Wednesday, September 30, 2009

Legasi

Aku bersyukur, sebahagian suku sakat aku mula melakukan usaha untuk menghidupkan semula seni tradisi Terengganu. Paling penting ia mampu menyelamatkannya daripada terus pupus ditelan zaman. Bagi yang berkemampuan usaha secara individu telah digerakkan. Setiap kali pulang, aku akan lepak dan memerhatikan sebarang kerja yang dibuat. Sebelum ini, maman telah pindahkan meja kerja ke ruang ini> Ia bagi memudahkan pemerhatian dilakukan.

Apapun 708 tetap sentiasa di hati. Rumah lama itu terlalu istimewa. Selain banyak kejadian misteri, rumah berbentuk Potong Belanda itu, amat nyaman. Sebahagian strukturnya yang terdiri dari kayu cengal berusia lebih 130 tahun. Ia merupakan bekas istana yang terpaksa dipindahkan, selepas kawasan berkenaan diwakafkan menjadi Sekolah Menengah Agama (A) Sultan Zainal Abidin. Bangunan batu masih wujud dan terus terpelihara di kawasan itu. Yang best aku sendiri bersekolah di situ...

Rumah yang dibeli dan dibina semula ini, sedikit sebanyak mengubat kerinduan aku pada 708, terutama di bahagian dinding di sebelah luar, tingkap dan bentuk bumbungnya.

Fatimah memang jiwa mung Melayu abih, walaupun mata biru dan rambut mung perang. Kelah ahhh..Ali bangga dengan usaha yang dilakukan. Boleh tumpang sekaki......

Pembahagi bilik ini dipanggil Janda Berhias.

Masyarakat lama Terengganu panggil bahagian berukir "sobek"

Cantik dan penuh dengan kehalusan seni, pemidang yang dibeli dari rumah lama di Kuala Berang

Dinding ini seakan 708...aku rindukan rumah lama itu.

Ukiran di lambor @ beranda

Bila ramai berkumpul ruang ini paling "happening"

Mulut

"Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin"...Ucapan itu pasti akan terpancul hampir dari semua orang Melayu yang beragama Islam. Di negara ini, ia menjadi sesuatu yang sinonim. Kekadang aku melihat macam burung kakak tua. Tahu melafazkan tetapi tiada penghayatan. Cuma tahu cakap, sedangkan falsafah dan pengertiannya hanya berakhir di bibir mulut.

Aku mengaku dan malu kerana tidak sampai 10 buah rumah pergi beraya. Selain kerja, malas hendak menjawab soalan cepu emas, membuatkan aku lebih rela memanjakan diri di katil sambil membaca buku.

Bak kata kawan aku Mona, pagi-pagi minta maaf, salah silap dan sebagainya, tidak sampai 5 minit selepas berkumpul atau bila pergi ke dapur mulalah ada sesi pok pek pasal orang itu, orang ini. Perbuatan mengumpat, agenda paling mudah mengundang dosa. Atas faktor itu, Islam mengkategorikannya sesuatu yang tercela.

Sayang seribu kali sayang, roh sebulan berpuasa, hilang sekelip mata di saat kita meraikan kemenangan melawan nafsu.

Insiden berlaku ketika aku pulang beraya di Kuala Terengganu. Aku ditanya soalan yang membabitkan perkara peribadi. Aku faham bagi orang Melayu, soal jodoh, kahwin, cerai dan yang sekufu dengannnya berada dalam tangga teratas untuk melariskan air liur.

Perkara itubertalu-talu dibangkitkan. Kali pertama aku diam, kali kedua aku senyum, kali ketiga aku tunduk dan bila keempat, aku merasakan sudah tiba masanya yang menanya dipulangkan paku buah keras.

Bayangkan aku ditanya di hadapan awam dan yang menanya dengan gigi jonggang gelakkan aku. Apa engkau orang ingat aku badut, sehingga tiada harga diri.

Demi maruah, aku bersuara sinis.

"Orang Islam diajar, tidak mengaibkan orang lain, bila berjumpa ucapkan kata-kata yang elok dan tidak menyakitkan orang lain".

Yang bersuara tetiba diam. Jadi ini peluang aku untuk melepaskan kemarahan dengan berhemah.

" Kenapa hendak menanya perkara peribadi. Banyak lagi benda berfaedah. Setiap orang ada maruah sendiri dan bla bla....".

Akhirnya yang berkenaan meminta maaf. Aku terima, tetapi kemudian aku beredar dalam senyuman yang begitu hambar...hati aku tercalar, cerita peribadi dan maruah aku tidak semurah itu untuk dijaja dan digelak ketawa....Mood beraya aku beransur mati, tanpa berfikir panjang aku hidupkan kereta dan terus pulang ke Kuala Lumpur.

