Sunday, February 14, 2010

Monolog

Aku tidak sunyi di siang hari. Tetapi kedatangan malam adakala menjadi igauan. Sejak sekian lama, mentari yang terbenam menjadi sesuatu yang merengsakan. Syukur akhirnya sedikit demi sedikit aku mula menerima situasi ini.

Di tirai 40an, banyak perkara yang belum dicapai. Ada benda yang masih jauh. Kekadang terasa seperti semalam di sekolah menengah dengan kacamata bulat. Segalanya pantas berlalu, sehinggakan adakala aku ditinggalkan masa.

Pedulikan si mulut jahat berkarya mencela orang lain, nista mereka tidak selamanya menjadi kudis. Walaupun kehidupan masa lalu pernah kecundang sehingga terhumban, ia bukanlah hukuman yang membataskan untuk menjadi manusia baik. Sejujurnya di usia sebegini, aku percaya ramai rakan yang lain tidak lagi mengharapkan perkahwinan untuk melengkapkan kehidupan, walaupun ada yang bercita-cita untuk mempunyai zuriat sendiri.

Adakala sementara menunggu secangkir kopi habis, ada perbualan antara kami, apa kesudahan sang bujang terlajak, anak dara tua, bapa tunggal, ibu tunggal, nafkah anak dan lain-lain lagi. Sebenarnya kehidupan ini bukan milik insani. Kita merancang Tuhan yang tentukan.Banyak sekali pandangan dan rumusan. Paling penting, sebolehnya kita berusaha pulang sebagaimana dalam keadaan kita datang. Ertinya sewaktu datang ke alam fana' dalam keadaan bersih dan semoga pulang ke alam baqa' dalam keadaan redha dan diredhai.

Sedih dan getus hati melihat sang ayah atau ibu dibiarkan sendirian menghadapi hari-hari tua. Walhal mereka mempunyai zuriat. Bak kata kawan aku, di rumah kebajikan, ramai orang tua yang dibuang anak sendiri. Itu ujian yang bukan mudah dan setiap satunya terkandung makrifat dan iktibar.

Dan aku dengan kisah aku. Sejujurnya, aku membuat persediaan menghadapi hari tua sendirian. Mungkinkah ia noktah yang bertitik?

Sebolehnya, aku harap ia tidak akan menyusahkan sesiapa. Masa-masa yang berlalu tidak akan berulang. Semoga bila tiba saat-saat sebegitu kekosongan jiwa bukan lagi tanggungan. Jika diberi ruang dan peluang, ingin sekali mengakhiri hidup dengan penuh ketenangan sambil menunai apa yang dimpikan.

Sementara menuju saat itu aku melihat kebahagiaan dalam bentuk prisma. Kebahagian ibarat cahaya yang berserak dengan pelbagai warna. Ia subjektif dengan makna dan tafsiran.

Dunia ini indah. Lantaran itu, jangan sesejali dibiarkan kesilapan lalu kekal sebagai conteng yang tidak boleh dipadam. Kehidupan adalah peluang. Malangnya, ramai antara kita masih terikat dengan stigma, yang kesalahan akan kekal sebagai kesalahan.

Ramai yang bertanya, tidak sunyikah hidup sebegini. Banyak jawapan yang boleh digarap dan dipecah bahagi. Paling penting aku tidak hidup untuk mengemis simpati dan kasih. Jauh sekali menagih dari yang tidak sudi. Aku tidak berani menggunakan perkataan sumpah tetapi seikhlasnya, dalam usia yang menghala ke senja, sebolehnya aku ingin sendirian. Cukuplah ditipu, dipermainkan dan yang sewaktu dengannya. Watak-watak drama amat berat. Hakikatnya perjalanan selama ini membebankan.

Aku tidak pernah takut menempuh hari-hari mendatang kerana itu fitrah kehidupan. Tetapi masih ada perkara yang merisaukan. Selain amal ibadat, kesihatan juga tidak boleh dipandang ringan ....aku sering panjatkan doa seandainya umurku panjang ia tidak akan menyusahkan sesiapa.

Seandainya umur pendek, aku munajat perpindahan ke alam baqa' diambil sewaktu berada bersama insan-insan yang dipinggirkan. Biar aku bersemadi bersama suara kemanusiaan yang bencikan penindasan dan peperangan. Ia sebenarnya menjadi kunci ketabahan aku untuk terus kekal dalam kewartawanan. Selama inipun, jiwa ini tidak pernah berenggang dengan mereka. Jika ia berlaku, kebumikan aku di situ.

No comments:

Post a Comment