Friday, February 26, 2010

Makang Sarok

Berbeza dengan negeri-negeri lain, kemewahan sumber laut menjadikan Terengganu kaya dengan pelbagai makanan berasaskan ikan. Kawan aku dari NTV7 yang lama tinggal di luar negara, ke Terengganu pada cuti Tahun Baru Cina, terkejut badak bila lihat orang Terengganu makan ikan, sebagai snek minum petang. Ikang Celup Tepung memang menjadi juadah biasa. Itu tidak kira kherpok gondel (idgham kena betul)pais, sata, otok-otok dan sarok.

Tidak seperti kherpok gondel, pais, sata otok dan sarok menggunakan rempah ratus dan dicampur dengan kelapa muda. Cara penyediaannya juga berbeza. Pais, sata dan otok-otok dibakar. Tetapi sarok berlainan kerana ia dikukus.

Sarok ada dua jenis. Sarok ikang dan sarok lade.

Dulu di masa 708 berada di kemuncak, kerja Che Jah dan anak dia, Che Nik giling rempah. Tetapi di kebanyakan masa nenek aku akan buat sendiri. Alasannya, air tangan tidak akan sama.

Itu cerita dulu. Sekarang hendak makan sarok memang payah. Jenuh aku bertanya dengan keluarga yang lain, masalahnya mereka juga sama dengan aku. Zaman dulu-dulu ada tukang masak. Jadi mereka tidak ambil kisah sangat, bila nak makan tau arah aja.

Puas mencari, akhirnya aku mendapat resepi dari keluarga aku yang berusia. Syukur sekurang-kurangnya ia tidak pupus. Tidak seperti resepi sayur che' bek (sayur keladi yang dimasak dengan isi ikan panggang dan udang kertas)gulai ikang duri, apam kuoh(apam beras warna perang dan dimakan dengan kuah ikan yang dicampur kelapa muda), ti sok me, taming sari, che abbas demam, colek telur dan banyak lagi...semuanya pergi tanpa dicatatkan.

Kehebatan Wan memasak memang superb, kerana Wan mula ke dapur seawal usia 7 tahun. Selepas emak kandung meninggal dunia dan moyang aku kahwin lain, Wan dihantar ke rumah datuknya, Engku Kelana Terengganu @ Tok Ku Tuan Nanung di Chabang Tiga. Di situ Wan belajar memasak selain mendapat pendidikan agama. Itu cerita 85 tahun dulu. Setiap kali teringin makan yang sedap, aku terbayangkan Wan. Walaupun telah meninggal dunia 9 tahun lalu, aku tidak pernah merasa jauh dengan Wan.

"Nanti bila Wan meninggal jangan bagi kubur tumbuh lalang".

Amanat itu aku tunaikan sampai sekarang. Setiap kali pulang, aku bertelingkoh di tepi kubur. Sambil membaca fatehah aku bersihkan rumput di sekeliling kandang. Semasa arwah hidup, aku bersyukur kerana diberi peluang menemani Wan di saat dia kesepian dan di ketika itu aku menjadi pelarian dek masalah hidup.

Sebenarnya semalam aku bermimpikan Wan dan itu sebenarnya mendorong aku buat Sarok.







Campurkan isi 5 ekor ikang kembung, sebutir nyior mude, 7 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, seinci lengkuas, 2 sudu ketumbar, sesudu jintan manis dan sesudu jintan putih Lepaskan kita mulakan senaman.




Pertama kali menggunakan batu giling(jumpa semasa 708 telah dirobohkan). Berpeluh dan berjeluah (berkecah). Yang penting aku mendapat hasil yang memuaskan. Che' Ngah Mek tidak bagi pakai blender. Katanya nanti sarak khersal(rasa berpasir kerana kelapa mudah payah lumat)


Campurkan cili, asam jawa, garam, gula kabung@ gula melaka, daun kesum dan belacan. Kombinasi rasa mesti sama ada pedas, masin, masam dan manis.



Selepas gaul dengan sebati, macama ini rupa sarok yang belum dikukus. Dulu masa kecik-kecik aku suka makan mentah. Selalu kena marah sebab suka cepelak (curi makan @ ambil makan dengan cara sembunyi-sembunyi)

Lepas tu kukus dalam 15 minit. Sewaktu hantar rumah kakak aku, dia kata dah lama aku nak makan tapi tak tahu nak cari kat mana. Ni kau beli kat mana? Aku cakap aku buat, kakak aku terkujap.

No comments:

Post a Comment