Saturday, September 26, 2009

Thursday, September 24, 2009

Pick & Brew

Keadaan kecoh sebaik aku meletak kereta di bawah rumah. Beberapa langkah aku menanya Achee yang berdiri di sebalik gril.

" Ada apa, auntie ramai guard".

"Entah atas ada kecoh". Jawab Achee dengan eleng kepala.

Aku cuak rumah siapa jadi mangsa kali ini. Tidak ada lain yang berpinar di otak kecuali fikirkan kes pecah rumah terutama pada musim perayaan.

Sampai di tingkat satu aku bertanya, kepada guard.

"Ada orang pengsan dalam rumah, ni house mate dia". Jawab pak guard @ tok misai.

"Saya keluar tidak bawa kunci, kawan saya kurang sihat, saya rasa dia pengsan. Abang ada hammer?, dengan nada cemas mamat ini menanya.

"Ikut abang ke rumah".

Aku berlari pantas naik ke rumah di tingkat lima. Tanpa berlengah terus buka tool box ambilkan penukul.

Aku bersama pak guard berhempas pulas dalam 15 minit cuba pecahkan pintu dan gril. Akhirnya berjaya. Sebagaimana dijangkakan, mamat sorang lagi pengsan dan tersembam. Dia berada dalam keadaan mamai.

Aku tanpa berlengah suruh telefon segera ambulans. Aku lihat mamat ni gemuk semacam dan bernafas tercungap-cungap. Aku baringkan dan alaskan kaki, supaya oksigen lebih banyak ke kepala. Dalam keadaan yang cemas, mamat yang terbungkam ni boleh rayu tidak hendak pergi ke hospital. Aku bagi isyarat kepada member dia yang panik semacam, yang dia perlu dihantar segera. Aku rasa dia macam kena mild stroke.

Sejurus selepas itu ahli keluarga dia sampai dan aku berikan pendapat sebelum balik ke rumah, yang keluarganya perlu berkeras, hantar ke hospital. Si abang mengangguk. Selepas itu aku beredar balik ke rumah. Sebenarnya aku tidak pernah bersembang dan bertegur sapa sebelum ini, mungkin kerana kesibukan dan aku adalah aku.

Balik ke rumah, banyak perkara yang aku fikiran. Perkara yang sama mungkin berlaku kepada aku. Lebih dari itu, aku tinggal keseorangan. Jika apa-apa berlaku tiada siapa yang tahu, berserah saja kepada Allah.

Sebenarnya, di hari raya ke lima, aku masih tidak ke mana-mana. Tiada sebuah rumahpun aku ziarah dan beraya. Dua hari sebelum raya Intan dah hantar sms, ingatkan aku rumah terbuka dia 3 hb depan di Sungai Long, Kajang. Tidak cukup dengan itu, dia telefon dan macam murai tercabut ekor aku kena bebel.

Sejak keluar rumah pukul 1.15 petang, aku menghabiskan masa di MPH One Utama. Sebelum itu aku ke Kluang Station. Jemu di MPH aku menghabiskan secangkir kopi Sumatera bersama croissont di Pick and Brew. Aku duduk puas-puas, sambil memandang ke Penchala Link. Semua perasaan bergelodak. Di sudut itu, di kerusi itu dan kopi itu, menjadi kelaziman aku membawa diri. Bermonolog tentang diri sendiri.

Aku tidak akan ke mana-mana walaupun mengambil cuti panjang. Atas nasihat yang diberikan, aku terpaksa batalkan hasrat ke luar negara. Kali ini aku tidak mampu berkeras kepala atau ikut rentak diri sendiri. Ia untuk kebaikan aku. Sesekali bergenang air mata apabila teringatkan sesuatu yang merenggut kalbu.

Panggilan Amid, mengejutkan aku dari lamunan. Aku diberitahu yang Boyeh tidak jadi balik ke Malaysia bulan depan. Ia membuatkan aku terkulat. Sebaliknya Amid ajak aku ikut dia balik ke Perancis 23 Disember ini. Aku tersenyum. Sukar untuk berjanji dalam keadaan sekarang. Apatah lagi pada tarikh itu, aku telah mengatur temujanji....

Lamunan aku berakhir apabila teringat supplement yang aku perlu dapatkan dari GNC. Dua jenis makanan tambahan membuatkan duit aku terbang lagi RM 300. Ia tidak dapat ditolak kerana menjadi satu keperluan dalam keadaan sekarang.

