Friday, February 26, 2010

Makang Sarok

Berbeza dengan negeri-negeri lain, kemewahan sumber laut menjadikan Terengganu kaya dengan pelbagai makanan berasaskan ikan. Kawan aku dari NTV7 yang lama tinggal di luar negara, ke Terengganu pada cuti Tahun Baru Cina, terkejut badak bila lihat orang Terengganu makan ikan, sebagai snek minum petang. Ikang Celup Tepung memang menjadi juadah biasa. Itu tidak kira kherpok gondel (idgham kena betul)pais, sata, otok-otok dan sarok.

Tidak seperti kherpok gondel, pais, sata otok dan sarok menggunakan rempah ratus dan dicampur dengan kelapa muda. Cara penyediaannya juga berbeza. Pais, sata dan otok-otok dibakar. Tetapi sarok berlainan kerana ia dikukus.

Sarok ada dua jenis. Sarok ikang dan sarok lade.

Dulu di masa 708 berada di kemuncak, kerja Che Jah dan anak dia, Che Nik giling rempah. Tetapi di kebanyakan masa nenek aku akan buat sendiri. Alasannya, air tangan tidak akan sama.

Itu cerita dulu. Sekarang hendak makan sarok memang payah. Jenuh aku bertanya dengan keluarga yang lain, masalahnya mereka juga sama dengan aku. Zaman dulu-dulu ada tukang masak. Jadi mereka tidak ambil kisah sangat, bila nak makan tau arah aja.

Puas mencari, akhirnya aku mendapat resepi dari keluarga aku yang berusia. Syukur sekurang-kurangnya ia tidak pupus. Tidak seperti resepi sayur che' bek (sayur keladi yang dimasak dengan isi ikan panggang dan udang kertas)gulai ikang duri, apam kuoh(apam beras warna perang dan dimakan dengan kuah ikan yang dicampur kelapa muda), ti sok me, taming sari, che abbas demam, colek telur dan banyak lagi...semuanya pergi tanpa dicatatkan.

Kehebatan Wan memasak memang superb, kerana Wan mula ke dapur seawal usia 7 tahun. Selepas emak kandung meninggal dunia dan moyang aku kahwin lain, Wan dihantar ke rumah datuknya, Engku Kelana Terengganu @ Tok Ku Tuan Nanung di Chabang Tiga. Di situ Wan belajar memasak selain mendapat pendidikan agama. Itu cerita 85 tahun dulu. Setiap kali teringin makan yang sedap, aku terbayangkan Wan. Walaupun telah meninggal dunia 9 tahun lalu, aku tidak pernah merasa jauh dengan Wan.

"Nanti bila Wan meninggal jangan bagi kubur tumbuh lalang".

Amanat itu aku tunaikan sampai sekarang. Setiap kali pulang, aku bertelingkoh di tepi kubur. Sambil membaca fatehah aku bersihkan rumput di sekeliling kandang. Semasa arwah hidup, aku bersyukur kerana diberi peluang menemani Wan di saat dia kesepian dan di ketika itu aku menjadi pelarian dek masalah hidup.

Sebenarnya semalam aku bermimpikan Wan dan itu sebenarnya mendorong aku buat Sarok.







Campurkan isi 5 ekor ikang kembung, sebutir nyior mude, 7 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, seinci lengkuas, 2 sudu ketumbar, sesudu jintan manis dan sesudu jintan putih Lepaskan kita mulakan senaman.




Pertama kali menggunakan batu giling(jumpa semasa 708 telah dirobohkan). Berpeluh dan berjeluah (berkecah). Yang penting aku mendapat hasil yang memuaskan. Che' Ngah Mek tidak bagi pakai blender. Katanya nanti sarak khersal(rasa berpasir kerana kelapa mudah payah lumat)


Campurkan cili, asam jawa, garam, gula kabung@ gula melaka, daun kesum dan belacan. Kombinasi rasa mesti sama ada pedas, masin, masam dan manis.



