Wednesday, June 17, 2009

Lompat Tikam


Lompat tikam merupakan salah satu kuih muih tradisi kesukaan kami sekeluarga. Banyak yang dijual di Kuala Lumpur tetapi tidak menepati piawaian tekak aku. Untuk kepuasan, aku hasilkan sendiri. Resepi yang diwarisi berbeza, dan aku tidak berkompromi sama ada dalam penyediaan ataupun sukatan bahan. Dulu arwah Wan, dikenali kerana lompat tikam dan tepung pelita yang dibuat memang tiada tandingan. Hasil tangan Wan sering menjadi santapan Engku Kelana Terengganu (atuk arwah Wan). Sayang sekali, kebanyakan resepi keluarga kami lenyap selepas ketiadaan generasi tua.



Menggunakan kuali tembaga yang diwarisi, dengan resepi yang sama, aku dapat hasilkan 50 bekas lompat tikam. Kalaulah arwah Che Jah (pembantu rumah Wan yang paling setia) masih hidup dia gelak tengok aku buat kuih. Mesti dia tidak bagi aku pegang senduk dan tidak percaya yang aku boleh buat kuih. Sampai nyanyuk Che Jah membahasakan diri "hamba" bila bersembang dengan kami, wal hal zaman telah lama berubah dan keluarga kami tidak ada apa lagi yang boleh dibanggakan.

Aku teringin makan asam gumpal Tok Alang (cicit Sultan Muhamad Kelantan), sebagaimana tepung pelita arwah Wan, ia hanya tinggal nama, tiada siapa yang mewarisi.

No comments:

Post a Comment