Thursday, April 30, 2009

Jalan Pulang

Tiada yang syahdu dan indah selain menjejaki kaki ke Tanah Haram Mekah. Perjalanan lebih 8 jam 45 minit berakhir sebaik menjejaki kaki di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Ia menjadi permulaan ibadat umrah yang menguji bukan sahaja kekuatan mental dan iman tetapi fizikal.

Saya bersyukur kerana segalanya berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. Alhamdulillah, setakat yang dilakukan dari niat di miqat sehingga tawaf wida' tiada apa yang melanggar syarat atau melakukan yang makruh. Selebihnya biar Allah yang menilai. Kita hanya insan kerdil yang tertakluk untuk menuruti perintah dan melaksanakan tuntutan. Selebihnya Allah yang menentukan.


Bukan mudah untuk menyakinkan diri pergi melaksanakan ibadat ini. Hidup yang terpalit dengan sejarah hitam dan terhumban ke lembah maksiat adakalanya menjadi bayang yang menggerikan. Acapkali bisikan Sang Syaitan meminta, memujuk dan merayu supaya niat murni ini dibatalkan, tetapi kuasa Khalik tiada siapa dapat menghalang dan 18 hb April 2009 sebagaimana tertulis di Loh Mahfuz, sekali lagi saya menjadi tetamu Allah.



Secara logik selepas dikira conggak, apa lagi dan hendak tunggu dan sampai bila? Di atas rasional itu, saya tekadkan kata dan kuatkan niat, yang masanya sudah sampai untuk mengunjungi Baitullah.

Saya mengaku, sejak berpisah dengan Kay, hidup diseliputi noda dan dosa. Tetapi saya percaya Allah Maha Mengetahui. Setiap yang berlaku ada hikmahnya, cuma kita yang alpa dek rasa. Mungkin juga di kala diuji kita merajakan nestapa, sehingga lupa nilai yang tersirat.

Tika ingin berangkat, sebenarnya saya menangis di dalam hati, tiada siapa menghantar wai ma ahli keluarga. Saya sebenarnya pergi ke Mekah seperti berkelana sebatang kara. Di sebalik lontaran kuntuman senyuman rakan serombongan, naluri terasa sepi. Perasaan itu tetiba datang.





Kesempatan bersendirian jauh dari suasana pejabat, deringan telefon dan sms, memberi ruang untuk bermuhasabah. Ruang untuk perbaiki diri. Selesai tawaf dan sejurus selepas bertelingkuh di Multazam, air mata berjujuran, mengakui kesilapan dan tekad untuk berubah. Perasaan kesal dan bersalah tidak henti mengujungi sanubari. Kekesalan datang menyimbah diri. Sebolehnya cuba bulatkan tekad, melaksanakan ibadat wajib, khususnya mencukupi ibadat solat 5 kali sehari. Yang lepas biarlah berlalu, kesilapan menjadi sempadan dan yang baik menjadi teladan.

No comments:

Post a Comment