Selepas gaul dengan sebati, macama ini rupa sarok yang belum dikukus. Dulu masa kecik-kecik aku suka makan mentah. Selalu kena marah sebab suka cepelak (curi makan @ ambil makan dengan cara sembunyi-sembunyi)

Lepas tu kukus dalam 15 minit. Sewaktu hantar rumah kakak aku, dia kata dah lama aku nak makan tapi tak tahu nak cari kat mana. Ni kau beli kat mana? Aku cakap aku buat, kakak aku terkujap.

Monday, February 22, 2010

Damai Di Sana

Hari ini, genap 18 tahun kembalinya ke rahmatullah, penyanyi tersohor tanahair, Sudirman Haji Arshad. Sepanjang tempoh pemergian allahyarham, lagu-lagunya sering mendampingi jiwa peminat.

Kehadiran beliau di persada seni, dalam pakej yang hampir sempurna. Cerdik, bijak, rendah diri, berwawasan dan banyak lagi. Dia dipinjam untuk dikongsi seketika.

Lagu Selamat Tinggal dan Patah Hati, menjadi kesukaan aku. Dulu aku melayan lagu Patah Hati sampai sebak dan menitis air mata. Aku personafikasi lagu itu sebagai sebahagian perjalanan hidup aku. Kerana itu, lagu itu sentiasa bersama dan dimuaturun dalam i-pod aku.

Irama aslinya amat mendayu...Rashid Sibit selalu jadikan lagu tema dalam drama arahan beliau.


Patah Hati Patah hatiku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Patah hati ku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri tak tentu haluan

Ku harap janjimu
Bahagia selalu
Sayang
Rupanya patah
Rupanya patah di tengah jalan

Hendak diulang...Hendak diulang
Resah menanggung
Sayang
Kenanglah jangan
Kenanglah jangan disebut pun jangan
Hancur hatiku
Di dalam nestapa
Mengenangkan nasib
Mengenang nasib diriku malang( 2 X )

Maksud hatiku
Maksud hatiku
Bahagia bersama
Sayang
Apakan daya
Diriku miskin
Harta tak punya

Ingin ku petik
Bintang yang tinggi
Sayang
Tanganku hangus
Tanganku hangus disambar petir

Dir, al fatehah semoga ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan beramal soleh.

Wednesday, February 17, 2010

Hilang Tak Berganti


Lagi bangunan lama di Terengganu dirobohkan. Kali ini yang menjadi mangsa, sederet rumah kedai yang setentang dengan Pasar Kedai Payang. Bangunan batu yang berusia lebih 120 tahun.

Dengan angkuh, 35 kedai di bangunan dua tingkat itu dirobohkan walaupun mendapat bantahan ramai peniaga di kawasan tersebut.

Apa hendak jadi dengan pemikiran ahli politik terengganu. Kejahilan sejarah dan akar umbi membunuh warisan bangsa. Mereka lupa yang pembangunan bukan bererti meroboh benda lama dan menggantikan dengan yang baru. Bangunan kedai batu di Chabang Tiga, lenyap. Jalan Patani hilang, Kampung Daik tinggal lesap, Kampung Aur pupus.

Nyata Menteri Besar, Datuk Mohd Said, mengulangi kesilapan Idris Jusoh lakukan. Dulu pembinaan apartment di Ladang Sekolah meranapkan rumah kaum keluarga aku yang mempunyai keunikan tersendiri. Satu ketika dulu kami pernah berada dalam lingkungan istana dan rumah di kawasan itu, sebahagiannya mempunyai kaitan dengan keluarga bangsawan Riau-Lingga dan Pahang.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dalam kenyataan akhbar sebelum ini berkata, tindakan meroboh bangunan tersebut penting agar bangunan usang dan uzur tidak lagi mengisi pemandangan di Kuala Terengganu. Bagi aku, ia satu kenyataan orang yang mata buta sebelah, tidak melihat subjek dalam bentuk estatik. Bodohkan dan secara terus terang MB Terengganu menggambarkan dia tidak mempunyai semangat jatidiri. Bukan mengutuk, tapi itulah hakikatnya.