Dalam usia menghampiri 40 an, stamina aku masih menyamai mereka yang berusia 22 tahun. Aku bersyukur kerana dengan gaya hidup sihat, ia memberi pulangan tetapi ia bukan bererti aku bebas dari penyakit. Risikonya masih ada.

Dari One Utama aku ke The Curve. Tidak lain kalau bukan ke Harvey Norman. Aku perlu dapatkan sesuatu di situ, sebagaimana yang dinasihatkan.

Wednesday, September 23, 2009

Biarkan

Hari ini, sudah 4 hari umat Islam menyambut Hari Lebaran. Pada hari pertama dan kedua, aku bekerja walaupun keadaan tidak begitu mengizinkan. Di hari ketiga aku mula bercuti untuk dua minggu. Balik saja kerja pada Hari Raya kedua, aku tertidur selepas Maghrib dan aku terjaga pada jam 11 pagi keesokan harinya. Bukan lagi tidur. Itu namanya membuta.

Aku penat, otak dan fizikal aku mempunyai batasan. Tidak selamanya boleh diperah. Kesudahannya selepas tiga hari aku tidak ke mana-mana, terperap di rumah sambil makan dan baca buku. Bila aku jeling, banyak lagi buku di rak yang belum dibaca.

Saat bersendirian, dalam satu segi memberikan 1000 kekuatan dan dalam satu segi lain, kesunyian itu membunuh. Kerana itu, aku lakukan pelbagai perkara bermanfaat tatkala jiwa mula merasa ke arah itu. Sesekali aku diterjah pertanyaan, mungkin juga aku menghembuskan nafas dalam keadaan sendirian + sunyi. Ohhhh segalanya aku berserah pada apa yang tertulis di Loh Mahfuz.

Apa yang aku lakukan sekarang, cuba melengkapi masa cuti yang panjang. Saat aku akan berkelana keseorangan. Sekali lagi perasaan itu datang. Mengapa ya, sering wujud pertanyaan itu dalam diri?

Nun jauh terawang di Eropah, aku merindui musim dingin, melihat daun-daun keguguran. Aku impikan saat-saat indah menikmati secangkir coklat panas sambil dikelilingi si mata biru, hazel dan hitam.




Oh Paris, kota romantis....mampukah aku penuhi undanganmu untuk tahun ini. Amsterdam, kota kenikmatan, dinginmu sememangnya menghangatkan.



Biarkan tatkala kedinginan dan di saat keheningan pagi hari aku terus diulit angan.

Friday, September 18, 2009

Satu Subuh Yang Bening

Aku terjaga dan mata ini begitu sukar untuk lelap kembali. Cukuplah aku bersahur sekadar apa yang ada dengan meminum sebanyak mungkin air. Lagipun kebelakangan ini kesihatan aku terjejas. Dalam tempoh seminggu dua kali ke klinik. Mustahil untuk aku mengambil cuti sakit memandangkan tenaga kerja amat terhad. Lagipun mana ada orang nak ganti kerana member yang lain telah mula balik kampung. Aku tidak ingin menyusahkan kekawan. Biarkan mereka dengan kemeriahan untuk sambutan Eid Mubarak.

Di hadapan laptop aku tersenyum lega kerana telah membeli kelengkapan beraya anak-anak saudara aku. Walaupun tidak berpasang-pasang, sekurang-kurangnya aku mampu memenuhi hajat apa yang mereka impikan. Tahun ini, ia agak meringankan kerana 3 daripada mereka telah tamat pengajian. Seorang ijazah sarjana muda dan dua lagi diploma. Hanya Daus yang masih mencari kerja. Kak Long dan Abang Cik telah mampu cari rezeki sendiri.

Sejak 11 tahun lalu selepas abang ipar aku meninggal dunia kerana serangan sakit jantung, 6 beradik ini begitu dekat di jiwa aku. Aku begitu menyayangi mereka, menatang dan menggalas tanggungjawab setakat yang termampu.

Bagaimanapun, 5 tahun lalu, Khairul Atmam meninggalkan aku. Arwah yang memanggil aku "ayah", meninggal dunia akibat lemas di Pantai Sura, Dungun, di saat begini, aku terbayangkan telatahnya. Tetiba air mata ini berjurai. Kelibatnya masih terbayang kerana seminggu sebelum meninggal aku memaksa Khairul makan dengan puas piza di TTDI. Kami bersembang bagaikan anak dengan bapa. Sambil makan aku menyakat dan bergurau. Akhirnya dia tunjukkan isyarat jari telunjuk di perut dengan menggelengkan kepala kerana kekenyangan memakan piza.

