Lagu evergreen ini menceritakan betapa sukarnya meneruskan hidup selepas pasangan berpisah sama ada hidup atau mati. Sama ada sukarela atau sebaliknya. Moralnya, bukan mudah untuk meneruskan hidup dalam hati terus merindui. Adakalanya, kerinduan boleh membunuh.
Allahyarhamah Puan Sri Saloma selalu mendendangkan lagu ini. Aku masih ingat pada hari-hari terakhir, beliau muncul dalam sebuah rancangan terbitan RTM, sambil bermain piano allahyarhamah menyanyikan lagu ini. Penghayatannya amat jelas. Pada lirik lagu dan irama yang dialunkan, segalanya diluahkan demi menzahirkan kerinduannya terhadap Tan Sri P Ramlee.
Minggu lepas sewaktu minum petang di Saloma Bistro, berkali-kali aku memandang potret anak seni yang meninggal dunia pada usia 48 tahun. Aku tenung puas-puas wajah biduanita ini. Sesekali terfikir dengan aura dan nama yang dibawa sewaktu berada di puncak kegemilangan, Siapa sangka, Saloma terpinggir di penghujung hidup. Tidak banyak yang dilakukan untuk mengenang atau mengabadikan insan yang pernah menjulang nama Malaya dan Malaysia ini. Kisah dukanya menghadapi hari-hari kejatuhan masih tidak diceritakan. Kisah kesepian selepas kematian P. Ramlee dan pelbagai lagi yang masih tersirat.
Itu kisah Saloma.
Dan bagi aku pula, terdetik di hati, bagaimana selepas aku mati, pastinya tiada sesiapa yang akan peduli jauh sekali merindui kerana di kalangan orang yang pernah aku sayang, kehadiran aku hanya sekadar setitis embun pagi.......
No comments:
Post a Comment