Banyak kenyataan yang dibuat sebelum ini, menggambarkan tindakan yang tidak bijak. Aku tidak faham apa yang dia belajar di USM dulu. Mungkin dulu masuk u atas kuota Bumiputra, kemudian ceburi politik, bernasib baik dan dilantik jadi MB.

Sampai bila berdiam diri melihat warisan Terengganu terus diratah kebuasan nafsu segelintir pemimpin politik? Banyak sekali tempat lama yang mempunyai nilai sejarah di Terengganu, khususnya Kuala Terengganu terbiar. Mungkin ramai yang masih ingat pokok Pauh depan kedai Yamada, depan stesyen bas sekarang, apa dosa ditebang sedangkan pokok berkenaan berusia lebih 100 tahun. Di situ terdapat makam kerabat dan pembesar tetapi dibiarkan sehingga tidak berpagar.



Kenangan tersendiri di Kuala Terengganu yang dulu cukup indah dan menarik sedikit demi sedikit semakin hilang atas nama pembangunan. Lihatlah apa jadi dengan Pulau Duyung dan Pulau Wan Man.

Aku percaya untuk cemerlang, Terengganu perlu dipimpin mereka yang berkaliber dan berwawasan. Bukan tiada pemimpin boleh diketengah tetapi budaya peteh keting amat dasyat. Aku yang tidak berminat berpolitikpun, merasa tempias. Mentaliti memandang lekeh pada orang lain masih menguasai sebahagian besar mereka yang dipilih memegang kuasa.

Yang berkenaan lupa, Terengganu perlukan sentuhan mereka yang berada di luar dan bersifat terbuka dengan mengenepikan sikap "gong"untuk terus bersaing. Paling penting, pentadbiran Terengganu pernah cemerlang di bawah nenek moyang kami. Ia dilakukan tanpa merosakkan budaya Melayu, sebaliknya memperkaya apa yang ada. Lihatlah...bagaimana pemindahan teknologi perahu Pinas yang dimiliki masyarakat Brittany di Perancis, dibawa ke Terengganu. Ia pernah menjadi negeri termaju ketika itu. Malangnya itu cerita lebih 150 tahun dulu. Dengan latarbelakang beliau, pada masa tu di mana agaknya keluarga Mohd Said..... fikirlah sendiri.

Tuesday, February 16, 2010

Senam dan Diet

Sejak balik dari tugasan di Selatan Thailand, aku tidak ketepikan rutin harian. Senaman dan diet. Pemakanan aku lebih kepada bijirin protein dan buah-buahan. Selepas hampir sebulan, ia banyak membantu. Selama 2 minggu kebelakangan ini aku berjaya kekalkan berat badan di bawah 67 kg. Ada 500 gram lagi yang perlu aku kurangkan.




Keputusan ini, aku ambil semalam. Aku berpuas hati kerana banyak perubahan berbanding bulan sebelumnya. Ada lemak 200 gram lagi yang perlu aku bakar. Ini mesti di bahagian perut. Selepas berat badan turun, aku kena tumpukan bahagian itu. Tetapi ia perlu dilakukan dengan berhati-hati, jangan sampai tidak boleh bangun, nanti naya sebab bulan depan ada perancangan cuti panjang. Kesakitan tulang belakang aku sekarang memang di tahap minimum. Ia bukan sembuh sepenuhnya. Jadi aku sentiasa beringat, jangan belasah sembarangan. Dah serik terlantar di hospital.

Tadi aku work out di gym dalam 1 jam setengah. Dapat bakar 550 kalori. Selepas jumpa member masa belajar di UKM, dekat Bangi aku pergi berenang. Dapat 20 laps atau lebih kurang 350 kalori.

