Friday, February 5, 2010

Perjuangan Belum Selesai

Sejak 2004 krisis di Pattani, Yala dan Narathiwat mencuri tumpuan masyarakat antarabangsa. Segalanya, berpunca tindak tanduk bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Terkini, angka kematian yang dicatatkan mencecah 4100 jiwa. Dengan angka korban yang bukan calang-calang, tiada tanda menunjukkan, konflik berkenaan akan berakhir.





Kesan tembakan di Masjid Gerisek, menjadi bukti yang Siam selamanya akan menzalimi penduduk Melayu Pattani


Di sebalik realiti yang berlaku, harapan rakyat yang majoritinya terdiri daripada penduduk Melayu dan beragama Islam supaya keadaan kembali aman tidak pernah pudar. Tetapi persoalan yang timbul sejauh mana ia dapat direalisasi.







Apa salah mereka sehingga ditembak sewaktu sedang menunaikan solat Subuh, seorang bekas tentera Thailand mengaku bertanggungjawab dan menyerah diri di Bangkok bulan lalu. Sehingga sekarang kes ini terus sepi.

Selain angka korban yang tinggi, sepanjang tempoh 6 tahun lalu, tidak kurang 50 ribu penduduk wilayah itu menerima pelbagai kesan akibat keganasan. Lebih perit 1600 menjadi balu manakala 4000 kehilangan ibu atau bapa.


Situasi yang berpanjangan, menimbulkan tanda tanya, apa akan jadi dengan masa depan penduduk yang 80 peratus terdiri daripada masyarakat Melayu dan beragama Islam?.


Selepas lebih sekurun kuasa Raja-Raja Melayu dan hak pribumi dihapuskan, rasa tidak puas tidak pernah susut walaupun Siam cuba menelanjangi identiti itu.


Di sini bersemadi para pejuang Pattani yang syahid menentang tentera Siam. Lihat kubur mereka, ia kelihatan terpelihara. Jangan persiakan perjuangan mereka.

Kini dengan perubahan semasa, nasib dan kelangsungan masyarakat Melayu banyak bergantung kepada faktor politik. Tetapi, perjalanannya tidak semudah yang disangka. Terlalu banyak halangan yang mencabar. Yang pasti, jarum Siam berjaya sedikit demi sedikit berjaya memecahkan matlamat perjuangan umat Melayu di Selantan Thai. Bahkan terdapat politikus yang mula melencong dari landasan dengan mengumpul kekayaan. Tetapi syukur masih ada yang tidak berganjak dengan prinsip asal.

Setakat ini, terdapat 11 ahli politik Islam di Parlimen Thailand. Seorang wakil Thai beragama Budha telah dipilih penduduk Melayu, bagi mewakili mereka. Dengan 11 orang jumlah itu, jauh lebih kecil jika dinisbah dengan jumlah keseluruhannya yang berjumlah 480 orang. Dalam keadaan ini, masih adakah ruang untuk mempengaruhi dasar yang dibuat Bangkok?

Sehingga sekarang, dengan kerajaan yang dibentuk Parti Demokrat, tidak ada seorangpun orang Islam dilantik ke jawatan menteri. Sedangkan terdapat 5 orang Islam mewakili parti itu. Walhal cara itu, paling berkesan memenangi hati penduduk Islam.

Di mana kepekaan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva? Nyata, dengan konflik dan perkembangan yang berlaku, orang Islam sering dijadi alat politik. Tiada kesudahan. Ataupun, di kalangan ahli politik Thai, isu di selatan, hanya modal untuk menjaja kredibaliti bagi meraih undi. Jika telahan ini, benar malang sungguh nasib umat Melayu. Sesekali terfikir, bukan tiada orang Islam dalam hierarki Thailand, Surin Pitsuwan misalnya, tiada nampak menonjol atau melakukan yang sepatutnya.

Bak kata Kasturi Mahkota, untuk berada dalam hierarki Thailand, orang Melayu perlu jadi lebih Siam dari Siam. Dulu sewaktu di Bangkok, ramai yang memperkenalkan diri mereka sebagai Muslim Thai. Aku yang tidak puas hati menegur mereka. Tanggapan itu perlu diperbetulkan. Kenapa aku bertegas?

Dulu sewaktu kalah perang, beribu Melayu Pattani dibawa ke Bangkok. Yang ada di ibu negara Thailand sekarang ini adalah keturunan Melayu. Bukannya berbangsa Siam. Aku mengingatkan mereka, cerita Terusan Air Mata di kota raya itu. Bagaimana tahanan Melayu diarah membina khlong atau terusan menggunakan tangan dalam keadaan kaki dikat rantai dan rotan. Kerana penderitaan dan memakan korban, terusan itu dinamakan sedemikian.

Sejujurnya jangan persalahkan orang Islam jika mereka bersimpati dengan gerakan pemisah. Banyak faktor yang mendorong ke arah itu. Selain dipermainkan, Siam perlu sedar yang Pattani bukannya sebahagian daripada Thailand.

Lantaran kekhuatiran itu, sejak 70 tahun lalu, Dasar Rathaniyom atau usaha mensiamkan penduduk Melayu, terus dilaksanakan.

Kesannya sedikit demi sedikit jatidiri Melayu terhakis dari jiwa generasi muda Melayu Pattani. Lebih malang, fakta sejarah cuba dijulingkan. Meskipun sehingga kini, ia masih bertahan, tetapi dengan asakan bertubi, sampai bila ia akan kekal.

Islam akan kekal sebagai agama, tetapi identitinya kian susut. Bagi diaspora Pattani, jangan sesekali lupa bagaimana nenek moyong kita disembelih sewaktu, Darus Salam dijajah. Berdasarkan cerita lisan, sewaktu kalah perang, sebolehnya penduduk Pattani ingin terus kekal berada di bumi Serambi Mekah tetapi atas pandangan ulamak, sebahagian mereka terpaksa akur untuk berhijrah ke negeri Melayu lain.

Pertama memastikan warisan keilmuan Islam yang diasas dan dikembangkan di Pattani tidak pupus. Kedua, akan ada nanti zuriat Pattani yang akan pulang membebaskan tanah air dari penjajahan Siam.


Kejatuhan Pattani pada 1786, pemberontakan Datuk Pengkalan 1830an dan penghapusan kuasa raja-raja Melayu pada 1902, adalah maruah Melayu perlu ditebus. Sesekali renunglah. Jangan jadi dayus dengan membiarkan saudara mara kita terus dizalimi.

No comments:

Post a Comment