Dengan iras wajah lebih kepada mat saleh, arwah yang kami panggil K terlalu rapat dan dengan semua orang. Aku tidak ingin kembali lagi ke rumah persinggahan kami di tepi pantai berkenaan. Setiap kali aku mendengar desiran ombak, perlahan-lahan air mata aku menitis. Aku pernah bertanya pada sang ombak, mengapa mengambil anak yang tidak berdosa yang baru ingin mengenal dunia. Mengapa terlalu rakus pada insan kerdil yang dikerup sewaktu bermain di gigi ombak. Mengapa tidak aku sebagai gantinya?

Tetapi bila didongak rasa pada takdir, aku tahu ia adalah perancangan Yang Maha Esa. Aku bersyukur kerana Kay diambil pada usia muda. Dia bahagia sekarang di sisi Tuhan, menjadi pelayan syurga dan aku tahu, dia sedang menunggu aku di alam sana.

Tidak lama selepas itu, jiwa ini diragut lagi. Kakak aku pula dipanggil pulang ke alam barzakh, akibat barah. Tinggalah lima beradik yatim piatu. 21 September 2005 menjadi detik suram untuk kami semua.

Terlalu mudah kakak aku dijemput pulang. Aku bersyukur walaupun diberi kesempatan sehari melayan di wad HUKM selepas pulang dari Manila dan Sarawak, sekurang-kurangnya aku puas bergurau, bersembang dan memohon maaf sebelum arwah memejam mata untuk selamanya.

Insan ini terlalu gigih. Kanser yang dihidapi sama sekali tidak menghalangnya daripada menyudahkan pengajian peringkat sarjana. Kanser kulit yang disahkan pulih oleh doktor nyata begitu jahat dengan menyelinap masuk ke sel-sel lain. Selepas vival kakak aku dimasukkan ke hospital kerana lumpuh.

Aku menerima kepulangannya dengan redha. Aku segera bangkit dan menujahkan kekuatan yang mana aku tidak perlu meleretkan rasa nestapa demi anak-anak buah.

Aku perlu lebih kuat dari mereka.

Ia memberi peluang kepada kegagalan sebelum ini untuk aku curahkan naluri kebapaan kepada mereka. Kerana aku tahu mereka tidak mampu sendirian menempuh kehidupan.

Nyata, sekarang mereka mampu berdikari dan mempunyai keazaman yang kuat untuk meneruskan kehidupan. Kak Long meneruskan lagi pengajian dan melakukan kerja separuh masa untuk tampung kos hidup. Daus masih menganggur walaupun mendapat pelajar terbaik dalam Diploma Chemical Engineering. Abang Cik meneruskan cita-cita untuk menjadi pelaut.

Hanya ada dua lagi yang masih bersekolah. Seorang di UITM dan seorang lagi di tingkatan satu. Mereka semua insan tabah....meneruskan hidup tanpa ayah dan ibu. Walaupun kami adik beradik memberikan yang terbaik untuk mereka, aku tahu ia tidak akan setanding kasih sayang ibu bapa mereka.

Wednesday, September 16, 2009

Beraya?

Jam telah menunjukkan hampir 4:00 am, mata aku masih belum ingin lelap. Penyakit lama datang semula. Payah tidur atau insomnia, bukan sesuatu yang asing dalam diari hidup aku. Di saat orang lain lena dalam dakapan macam-macam berlegar di kepala. Ohhh duniawi.

Eid Mubarakpun hampir dekat, satu benda aku tidak bersedia. Seperti biasa, aku akan bekerja, di kala orang lain bersama keluarga. Sejak 9 tahun lalu, ia menjadi rutin. Entah mengapa tahun ini menjadi paling malas, mungkin kerana kena penangan si penipu atau juga bajet yang semakin susut. Aku ada juga menjeling beberapa jenama yang aku selalu pakai, tetapi dalam situasi sekarang, keadaan tidak begitu mengizinkan, apatah lagi aku akan bercuti panjang selepas Eid nanti.

Aku rasa seperti biasa, cukuplah solat sunat hari raya dan terus ke pejabat dengan jeans dan baju T. Itu sudah menjadi lumrah. Kalau ada suara kutukan, biarkan mereka. Di hari meraikan kemenangan, aku tidak akan menjawab perkara yang menyakitkan hati dan pertanyaan sumbang.