Tidak puas hati, aku sambung lagi di gym. Tetapi badan dah rasa penat. Sebenarnya aku tidak lunch hari ni. Aku terlupa. Sebab sebelum tu breakfast di O'Brien. Semasa jumpa bekas agen insuran aku cuma minum kopi o. Kemudian work out macam nak giler. Aduh nasib baik tidak pengsan.

Selepas jam aku 9 malam, otak aku dah beri signal nak makan nasi lemak, hatipun desak benda yang sama, nasi lemak, perutpun kata teringin nasi lemak. Tanpa fikir panjang aku ke The Curve. Lokasinya, Uncle Lim. Ketika memasuki parkir, pandangan aku terjojol pada gelagat beberapa anak muda yang mana ada antara mereka aku kenal. Ralit juga perhatikan gelagat"urban".

Lupakan mereka. Itu semua tidak menjejaskan selera aku. Nasi lemak oh nasi lemak. Ketika ingin menyuap aku teringat pesan Kevin Zahari, bekas instructor Akademi Fantasia, kita boleh makan apa yang kita suka tapi ada syaratnya. Kenalah bakar semula kalori tu. Sambil tu aku terus ngap....esok masih ada, tapi sempat ker nak bakar 850 kalori?

Monday, February 15, 2010

Mimpi

Sebaik selesai entri Monolog, aku rasa mengantuk. Walaupun sedikit terbeban dengan masalah tugasan, perlahan-lahan kelopak mata jatuh. Akhirnya terlena.

Perpindahan ke dunia fantasi indah sekali, sehinggakan aku menyesal kerana terjaga dari mimpi.

Ulitan sehingga ke pagi membawa aku pergi jauh, beribu batu dari Kuala Lumpur. Khayalanku akhirnya berlabuh di Perancis. Mungkin selama ini getar jiwa terpaut di bandaraya romantis, Paris.



Seperti di alam realiti dan sebagaimana kunjungan sebelum ini. Kedatangan disambut saudara aku yang bermastautin di kota itu. Sapa lagi kalau bukan Boyeh dengan Pok Amid.



Bila dihitung, hampir dua tahun aku tidak ke sana. 2 bulan lepas Timah ke sana menghantar Sofea, anak buah aku yang tengah tungggu SPM, untuk belajar Bahasa Perancis, mungkin selepas ini giliran aku. Sapa tahu...yang penting kantung berisi. Kalau setakat kosong alamaknya tak ke mana...terus di alam mimpi.





Puas termenung selepas terjaga, tetiba mata aku terpandang alat kawalan penyaman udara. Aku dekatkan dengan mata yang cemei....ohhhh 16C, aku tertekan suhu serendah itu...Sambil senyum di bawah lingkaran blanket, aku gelak...Macamana tak mimpi pergi Perancis, suhu kat bilik sejuk gilerrrr. Cinabeng betul.

Sunday, February 14, 2010

Monolog

Aku tidak sunyi di siang hari. Tetapi kedatangan malam adakala menjadi igauan. Sejak sekian lama, mentari yang terbenam menjadi sesuatu yang merengsakan. Syukur akhirnya sedikit demi sedikit aku mula menerima situasi ini.

Di tirai 40an, banyak perkara yang belum dicapai. Ada benda yang masih jauh. Kekadang terasa seperti semalam di sekolah menengah dengan kacamata bulat. Segalanya pantas berlalu, sehinggakan adakala aku ditinggalkan masa.

Pedulikan si mulut jahat berkarya mencela orang lain, nista mereka tidak selamanya menjadi kudis. Walaupun kehidupan masa lalu pernah kecundang sehingga terhumban, ia bukanlah hukuman yang membataskan untuk menjadi manusia baik. Sejujurnya di usia sebegini, aku percaya ramai rakan yang lain tidak lagi mengharapkan perkahwinan untuk melengkapkan kehidupan, walaupun ada yang bercita-cita untuk mempunyai zuriat sendiri.

