Entah apa maksud yang tersirat, ramai yang cuba menceroboh ruang privasi sejak akhir-akhir ini. Kesian sungguh mereka, selain masalah sendiri, terpaksa fikir hal orang lain. Dari satu sudut, saya beruntung, kerana masih ada yang mengambil berat. Dalam satu segi yang lain, saya boleh berkata, kenapa menyibuk menjaga hal peribadi @ tepi kain orang.
Akhirnya aku terima hakikat sepi itu indah
Cinta datang dan pergi tetapi kasih sejati dibawa ke mati
Bukan saya memilih untuk sendirian, tetapi ini takdir. Bila jawab macam ini, adalah hujah Pak Pandir dan Mak Andir.
"Habis kau tak mencuba, macamana nak jumpa".
Untuk senang cerita, jangan jawab, paling tidak senyum simpul. Adakah si mulut cabul tu mengerti dan cuba memahami apa yang dilalui. Perlukah diceritakan kisah-kisah peribadi yang lalu. Setiap orang mempunyai perwatakan dan corak pemikiran berbeza. Ini yang akan menentukan nilai dan persepsi.
Sesetengah tu kalau cakap orang putih bukan main berabut. Tetapi sayang pemikiran, tidak sampai ke tahap itu. Bila berkumpul, tengok orang tidak kahwin, mula buat analisa. Tanpa pucuk kelapa ketupatpun dianyam. Bila kata minda kampung, marah. Paling best perbincangan membabitkan spesis lelaki yang perasan kononnya dialah makhluk sempurna di alam ini.
"Wei ko umur dah dekat 40 tak kahwin lagi. Anu kau simpan buat apa?. Tak berfungsi ker".
"Tengok aku ada bini ada anak. Hidup terurus tak macam ko. Bila tua ada orang jaga".
Itu beberapa dialog yang kedengaran di pejabat dan di mana sahaja. Indah mulut berkata-kata. Sebenarnya mereka riak dan takabur. Lupa yang ajal maut, rezeki dan jodoh bukan urusan manusia. Mereka tidak mengambil iktabar, berbanding orang yang tidak kahwin, ramai daripada penghuni rumah kebajikan sekarang terdiri daripada warga emas yang dipinggirkan anak-anak. Jadi bila bercakap tu, ingat-ingat sikit. Segalanya harus di sisi Allah.
Aku bukan budak hingusan
Bila kena batang hidung, bergaduh laki bini, kecoh sepejabat, tau marah bila orang lain bercerita. Tetapi kalau kisah orang, tak cukup "office hour"nak bercerita. Itulah lumrah manusia.
Selepas beberapa episod, saya belajar terima hakikat, tidak semua hidup akan berakhir dalam satu bentuk hubungan yang menyatukan dua insan. Begitu juga perkahwinan. Apa guna berkahwin, jika sekadar memenuhi kehendak orang lain. Apa guna berpasangan jika tiada penghujung. Banyak kisah yang boleh dijadikan teladan. Yang paling best, ada seorang kawan, dulu mengutuk sebab saya masih sendirian, bila bergaduh dengan laki dan turun naik ke pejabat kaunselor, tahu cari manusia yang menjadi sisa air mulutnya untuk luahkan perasaan dan dapatkan pandangan.
Kebelakangan ini, sedara mara yang selama ini tenggelam timbulpun mula menanya. Sibuk nak mencadangkan si A, si B dan sebagainya. Minta maaf tawaran tender telah ditutup. Dulu kalian pernah perlekehkan Kay. Perpisahan kami menjadi bahan umpatan dan sindiran. Walau selepas 11 tahun, nada sinis masih terngiang-ngiang.
Setiap individu, kisahnya berbeza. Biarlah saya begini dan setiap hari yang mendatang akan dilalui dengan tabah. Satu ketika dahulu mungkin saya pernah meminta simpati untuk dikasihani, tetapi tidak lagi pada hari ini.
Cukuplah apa yang dialami. Babak demi babak sebenarnya amat menyakitkan. Begitu juga kepada penyibuk fahamilah batas privasi orang lain.
Bagi mereka yang pernah hadir dalam diari hidup, terima kasih, kerana mendampingi insan ini hanya untuk memenuhi waktu dan kekosongan, sedangkan aku mengharapkan keikhlasan dan kasih sayang. Sedih komitmen yang diberi langsung tidak dihargai. Terima kasih akhirnya masa telah membuktikan walaupun pada mulanya sangsi dengan kebenaran kalam. Hakikatnya, kenaifan dipermainkan. Drama yang dipentaskan tidak berpanjangan, ia telah berakhir, dan aku lebih senang begini.
No comments:
Post a Comment