Cukup setakat pemahaman dan penghayatan Eid Mubarak. Ia penting supaya aku tidak terleka. Masih ramai mereka yang bernasib malang. Apatah lagi jiwa dan perasaan aku selamanya terpahat di bumi Gaza. Ohh Tuhan Yang Maha Mendengar, semoga ku mampu tebus kesilapan, kealpaan, keculasan dan segalanya dengan berbakti di situ. Berilah aku peluang sekali lagi untuk kembali lagi ke tanah syuhada'. Di sebalik kesengasaraan perang dan cengkaman zionis, aku temui sesuatu yang aku cari....di situ aku mampu melupakan sendi-sendi kecewa dan hasutan naluri, yang selama ini membelenggu diri. Insan di Gaza lebih memerlukan aku daripada diriku sendiri....Semoga peluang yang aku harapkan akan tiba.

Jika tidak di situ, berikan aku peluang untuk ceritakan penderitaan mereka yang sebangsa dan seagama di Selatan Filipina dan Thailand. Biarlah aku redah kesusahan dan mempertaruhkan jiwa untuk membantu. Mereka insan-insan terainaya yang sebenarnya semakin dilupa.

Sunday, September 13, 2009

Di Mana Aku

Pejam celik, minggu depan umat Islam menyambut Eid Mubarak. Hampir semua topik perbualan terarah ke situ. Segala masalah yang serumpun dan berkaitan dengan perayaan itu menjadi tajuk utama berita dan akhbar utama.

Pastinya, isu politik akan sedikit reda sebaliknya tumpuan akan diberikan kepada hal-hal yang berkaitan kepenggunaan. Isu barangan kawalan membuatkan menteri berkenaan, panas bontot.

Satu lagi perkara yang tidak perlu dipandang ringan, keupayaan OPS Sikap ke20. Mampukah ia mengurangkan jumlah korban dan kadar kemalangan. Yang pasti saban tahun, jumlah korban pada setiap kali sambutan perayaan, ia mencatatkan peningkatan. Ramai yang terkorban sama ada angkara kelalaian sendiri atau kegoan orang lain yang ingin menjadi hero di jalanraya.

Kekadang aku berpendirian, itulah proses kitaran kehidupan. Sesekali kekesalan bermain di benak betapa ramai yang mati begitu sahaja.

Tulisan ini bukan berniat menghukum, tetapi sekadar menyuarakan rasa terkilan dengan sikap pemanduan sebahagian daripada kita yang tiada berotak. Ini punca segalanya. Kalaulah otak berfungsi dengan waras, ia akan mempengaruhi tingkah laku sekaligus membentuk pemanduan yang beretika.

Bagi generasi muda yang baru menapat lesen, mereka taksub dengan stereng, yang tua bangka masih tidak sedar diri dengan merasakan merekalah pemandu profesional. Ini semua membentuk tingkah laku yang jika gagal dikawal bukan sahaja merosakkan diri sendiri tetapi boleh membahana orang lain.

Tahun ini genap 21 tahun aku mendapat lesen sah memandu kereta. Kalau dikira tanpa lesen, aku mula menyunglap @ memandu kereta secara curi-curi ketika berusia 14 tahun. Evolusi usia membuatkan aku semakin sedar diri ketika berada di atas jalan raya.

Tidak dapat dinafikan sewaktu zaman frust menonggeng dulu, aku juga juara di jalan raya. Dari Bangi ke JB hanya dua jam. Begitu juga sebaliknya. Bagaimanapun kemalangan sewaktu menunggang superbike ZZR 600 pada 27 Januari 2000, merubah segalanya. Sebelum itu, ketika ramai menasihati aku supaya jangan membawa dengan laju, aku balas dengan senyuman kerana kelajuan memberikan keseronokan yang tidak terkira.

Ketika itu aku ingin lari dari kenyataan selepas berpisah dengan orang yang paling aku sayang. Tetapi aku silap bukan dengan cara begitu untuk menyelesaikan masalah.

Ketika dimasukkan ke wad kecemasan, Zod (member kamceng sejak dari UKM)tanya sakit tak...masa tu aku tengah mamai. Dengan tercunggap aku menjawab "Kepala aku rasa macam nak pecah". Zod yang selama ini bengang dengan perangai aku yang suka pecut laju sama ada dengan kereta dan motor melepaskan geram.

"Tu kau belum mati, kalau mati kau lagi sakit kena siksa".

Sejak dari tarikh itu, aku mula ubah sedikit demi sedikit. Mungkin juga faktor usia membuatkan aku banyak berfikir dan semakin matang.

Beberapa siri kempen keselamatan seperti Kelajuan Membunuh, Jangan Biarkan Yang Tersayang Menanti Dalam Tangisan dan Kemalangan Adalah Tragedi sedikit sebanyak mengendurkan kegoan aku.