Adakala sementara menunggu secangkir kopi habis, ada perbualan antara kami, apa kesudahan sang bujang terlajak, anak dara tua, bapa tunggal, ibu tunggal, nafkah anak dan lain-lain lagi. Sebenarnya kehidupan ini bukan milik insani. Kita merancang Tuhan yang tentukan.Banyak sekali pandangan dan rumusan. Paling penting, sebolehnya kita berusaha pulang sebagaimana dalam keadaan kita datang. Ertinya sewaktu datang ke alam fana' dalam keadaan bersih dan semoga pulang ke alam baqa' dalam keadaan redha dan diredhai.

Sedih dan getus hati melihat sang ayah atau ibu dibiarkan sendirian menghadapi hari-hari tua. Walhal mereka mempunyai zuriat. Bak kata kawan aku, di rumah kebajikan, ramai orang tua yang dibuang anak sendiri. Itu ujian yang bukan mudah dan setiap satunya terkandung makrifat dan iktibar.

Dan aku dengan kisah aku. Sejujurnya, aku membuat persediaan menghadapi hari tua sendirian. Mungkinkah ia noktah yang bertitik?

Sebolehnya, aku harap ia tidak akan menyusahkan sesiapa. Masa-masa yang berlalu tidak akan berulang. Semoga bila tiba saat-saat sebegitu kekosongan jiwa bukan lagi tanggungan. Jika diberi ruang dan peluang, ingin sekali mengakhiri hidup dengan penuh ketenangan sambil menunai apa yang dimpikan.

Sementara menuju saat itu aku melihat kebahagiaan dalam bentuk prisma. Kebahagian ibarat cahaya yang berserak dengan pelbagai warna. Ia subjektif dengan makna dan tafsiran.

Dunia ini indah. Lantaran itu, jangan sesejali dibiarkan kesilapan lalu kekal sebagai conteng yang tidak boleh dipadam. Kehidupan adalah peluang. Malangnya, ramai antara kita masih terikat dengan stigma, yang kesalahan akan kekal sebagai kesalahan.

Ramai yang bertanya, tidak sunyikah hidup sebegini. Banyak jawapan yang boleh digarap dan dipecah bahagi. Paling penting aku tidak hidup untuk mengemis simpati dan kasih. Jauh sekali menagih dari yang tidak sudi. Aku tidak berani menggunakan perkataan sumpah tetapi seikhlasnya, dalam usia yang menghala ke senja, sebolehnya aku ingin sendirian. Cukuplah ditipu, dipermainkan dan yang sewaktu dengannya. Watak-watak drama amat berat. Hakikatnya perjalanan selama ini membebankan.

Aku tidak pernah takut menempuh hari-hari mendatang kerana itu fitrah kehidupan. Tetapi masih ada perkara yang merisaukan. Selain amal ibadat, kesihatan juga tidak boleh dipandang ringan ....aku sering panjatkan doa seandainya umurku panjang ia tidak akan menyusahkan sesiapa.

Seandainya umur pendek, aku munajat perpindahan ke alam baqa' diambil sewaktu berada bersama insan-insan yang dipinggirkan. Biar aku bersemadi bersama suara kemanusiaan yang bencikan penindasan dan peperangan. Ia sebenarnya menjadi kunci ketabahan aku untuk terus kekal dalam kewartawanan. Selama inipun, jiwa ini tidak pernah berenggang dengan mereka. Jika ia berlaku, kebumikan aku di situ.

Friday, February 5, 2010

Perjuangan Belum Selesai

Sejak 2004 krisis di Pattani, Yala dan Narathiwat mencuri tumpuan masyarakat antarabangsa. Segalanya, berpunca tindak tanduk bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Terkini, angka kematian yang dicatatkan mencecah 4100 jiwa. Dengan angka korban yang bukan calang-calang, tiada tanda menunjukkan, konflik berkenaan akan berakhir.





