Monday, November 2, 2009

Tiba Masanya Nanti

Sebelum ini, seberat mana kerja aku tampung selagi boleh sendirian. Seperti juga masalah peribadi aku kantung pada kudrat diri. Jangan sesekali babitkan orang lain. Hari ini, aku bereskan kerja membuat liputan D8. Keluar rumah jam 7 am dan pulang 1030pm. Itu bukan sesuatu yang pelik.

Di sebalik stress, tekanan dan yang sewaktu dengannya, ada aksesori yang menambahkan beban. Aku hairan kenapa kenyataan aku suka disensasikan padahal sama sekali tidak benar. Bukan sekali terjadi tetapi berulang-ulang.Mungkin ini dugaan. Inilah fenomena politik di pejabat. Aku menghindari terbabit dengan politik di luar, tetapi di pejabat aku menjadi modal untuk manusia terpilih menyiapkan cerita.

Perempuan, lelaki dan pondan ada sahaja, perhatian yang tertumpu kepada aku. Nak kata hebat, jauh sekali. Kalau kaya jauh panggang dari bara. Mungkin kerana gaya kot. Ini tidak masuk akal kerana sapalah aku. Ramai personaliti lain yang meletup-letup.

Itulah realiti kehidupan. Tidak ada cerita buat cerita. Bila ada cerita kenalah jaja. Kalau tidak ringan dosa.

Sebahagian kita sebenarnya kekakisan norma, sehingga tidak lagi merasa bersalah atau timbul rasa kesal kerana mengata atau mengena orang lain. Mungkinkah ini menjadi wadah bagi mengajar aku erti kesabaran.

Pesan orang tua-tua, semua ilmu boleh belajar kecuali satu, ilmu sabar.

Kesabaran cabang keintelektualan. Tiada guna melatah kerana ia akan memburukkan keadaan. Bak sebelum ini, kepahitan itu aku cuba jadikan penawar. Selagi boleh telan aku telan walaupun ia tidak akan hadam.

Apa guna bersengketa kerana aku juga nampak buruk. Lagipun sumpah seranah tidak akan membetulkan kesilapan, sebaliknya mencalit warna hitam bukan pada peribadi tetapi menyesap ke jasad.

Apalah sangat erti kehebatan duniawi...segalanya fana'. Usia aku semakin meningkat dan aku semakin tua. Tetapi aku tidak pernah lupa, yang ajal aku sebenarnya semakin dekat. Ia semakin hampir. Seperkara yang aku minta dari Tuhan, gantikan fitnah yang aku terima dengan kelebihan di kala aku dijemput pulang. Tutupkan keaiban dan permudahkan sakratul maut. Aku tidak ingin mati dalam kehinaan.

1 comment:

  1. life must go on, memang manusia-manusia dajjal ni cukup banyak di akhir zaman. Kerjany hanya mencari keburukan dan keaiban untuk disensasikan. Tidak merasa empati bagaimana sekiranya kita berada di tempat orang yang di mehnah. Kita ada tuhan untuk tempat mengadu dan bergantung nasib. Hanya dengan mengingatinya hati akan menjadi tenang.

    ReplyDelete