Wednesday, July 15, 2009

Aku Rindukan Terengganu

Keseluruhannya, aku banyak menghabiskan masa di luar Terengganu. Menjadi perantau @ anak dagang. Sebenarnya, ia bukan perkara baru dalam keluarga kami, jika diambil kira dari sudut diaspora Melayu Patani-Siak-Johor-Riau. Sejarah susur galur keluarga kami masih tersimpan dengan baik, terutama dari nasab sebelah arwah Wan. Hakikatnya walau berlaku perkahwinan campur darah kami masih belum "jatuh ke tanah". Semasa hidup, berkali-kali arwah Wan mengingatkan kami. Begitu juga dengan Tok Mak.Tetapi zaman telah berubah.

Selepas merdeka, golongan bangsawan hanya tinggal nama dan terperap dalam buku sejarah. Kemerdekaan mewujudkan kelompok baru yang berkuasa. Mereka seakan bangsawan walau hakikatnya tidak jelas dari mana asal usul. Seperti kejutan, gelaran datuk bersepah dan ada di sana sini. Bak kata keluarga kami, mereka anak itik dan kita anak angsa.



Terengganu, menjadi bumi bertuah. Di situ saki baki bangsawan Melayu- Bugis berkumpul dan bertemu, selepas kehilangan kuasa akibat pengaruh British dan Belanda. Ramai yang tidak tahu selepas Sultan Husin Singapura disingkirkan kebanyakan keluarga al- Marhum bermastautin di Darul Iman. Begitu juga dengan keluarga bangsawan yang lain, termasuk moyang arwah Wan, Sultan Yahya Abdul Jalil @ Mahum Dungun, Sultan Siak ke 5.



Di Terengganu juga keluarga jurai keluarga kami bertemu, yang terputus selepas Sultan Abdul Jalil (Marhum Pekan) dibunuh Raja Kecil dari Siak pada 1720. Arwah Wan yang mewarisi darah keturunan Raja Kecil bertemu semula keluarga sebelah arwah Tok Ki yang mempunyai susur galur Riau Bugis-Patani.


Itu sejarah keluarga aku yang membuatkan kami masih berbangga, kerana satu ketika nenek moyang kami memainkan peranan besar dalam urusan negeri.

Terengganu pernah menjadi negeri termaju. Industri batik, tembaga dan pertukangan emas antara yang terbaik pada abad ke 18. Menjelang abad ke 20, kedatangan Martin Perrot bersama beberapa warga Perancis yang berasal dari Brittany, melonjakkan Terengganu dalam industri perkapalan. Selain melahirkan Perahu Pinas yang sinonim dengan Terengganu generasi mereka masih bertaburan dan semuanya beragama Islam.

Oneng kami, Haji Ismail Nyak Salleh yang mana isterinya Che Nik, cucu Engku Besar Tanjung(kerabat Tun Mutahir, Pahang), pernah memiliki kapal besar dan menjadi nakhoda yang berulang alik dari Terengganu-Bangkok dan Kemboja. Beliau yang meninggal dunia pada 1987, sempat menyaksikan 6 keturunan.

Rumah besar dengan 9 buah bilik, tidak sempat kami selamatkan kerana kerakusan cicit angkat. Selepas arwah meninggal segalanya dipunggah kerana ingin menjual hartanah yang ketika itu mencecah 2 juta ringgit di Kuala Terengganu.

Hanya gambar lama dan kenangan masa kecil mengingatkan kami rumah agam yang pernah tersegam. Ramai generasi lama keluarga kami menyamakan rumah itu dengan keindahan Istana Kolam, yang juga menerima nasib yang sama.

Kini, kebanyakan kami bertebaran. Membentuk satu lagi diaspora pasca Melayu. Bagi yang menjiwai semangat Melayu kami tidak akan lupa pada darah yang mengalir dan di mana asal usul kami.

Terengganu yang indah akan terus dalam ingatan, walaupun kami tahu untuk mengembalikan kegemilangan Terengganu seperti dahulu sesuatu yang tidak tentu kerana ia berdepan dengan ketamakan individu.

Paling tidak hargailah nilai dan sejarah Terengganu. Bukan dimusnahkan atas nama pembangunan.

Setiap kali aku menjejakkan kaki ke Pulau Duyung, ke Kampung Kolam, Kampung Ladang wai ma ke Pasar Kedai Payang, aku benci pembangunan. Kerana pembangunan telah menghapuskan keunikan kawasan berkenaan. Cuba tanya generasi muda, di mana Kampung Datuk, Kampung Keling, Kampung Patani dan Kampung Siak. Ramai yang tidak tahu kerana ia telah musnah ditelan kerakusan. Ini bahana yang berlaku bila ahli politik jahil sejarah

2 comments:

  1. salam,saya nak tanya adakah engku besar tanjung anakanda kepada bendahara tun abdul rahman ibni tun muhammad "engku tanjung"?boleh saya dapatkan salasilah keluarga yang terputus setelah beliau berhijrah ke terengganu dari pahang?

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum... sang rajuna tapa...

    ReplyDelete