Kesan tembakan di Masjid Gerisek, menjadi bukti yang Siam selamanya akan menzalimi penduduk Melayu Pattani


Di sebalik realiti yang berlaku, harapan rakyat yang majoritinya terdiri daripada penduduk Melayu dan beragama Islam supaya keadaan kembali aman tidak pernah pudar. Tetapi persoalan yang timbul sejauh mana ia dapat direalisasi.







Apa salah mereka sehingga ditembak sewaktu sedang menunaikan solat Subuh, seorang bekas tentera Thailand mengaku bertanggungjawab dan menyerah diri di Bangkok bulan lalu. Sehingga sekarang kes ini terus sepi.

Selain angka korban yang tinggi, sepanjang tempoh 6 tahun lalu, tidak kurang 50 ribu penduduk wilayah itu menerima pelbagai kesan akibat keganasan. Lebih perit 1600 menjadi balu manakala 4000 kehilangan ibu atau bapa.


Situasi yang berpanjangan, menimbulkan tanda tanya, apa akan jadi dengan masa depan penduduk yang 80 peratus terdiri daripada masyarakat Melayu dan beragama Islam?.


Selepas lebih sekurun kuasa Raja-Raja Melayu dan hak pribumi dihapuskan, rasa tidak puas tidak pernah susut walaupun Siam cuba menelanjangi identiti itu.


Di sini bersemadi para pejuang Pattani yang syahid menentang tentera Siam. Lihat kubur mereka, ia kelihatan terpelihara. Jangan persiakan perjuangan mereka.

Kini dengan perubahan semasa, nasib dan kelangsungan masyarakat Melayu banyak bergantung kepada faktor politik. Tetapi, perjalanannya tidak semudah yang disangka. Terlalu banyak halangan yang mencabar. Yang pasti, jarum Siam berjaya sedikit demi sedikit berjaya memecahkan matlamat perjuangan umat Melayu di Selantan Thai. Bahkan terdapat politikus yang mula melencong dari landasan dengan mengumpul kekayaan. Tetapi syukur masih ada yang tidak berganjak dengan prinsip asal.

Setakat ini, terdapat 11 ahli politik Islam di Parlimen Thailand. Seorang wakil Thai beragama Budha telah dipilih penduduk Melayu, bagi mewakili mereka. Dengan 11 orang jumlah itu, jauh lebih kecil jika dinisbah dengan jumlah keseluruhannya yang berjumlah 480 orang. Dalam keadaan ini, masih adakah ruang untuk mempengaruhi dasar yang dibuat Bangkok?

Sehingga sekarang, dengan kerajaan yang dibentuk Parti Demokrat, tidak ada seorangpun orang Islam dilantik ke jawatan menteri. Sedangkan terdapat 5 orang Islam mewakili parti itu. Walhal cara itu, paling berkesan memenangi hati penduduk Islam.

Di mana kepekaan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva? Nyata, dengan konflik dan perkembangan yang berlaku, orang Islam sering dijadi alat politik. Tiada kesudahan. Ataupun, di kalangan ahli politik Thai, isu di selatan, hanya modal untuk menjaja kredibaliti bagi meraih undi. Jika telahan ini, benar malang sungguh nasib umat Melayu. Sesekali terfikir, bukan tiada orang Islam dalam hierarki Thailand, Surin Pitsuwan misalnya, tiada nampak menonjol atau melakukan yang sepatutnya.

Bak kata Kasturi Mahkota, untuk berada dalam hierarki Thailand, orang Melayu perlu jadi lebih Siam dari Siam. Dulu sewaktu di Bangkok, ramai yang memperkenalkan diri mereka sebagai Muslim Thai. Aku yang tidak puas hati menegur mereka. Tanggapan itu perlu diperbetulkan. Kenapa aku bertegas?