Saturday, September 12, 2009

Bila Aku Ke Dapur

Latarbelakang yang pelbagai memperkayakan menu keluarga aku. Ada sesetengahnya hilang begitu sahaja apabila generasi tua kami meninggal tanpa sempat menurunkan kepada golongan muda. Stew, steak, chiken boxer antara makanan barat yang menjadi keistimewaan keluarga kami sejak dulu.

Berbeza di tempat lain, masyarakat di Terengganu agak tertutup. Bagi keluarga aku, beberapa hidangan Barat akan dihidangkan hanya pada masa tertentu. Stew pada majlis tahlil, steak biasanya pada Eid Adha. Aku masih terbayang reaksi orang kampung apabila memakan stew pada majlis tahlil sewaktu Tok Ki meninggal dunia. Pada 1982 ia sesuatu yang asing kepada mereka.

Begitu juga dengan steak, bila Hari Raya Haji, ada jiran akan meminta keluarga kami masakkan makanan berkenaan.

Hari ini sebab off day aku lapangkan masa untuk memasak. Terlintas yang sudah lama tidak merasa stew ala Perancis. Resepi yang menjadi milik keluarga kami. Ia diperturunkan Tok Mak, nenek saudara aku. Arwah yang merupakan saudara sebapa dengan Tok Ki, begitu tegas dan berdisiplin dalam apa juga urusan termasuk menyediakan resepi. Segalanya ada peraturan yang teliti dari segi penerampilan, tutur kata sehingga ke amal ibadat.

Semasa kecil aku menganggap ia sebagai kolot dan terkongkong. Tetapi bila semakin dewasa, aku memahami ia sebahagian sukatan pembelajaran. Apa yang diterapkan Tok Mak merupakan nilai keluarga bangsawan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Biarpun tiada lagi gelaran apatah lagi harta bertimbun, pendidikan tidak rasmi yang diterima sebenarnya membentuk peribadi. Paling mustahak ia menjadi landasan agar diri menjadi seorang yang beradab dan tahu harga diri.

Arwah meninggal pada 1987 pada usia 87 tahun, tidak meninggalkan sebarang zuriat walaupun berkahwin sebanyak 4 kali. Arwah mengulangi sejarah keluarga dengan berkahwin kerabat Diraja Terengganu dan keluarga al Idrus. Banyak sumber susur keluarga kami dari sebelah Riau-Lingga dan sejarah pelayar Perancis aku perolehi daripadanya.

Ok lupakan latarbelakang itu. Berikut resepi Stew Perancis...mudah, ringkas dan berkhasiat.

1Kg daging, campur batang pinang dengan yang ada lemak sikit
50 gram mentega-nak sedap brand President dari Perancis
3 Labu bawang besar-cincang
6 ulas bawang putih
3 sudu besar parsley
5o gram tomato puri
1/2 cawan oat @ gandum
3 batang saleri, potong
1 biji lada benggala
4 biji cendawan putih @ shitake, racik halus
4 batang lobak merah, potong 3 segi
2 sudu lada hitam
Garam secukup rasa.


Panaskan mentega sampai cair jangan lama sangat nanti hangus. Untuk elak mentega hangus masukkan sedikit minyak jagung.



Masukkan daging, tujuannya untuk "seal". Nanti bila masak lama daging tidak kecut. Kaedah ini biasa dikalangan orang Perancis. Untuk bangkitkan rasa, masukkan bawang putih sebiji-sebiji. Jangan cincang bawang putih. MAsak dalam 10 minit, balik-balikan. Lepas itu keluarkan daging berkenaan.


Masukkan bawang besar yang telah dicincang. Kacau sampai bawang berkenaan layu dan menjadi karamel. Kaedah yang sama untuk membuat Soup de onion..sup bawang.



Kemudian masukkan oat. Gaul dalam 5-10 minit kena kacau. Kalau tak ada oat boleh ganti dengan gamdum. Tujuannya untuk memekatkan kuah.



Kemudian masukkan puri tomato. Perlahan api ke tahap sedarhana. Kacau selalu selama 10 minit. Selepas itu masukkan air sesuka hati. Kacau sekali sekala selama 10 minit @ sehingga menggelegak.

Ini antara sayur yang telah sedia untu dimasukkan ke dalam puyuk (sebutan orang Terengganu). Bergantung hendak masuk sayur cepat atau lambat. Ikut resepi asal masukkan awal. Ini untuk dapatkan jus. Tetapi aku masukkan lambat, selepas 45 minit daging dimasak. Ingat bila buat stew periuk kena sentiasa tertutup. Untuk hasil yang lebih baik masak dengan api yang amat perlahan. Penting supaya daging tidak meyetok dan pohu (daging masak dengan sekata dan emput elok)

Ini dia, selepas 45 minit, aku masukkan sayur dan masak selama 15 minit lagi. Masa ini dah boleh masukkan garam dan lada hitam. Resepi asal dimasukkan kacang peas, lagi sedap. Aku tidak suka sangat. Ia bergantung atas budi bicara tukang masak.

