Petang tadi aku terpandang kanak-kanak menggalas beg, bersongkok dan di tangannya ada kalendar. Aku kenal benar apa tujuannya. Bukan sekali berdepan dengan mereka, sejak bertahun dulu jumlahnya tidak terhitung. Bukan tidak pernah suarakan, bukan tidak didedahkan media, tetapi dalangnya tidak serik-serik.
Di mana kewajarannya menggunakan akan yatim untuk menjaja, di mana hukum fiqh si ustaz @ ustazah, di mana nilai akhlak dan di mana kewajaran mantiq @ logik. Tidak payahlah menggunakan nas itu, nas ini.
Perbuatan menggunakan anak yatim untuk kepentingan diri sendiri adalah sesuatu yang hina dan tercela. Semua agama menyuruh umatnya mengasihi anak yatim, tetapi lebih memalukan, ada individu yang menggunakan institusi Islam untuk memperalatkan mereka, bagi aku mereka lebih hina, manusia dayus dan tida bermaruah.
Apakah mereka lupa, di mana tanggungjawab yang sepatutnya, bukan memperkudakan anak-anak yatim. Apakah mereka lupa, doa anak yatim amat mustajab...janganlah bertopengkan agama. Lihatlah badan amal agama lain, betapa mereka mengambil berat tanpa mempergunakan anak yatim. Sebaliknya individu yang mengendalikannya yang bertungkus lumus membuat itu dan ini.
Soal tabung atau dana bukannya alasan. Kalaulah benar, pemegang amanah perlu kreatif dalam mempelbagaikan tabung. Jangan jadi katak bawah tempurung, pelbagai cara dapat digunakan untuk membantu meringankan beban bukan semata-mata menjaja. Sedih kalau tengok muka budak-budak perempuan yang digunakan. Setakat ini aku tidak pernah terserempak dengan "ustaz-ustaz" mereka. Kalau jujur mereka yang sepatutnya menjaja bukannya anak-anak yatim. Kalau berani ambil amanah kenalah bertanggungjawab. Bukan setakat ambil nama " ana ada rumah anak yatim..ana nak buat maahad tahfiz". Orang macam ni memang lahanat, tau cakap tapi tak tahu buat kerja.
Menggunakan alasan menambah tabung anak yatim tahfiz al Quran, anak-anak yang sepatutnya mengulangkaji pelajaran diseret ke serata tempat untuk menjual entah apa-apa. Apapun ia tidak membataskan aku untuk menghulurkan duit. Tetapi bukan membeli barang yang dijaja. Aku selalu cakap " nak pak cik bagi duit ni untuk minum air, buat duit poket. Kalau jumpa di kawasan kedai buah aku belikan buah atau apa sahaja. Tetapi bukan niat membeli barang.
Aku sebenarnya tidak sanggup berdepan dengan kanak-kanak ini. Ada cerita sedih. Beberapa tahun lalu, ketika berhenti makan malam di R& R Sungai Buloh, aku didatangi 3 pelajar lelaki yang menjaja. Seperti biasa aku menghulur dan katakan ini duit poket. Selepas mengucapkan terima kasih, kanak-kanak berkenaan beredar. Ketika itu aku sedang makan roti bakar dan kopi o. Ketika melepasi meja aku, mereka ke meja sebelah tetapi tidak dilayan. Sebelum keluar dari kedai mereka memandang ke arah aku. Aku senyum dan kemudian mereka beredar. Selepas itu aku berdetik mengapa tidak mengajak mereka makan sekali.
Kesokan bila masuk pejabat, aku baca headline....aku lupa jumlah kalau tidak silap 7 @ 9 anak yatim meninggal dunia selepas van dinaiki terbabit dengan kemalangan di Lebuhraya PLUS dekat Perak. Selepas membaca dengan terperinci, memang mereka yang aku temui malam tadi. Aku terkilan kerana tidak mempelawa mereka makan walaupun memberi duit poket....
Sebagaimana dijanjikan, jadilah kalian pelayan syurga......sebak bila teringatkan tragedi ini.
No comments:
Post a Comment