Dulu sewaktu kalah perang, beribu Melayu Pattani dibawa ke Bangkok. Yang ada di ibu negara Thailand sekarang ini adalah keturunan Melayu. Bukannya berbangsa Siam. Aku mengingatkan mereka, cerita Terusan Air Mata di kota raya itu. Bagaimana tahanan Melayu diarah membina khlong atau terusan menggunakan tangan dalam keadaan kaki dikat rantai dan rotan. Kerana penderitaan dan memakan korban, terusan itu dinamakan sedemikian.

Sejujurnya jangan persalahkan orang Islam jika mereka bersimpati dengan gerakan pemisah. Banyak faktor yang mendorong ke arah itu. Selain dipermainkan, Siam perlu sedar yang Pattani bukannya sebahagian daripada Thailand.

Lantaran kekhuatiran itu, sejak 70 tahun lalu, Dasar Rathaniyom atau usaha mensiamkan penduduk Melayu, terus dilaksanakan.

Kesannya sedikit demi sedikit jatidiri Melayu terhakis dari jiwa generasi muda Melayu Pattani. Lebih malang, fakta sejarah cuba dijulingkan. Meskipun sehingga kini, ia masih bertahan, tetapi dengan asakan bertubi, sampai bila ia akan kekal.

Islam akan kekal sebagai agama, tetapi identitinya kian susut. Bagi diaspora Pattani, jangan sesekali lupa bagaimana nenek moyong kita disembelih sewaktu, Darus Salam dijajah. Berdasarkan cerita lisan, sewaktu kalah perang, sebolehnya penduduk Pattani ingin terus kekal berada di bumi Serambi Mekah tetapi atas pandangan ulamak, sebahagian mereka terpaksa akur untuk berhijrah ke negeri Melayu lain.

Pertama memastikan warisan keilmuan Islam yang diasas dan dikembangkan di Pattani tidak pupus. Kedua, akan ada nanti zuriat Pattani yang akan pulang membebaskan tanah air dari penjajahan Siam.


Kejatuhan Pattani pada 1786, pemberontakan Datuk Pengkalan 1830an dan penghapusan kuasa raja-raja Melayu pada 1902, adalah maruah Melayu perlu ditebus. Sesekali renunglah. Jangan jadi dayus dengan membiarkan saudara mara kita terus dizalimi.

Thursday, February 4, 2010

Sejarah Yang Dipinggirkan


Makam Sultan Pattani yang pertama memeluk Islam. Terbiar kerana Siam sebolehnya ingin menghapuskan bukti sejarah kegemilangan Pattani Darus Salam.



Masjid Gerisek, pernah menjadi saksi turun naik kerajaan Melayu Pattani. Di sini juga lebih 144 pemuda Islam dibunuh dengan kejam tentera Thailand pada 2004.


Sejak insiden 5 tahun lalu, masjid ini semakin sepi, tiada lagi kemeriahan pelancong terutama dari Malaysia dan Singapura yang berkunjung.



Makam yang menempatkan dinasti Kelantan yang dilantik Siam untuk memerintah Pattani selepas pemberontakan Datuk Pengkalan.



Makam ini menempatkan puluhan ribu syuhada' Pattani yang melawan Siam pada 1786, terbiar sepi.



Masjid Teluk Manok dibangunkan pada kurun ke 16. Di sini pernah menjadi tempat perlindungan ketika Pattani jatuh ke tangan Siam pada 1786.


Rumah lama di hadapan masjid. Cantik sekali ukiran, nilai estitika amat tinggi, tetapi faktor desakan hidup menyebabkan ia terpinggir.


Istana Teluban di Saiburi. Berusia lebih 200 tahun. Malang sekali ia semakin usang dimamah usia



Waris yang ditemui mengaku tidak banyak yang dapat dilakukan untuk memelihara istana peninggalan kerana faktor kewangan.

Masjid Selindung Bayu berhampiran istana. Cantik sekali senibina klasik Melayu. Ia dibaik pulih selepas runtuh beberapa tahun lalu