Dah bersedia untuk dingap. Sepatutnya makan dengan roti Perancis, tetapi aku malas nak beli semasa pergi Cold Storage. Dalam fridge ada roti canai dari Terengganu. Aku belasah jer untuk berbuka ...

Aku belanja dalam RM 35. Kalau makan di Secret Recipe, Irish Lamb Stew RM 21. Itu sekali makan. Ini dengan RM 35 aku boleh bagi kat jiran dan dua bekas lagi kepada kawan sepejabat.

Friday, September 11, 2009

Di Mana Kita

16 September depan berakhirnya, sambutan Bulan Kemerdekaan dan 20 September, umat Islam akan menyambut Eid Mubarak. Tidak seperti kelaziman, tahun ini Hari Kebangsaan disambut dengan cukup sedarhana. Tanpa perarakan besar-besaran, yang penting tiada "count down" yang gila-gila sebagaimana sebelumnya.

Inilah hikmah sambutan 31 Ogos di bulan Ramadan. Aku benci dengan sambutan yang bukan bertunjangkan nilai setempat. Konsert sana sini. Sejak sekian lama, budaya kuning dipinjam untuk semata-mata untuk meraikan detik yang bersejarah. Tanpa disedari mereka mencemari natijah perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan.

Seandainya tokoh pejuang terdahulu melihat keghairahan tiada batasan golongan tertentu menyambut Hari Kemerdekaan, mesti hancur lulur hati mereka. Jika generasi sebelum ini menggunakan agama untuk menyemarakkan perjuangan, tetapi golongan terkemudian menggunakan arak, ganja dan maksiat untuk meraikan apa yang mereka perjuangkan.

Mungkin juga dengan pendidikan yang diterima menyebabkan mereka melihat kemerdekaan dalam bentuk yang mudah. Dalam erti kata yang lain, ia sekadar perayaan @ sambutan tanpa ada penghayatan. Saat yang bermakna hanya sekadar reaksi hiburan. Atas nama kemodenan ia cuba diraikan dengan nilai global seperti Hari Kemerdekaan di Amerika Syarikat. Inilah yang ada pada minda mereka yang tongong bin bangang.

Itu tidak mengambil kira penghayatan terhadap sejarah. Kesempitan fakta dan kejulingan terhadap subjek memburukkan lagi keadaan, Lebih dhaif bila perjuangan mendapat kemerdekaan hanya bermula pada abad ke 20, walhal banyak nyawa pejuang Melayu gugur lebih awal daripada itu.

Dari Siam, Portugis, Belanda, British dan Jepun, berapa banyak yang rebah ke bumi kerana pertaruhkan diri mempertahankan Tanah Melayu di atas nama agama Islam dan kebebasan. Sesetengah mereka bersemadi tanpa nisan dan jika ada dihiasi rimbunan semak samun.

Banyak yang menjadi wira yang tidak didendang. Jika ada nama, hanya terselit dalam lipatan mulut penduduk setempat. Tiada usaha untuk memertabat dan meletakkan mereka di makam yang sewajarnya.

Di mana penghargaan untuk Raja Haji, Si Putong, Tok Gajah, Sharif Mashor, Tok Janggut dan lain-lain lagi.

Di Kelantan dan Terengganu, nama seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut, hanya jadi sebutan. Tetapi tiada usaha untuk mengabadikannya pada jalan atau premis tertentu.

Mereka menjadi wira sepi yang mana satu hari namanya akan lupus ditelan waktu. Jabatan Muzium dan Antikuiti dan Arkib Negara, terus kaku dan sunyi. Mungkin fungsinya lebih serasi untuk berdiam diri.

Dua hari lepas, DBKL mengumumkan yang Jalan Berhala ditukar kepada nama tokoh MIC atas alasan menghargai sumbangan yang diberikan dan menjadikan kawasan berkenaan sebagai Little India.

Butakah mata kita, yang berapa ramai tokoh nasionalis Melayu yang berasal dari Kuala Lumpur sebelum kemerdekaan, namanya kita dibiarkan lusuh dimamah zaman. Sesetengahnya mati di hujung bonet Jepun dan diratah peluru komunis. Adakah masyarakat Melayu di Kuala Lumpur ketandusan tokoh sehingga tiada nama yang layak diabadikan.

