Sunday, November 29, 2009

Jalan Lagi

Pejam celik dah empat tahun tidak menyambut Aidil Adha di kampung. Begitu juga dengan Aidill Fitri. Komitmen kerja, itu juga pengorbanan. Dua tahun lalu di Darfur. Memandangkan cuti tahunan yang bertimbun dan dengan karenah syarikat yang semakin menjadi-menjadi, aku rasa sewajarnya aku menghabiskan masa di kampung kelahiran. (aku sebenarnya tidak ada kampung, sebab alamat rumah lama guna jalan bukit kecil @jalan d.i.d, Kuala Terengganu). Aku balik sehari aja. Tapi nak cerita macam balik seminggu.


Aku menginap di salah sebuah resort, dekat Batu Buruk. Sengaja aku duduk di sini walaupun ada rumah keluarga. Ada masa aku ingin sendirian dan di kebanyakan masa aku memang begitu. Dulu masa sekolah, aku selalu lepak kat sini. Ponteng asrama, seperti biasa bawa buku dan study sorang-sorang, sampai tingkatan enam aku terlepas, niat aku baik hendak ulangkaji sambil menikmati bayu laut. Sekolah aku tak sampai sekilometer dari sini.





Ini dia sekolah aku. Bangunan ini merupakan salah sebuah istana milik almarhum Sultan Zainal Abidin 111, moyangnda kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin. Nama istana ni aku dah lupa, tapi nama Arab. Dulu rumah lama kami, 708 adalah sebahagian daripada kompleks istana. Selepas tanah dan bangunan kekal diwakafkan, rumah kayu berkenaan dipindahkan. Akhirnya dibina semula di Jalan Bukit Kecil. Banyak kejadian aneh dan misteri berlaku di sekolah ini. Tetapi aku tidak pernah alami sebarang benda pelik walaupun pernah tertidur dalam kelas sewaktu prep. Sedar-sedar jam 3 pagi. Aku study di bilik yang hujung sekali. Mungkin makhluk berkenaan mengenali kami. Cuma rumah 708 dianggap keras. Selimut ditarik, kaki digaru dan dicucuk pinggang ketika tidur, perkara lumrah yang pernah aku lalui. Sebab itu ramai adik beradik aku dan sedara mara tidak tahan bila balik ke rumah berkenaan, kerana makhluk terbabit menunjukkan diri sebagai pengawal yang siap berlembing.



Minta izin dengan pak guard nak ambil gambar. Sebab aku terus kekal sehingga tingkatan enam, ada usikan di kalangan kawan-kawan, yang aku tidak akan sesat walaupun ditutup mata. Ini universiti pertama aku. Tempat di mana aku belajar bahasa Arab dan agama. Dengan asas ini kami pergi jauh walaupun tidak menjadi ustaz. Ramai rakan sekelas yang menceburi pelbagai bidang profesional kerana mereka menyambung pelajaran setelah tamat SPM. Aku bersama 7 yang lain meneruskan pengajian ke tingkatan enam, yang penting aku berjaya juga capai cita-cita nak jadi wartawan. Di sini aku tidak ramai berkawan, kecuali rakan sekelas. Kami ada group masa tu(perasan giler kononnya geng bijak pandai dan urban. ) Sebab itu semasa berada di UKM, aku tidak ramai kawan sebab kebanyakan yang kamceng pergi ke tempat lain.

Tapak 708 setelah dijual. Sedih aku tengok. Mana perginya rumah cengal Potong Belanda yang menjadi kebanggan kami, aku harap, ia masih dihargai sebagai kediaman. Setelah rumah dijual, aku memujuk pembeli supaya memberi aku 3 keping papan anak tangga, untuk disimpan sebagai kenang-kenangan, tetapi ia ditolak mentah-mentah. Dulu keluarga kami pernah berikhtiar untuk mengeluarkan makhluk halus dari 708, tetapi tidak berjaya kerana terdapat ikrar zaman berzaman dengan raja-raja Melayu terdahulu. Sudut ini dirakam dari pintu pagar. Pembeli dah robohkan tiang konkrit.


Pokok Putat yang terletak di luar pagar. Dulu ada stor dan garaj kereta bawah pokok ini. Tapi jarang Tok Ki parking TA 50 kat situ, sebaliknya depan rumah. Ramai yang kata pokok ini berpenunggu...tapi aku selalu panjat sebab nak petik pucut. Sekali sekala selongkar sarang burung.




No comments:

Post a Comment