan. Pelancaran tabung ini, memberikan aku impresi negatif terhadap Mawi, tidak mahu cakap banyak bagi aku, budak kampung tu sebenarnya tidak sedar diri dan berlagak. Kau siapa nak cakap ala-ala Sultan Johor?

Masjid al Huda dibangunkan hasil sumbangan rakyat Malaysia. Selain itu ia turut menempatkan rumah anak yatim. Masa ini aku jumpa NGO dari Turki. Yang best aku jadi cameraman untuk dia orang. Tolong menolong.

Buat pertama kali aku melakukan ibadat korban aku dalam hidup aku di sini. Tidak mahal USD 50. Semasa mereka sembelih aku tidak pandang ngeri.



Bukan mudah hendak hantar story dari Darfur. Line internet haram tak ada. Telefon mahal beb, tetapi apapun tugasan ini akan menyimpan saat manis sampai ke akhir hayat, walaupun sesetengah pihak membutakan mata yang aku adalah perintis projek ini. Kesudahannya, lembu punya susu, sapi dapat nama. Lumrah alam...............

Bukit Tinggi

Sejak mula dibuka sampai sekarang, aku begitu menyukai Bukit Tinggi. Selain jaraknya yang tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur, bajet yang ciput membolehkan aku menghabiskan masa di situ tanpa pergi luar negara.


Colmar mengingatkan aku kepada kawasan timur Perancis yang terkenal dengan senibina tersendiri sejak abad ke 16 lagi.






Taman Jepun, paling best. Aku tidak pernah menjejakkan kaki ke Negara Matahari Terbit. Cukup nyaman sepanjang berada di sini.

Wednesday, August 5, 2009

Begini Jadinya

Dua hari lepas bagaikan gugur tangkai jantung bila mengetahui seseorang yang rapat dengan aku semasa belajar, kini berada di salah sebuah penjara di luar negara. Lebih mengejutkan dia menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Terima kasih Kay kerana menyampaikan berita ini, itupun selepas aku bertanya ke mana junior sorang ini. Selama 10 tahun, aku tercari-cari ke mana ARO. Aku juga silap kerana sepanjang tempoh berkenaan tidak bertanya sesiapa apa sebenarnya berlaku. Aku sangkakan dengan iq yang tinggi dan bakat yang terserlah dia sudah "mastership" dalam bidang yang dipelajari. Mengapa aku culas kepada mereka yang pernah berbakti kepada aku.

Kay, aku tidak akan dapat melupakan watak kelakarnya sewaktu kita menunggu bas di depan bangunan FSKK. Ketika itu, dia datang dari belakang dan berlagak menepung tawar . Walaupun jodoh kita tidak panjang, gelagat ARO sentiasa wujud dalam ingatan.

Dia pernah belajar di bangunan ini. Kami tahun 4 dia tahun 1.


Aku panjangkah harapan kepada DIA, agar selepas raya nanti berpeluang menemui ARO. Aku lencongkan destinasi percutian, semata-mata untuk berjumpanya, sekurang-kurangnya sekali sebelum aku menutup mata.

Perpustakaan Tun Sri Lanang, tempat ARO selalu menyakat aku dan kadang-kadang menceritakan masalah keluarga.

Siapapun ARO, aku tetap menjadi abang dan kawan, dunia dan akhirat. Bila dihitung conggak, sudah 14 tahun kami tidak bersua. Dulu aku menjauhkan diri daripada kenalan kerana membawa diri dek masalah peribadi. Lantaran itu kami terputus hubungan. Tidak dapat aku nafikan, dengan keadaan dia sekarang, simpati aku mencurah-curah. Dan kedatangan Ramadan membuatkan aku merindui telatah nakalnya, teringat semasa lepak di TSL, dialog " Abang tak payah gi pasar Ramadan nanti saya belikan kuih".

Senikata lagu dendangan Jamal Abdillah, membulatkan tekad aku untuk berjumpanya, walau dengan apa cara sekalipun. Semoga usaha yang telah aku gerakkan sejak dua hari lalu mendapat respon daripada member-member yang berada di negara berkenaan.



Sendiri

Menempuh hidup
Tiada berayah tiada beribu

Sendiri aku berjalan
Tiada harta menjadi bekalan


Belum pernahku kesali hidupku
Lahir kedunia pun begitu

Suka dukaku tanggung sendiri
Dengan ketabahan hati

Mana saudara manakah teman teman
Disaatku memerlukan

Kepalsuanmu makin menjadi nyata
Kemesraan sementara

Sendiri
Kadang menyiksakan
Kerna tiada teman bicara