Kalau dulu ada Kampung Abdullah Hukum, sekarang apa yang tinggal? Bagi aku inilah sikap pemurah yang ada pada segelintir pentadbir dan ahli politik Melayu yang akhirnya membawa bala kepada bangsa sendiri. Tidak cukup-cukup memberi dan mereka lupa yang menerima tidak henti-henti meminta. Ibarat kunyit dengan kapur bila Tun Mahathir mengingatkan kita, yang Melayu mudah lupa.

Ruang sejarah perlu dibuka. Kelompok pejuang kiri seperti Ahmad Boestaman, Shamsiah Fakeh, Sakinah Juned dan ramai lagi terus dipandang negatif. Hakikatnya mereka golongan yang mempunyai cara tersendiri menentang British. Sekali lagi kita tidak cuba memperbetulkan propaganda dan perang psikologi yang ditanam British, yang mereka penentang orang Melayu. Ketika itu penjajah menggunakan alasan komunis untuk membangkitkan kebencian kepada mereka. Bagi aku setelah menelaah beberapa memoir yang ditulis tokoh berkenaan, ada sesuatu yang perlu diperbetulkan.

Bila sukatan mata pelajaran sejarah melihat kebangkitan nasionalisma hanya bermula pada abad ke 20 bukannya tempoh masa sebelum itu. Sesuatu yang dikesalkan bila melihat hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan nasib orang Melayu pada 1946. Ke mana Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar dan Hizbul Muslimin.

Benarlah kata cendikiawan yang sejarah ditulis mereka yang menang.

PAS beruntung kerana lahir dari perpecahan golongan ulamak dalam UMNO. Jika ia lahir sebelum itu, mungkin PAS juga akan menerima nasib yang sama.

Sementelah Melayu masih memegang kuasa, jadikan pepatah ini sandaran, anak sendiri kebuluran, kera di hutan disusukan.

Aku sendiri takut, yang UMNO selama ini menjadi tunjang perjuangan orang Melayu akan melencong. Ramai pemimpin pelapis kekakisan jatidiri. Bukan setakat berbunga tetapi telah berputik dengan baik. Tidak perlu pergi jauh. Sebahagiannya bukan setakat berterampilan dengan berjenama mewah, malah lebih mengutamakan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian sehingga terbawa-bawa dalam perbincangan parti. Aku percaya mereka tidak bermimpi. Cuma keliru dek pendidikan yang diterima. Kekeliruan itu menyebabkan yang berkenaan kabur dalam menzahirkan amanah perjuangan. Mereka juga mamai sehingga tidak sedar di mana bumi dipijak.

Ingat Bahasa Jiwa Bangsa.....jika bahasa ibunda sendiri terpinggir ia memberi makna sesuatu perlu dilakukan segera. Melayu wujud bukan pada bentuk fizikal semata-mata tetapi yang mustahak pengisian jiwa.

Itu atas nilaian bangsa. Bagaimana pula dengan penjenamaan Islam dalam perjuangan sebagaimana yang diwarwakan....Jika dinisbah kepada ciri kepimpinan seperti yang disyarahkan Ikhwanul Safa' mengenai siasah wal qiadah, tindak tanduk sebahagian pemimpin Melayu seolah-olah jauh panggang dari bara. Atas nama politik dan kedudukan, mereka cuba mencari jalan bagi menghalalkan sesetengah perbuatan.

Bila disuarakan, akan ada persepsi yang tulisan ini cenderung kepada parti politik tertentu. Jangan melatah, kerana Islam hak milik semua. Islam itu ad Din yang syumul.

Bila ditegur kerana tidak bersembahyang, ber%#%@ dan sewaktu dengannya, ia dikata hak individu. Kalau begitu tidak payah jadi pemimpin kerana dalam Islam, pemimpin perlu menjadi contoh dan teladan kepada yang dipimpin. Pemimpin adalah imam. Itu kekuatan pejuang terdahulu. Mereka mempunyai ketokohan yang menepati syarat syara'. Bila pengisian ajaran Islam penuh di dada, mereka bukan sekadar tahu cakap, sebab itu atas nama perjuangan jiwa dan raga dikorbankan. Bukan seperti pemimpin sekarang, tidak kiralah parti mana, segelintirnya lebih mengutamakan kebendaan, pangkat dan darjat.

Keadaan sekarang mendesak umat Melayu semua bersatu. Tuntutan bangsa asing adakala sudah keterlaluan. Kembali semula kepada semangat perpaduan dan ketepikan kepentingan peribadi. Percayalah selagi bertunjangkan Islam dan bersendikan bangsa, Tidak Akan Melayu Hilang Di Dunia.