Friday, July 31, 2009

Susur Galur

Satu ketika dahulu Pulau Duyung juga dikenali sebagai Pulau Peria. Setenteng dengannya Pasir Pelangi atau sekarang dikenali Balik Bukit. Tidak jauh dari situ terdapat Bukit Keledang yang menempatkan makam Sultan Zainal Abidin Pertama, yang berasal dari Johor.



Makam lama di Bukit Keledang. Sayang sekali dulu ia dikelilingi kota, dikenali Kota Lama, tetapi sebab buta sejarah, kota berkenaan gagal diselamatkan kerana dibaham pembangunan

Tidak jauh dari kawasan berkenaan, (sekarang ini Hotel Seri Malaysia) letaknya tapak rumah keluarga kami. Bekas rumah tok nyang Che' Ton atau Tun Rodziah Engku Besar Tanjung. Semasa arwah Wan hidup, sempat kami mendengar ngomelan yang gelaran Tun hampir pupus di Terengganu kerana semua semua lelaki yang mewarisi gelaran itu ditakdirkan mandul. Yang perempuan berkahwin dengan orang kebanyakan mendapat zuriat, tetapi tidak layak memakai sebarang gelaran di depan. Keluarga Wan juga datang dari nasab perempuan tetapi darah tidak jatuh ke tanah kerana moyang lelaki kami juga menggunakan gelaran raja @ wan.



Matahari terbenam membelakangi Pulau Duyung


Jambatan Sultan Mahmud merentangi Pulau Duyung. Ia memisahkan sempadan dengan Pulau Ketam

Dulu kawasan ini dipanggil Hujung Bugis, sekarang nama itu telah lupus yang ada penginapan mewah untuk Monsoon Cup

TiPulau Duyung hilang seri, dulu pasirnya keemasan tetapi sekarang macam t#*i.

Sebenarnya mereka yang mewarisi gelaran Tun masih wujud di Terengganu walaupun boleh dikira dengan jari. Kebanyakan masih berada di Kuala Berang dan kawasan Hulu Terengganu. Kawasan berkenaan dulunya menjadi lokasi penempatan sebahagian keluarga pembesar.

Di Pahang, sebahagian keluarga Wan Ahmad menukar gelaran Tun kepada tengku, selepas baginda ditabalkan menjadi Sultan Pahang, begitu juga dengan Johor. Sebelum mengisytiharkan diri menjadi Maharaja, Sultan Abu Bakar dikenali sebagai Wan Abu Bakar atau Tun Abu Bakar.


Oneng perempuan umur panjang, arwah meninggal pada tahun 1981, kami sering mendengar cerita dulu-dulu bila berkunjung ke rumahnya. Setakat ingat, aku dan sepupu yang sebaya tidak pernah bermalam di rumah dia yang ala-ala istana. Takut, sebab ada 9 buah bilik yang bersambung-sambung. Tambahan rumah itu pernah dirampas Jepun pada masa Perang Dunia Kedua. Ada tragedi askar Jepun kena bunuh. Jadi kami sering ditakutkan dengan cerita hantu Jepun. Lebih ngeri bila nampak keris dan tombak yang melekat di dinding.

Antara kisah yang sering dibanggakan, selepas Wan Ahmad ditabalkan menjadi Sultan Ahmad Yang Pertama, oneng kami dan sebahagian keluarga di Kuala Terengganu dipanggil mengadap ke Pekan. Ketika itu hubungan masih akrab. Sehinggalah kemangkatan Permaisuri Tun Fatimah pada 1927, yang juga sepupu kepada oneng perempuan kami. Selepas itu silaturahim terputus sampailah sekarang. Dulu-dulu, Terengganu, Pahang dan Riau tak ada lain, mereka kahwin sesama sendiri. Semuanya dari keturunan yang sama, iaitu keluarga Bendahara.

Sayang sekali, dulang tembaga untuk santapan kerabat yang datang bertandang telah dijual oleh cicit angkat yang kemaruk duit....Eiiii aku dari dulu tak mengaku dia orang saudara. Punyalah bangang kain cindai dibakar. Lepas tu jatuh sakit sebulan, kena tulah @ badi, padan muka. Bukan itu aja, keris hukuman yang panjangnya sedepa, hilang entah ke mana. Tidak termasuk barang kemas, tombak dan pinggan mangkuk. Sejauh mana kebenaran sukar dibuktikan, tetapi salah seorang daripada anak yang mencuri barang, menjadi sasau.

Aku pergi jumpa dia orang untuk beli mana-mana barang yang masih disimpan, tetapi hampa bila diberitahu barang berkenaan terpaksa dibuang kerana berpenunggu. Bagi aku padan muka kau orang sebab ambik barang tanpa izin keluarga yang berhak. Dulu kami ke Muzium Terengganu, ada beberapa barang milik oneng kami yang dipamerkan. Macamana barang berkenaan boleh berada di muzium? Itu yang memusykilkan.

Tentang susur galur bukan Melayu, segan nak buka cerita. Nanti orang cakap perasan @ perasan, biarlah ia menjadi sejarah sesama kami. Lagipun aku dan keluarga aku begitu berbangga dengan darah Melayu yang diwarisi.

4 comments:

  1. Aku suka cerita sejarah macam ni. Banyak kisah behind the scene

    ReplyDelete
  2. salam saya adalah cicit tun kelsom bt tun abdullah bonda almarhum sultan abu bakar,adakah tun rodziah bersepupu dgn tun kelsom?ada salasilahnya tak?

    ReplyDelete
  3. salam,saya juga berminat mendapatkan info mengenai che nit cucu engku besar tanjung(keluarga tun mutahir)kita mungkin bersaudara tapi tidak mengenali.wassalam

    ReplyDelete
  4. Tun di Johor, Pahang dan Terengganu sudah bertukar menjadi Tengku, Ungku, Wan...Megat dan Puteri...sebab itu Kerajaan Malaysia minta kebenaran guna Tun untuk darjah kebesaran orang politik moden.

    Tun adalah keturunan Bendahara warisan nenek moyang.

    ReplyDelete