Monday, January 18, 2010

Ke Darus Salam

Cepat sekali masa beredar. Siri demi siri telah aku siapkan untuk Laporan Khas Nasib Melayu Pattani. Biarpun terdapat teguran kerana laporan aku dikatakan agak "keras", aku terima dengan positif.

Kedatangan aku pada 13 Januari lalu disambut dengan tiga siri serangan bom yang mengorbankan 2 nyawa dan mencederakan 18 yang lain di Yala dan Saiburi. Sepanjang enam hari aku menggunakan kesempatan untuk bermalam di semua tiga wilayah bergolak yang telah menelan korban 4100 nyawa.


Segalanya berjalan lancar sepertimana dirancang walaupun aku ditimba "keracunan makanan". Sukar untuk percaya, keracunan hanya berlaku di waktu malam, ketika orang lain sedang lena tidur. Setiap malam tidak kurang 10 kali aku akan ke tandas. Lebih aneh, di siang hari aku mempunyai tenaga yang begitu luar biasa. Lebih menyeramkan ketika melalui kawasan tertentu, terutama peninggalan istana dan kawasan perkuburan lama bulu roma akan terpacak.

Seperti kata krew aku dari Thailand, ada sesuatu yang tersirat pada diri aku dan menanya sama ada mempunyai keturunan tertentu di Pattani.

Tanpa berselindung aku mengiya, yang darah Tok Ki sebelah moyang perempuannya, memang berasal dari keluarga Raja Jambu (jurai keturunan raja Pattani. Selepas kalah dengan Siam pada 1786, Bangkok membahagikan Patani kepada 7 wilayah, Jambu diberikan kepada keturunan Pattani yang asal, keturunan Sultan Muhamad yang syahid menentang penaklukan Siam). Aku memanjangkan kisah bagaimana, oneng perempuan yang bernama Che Jah juga berketurunan bangsawan Siam (Diceritakann yang Che Jah memang pandai bermain Menora, sejenis tarian yang dulu hanya di persembahkan di istana. Sebab itu sumpahan keluarga kami, tidak boleh mendengar atau melihat tarian ini. Kalau tidak, semacam dirasuk. Meninggal dunia dalam sekitar 1916. Arwah Tokki pernah cerita, moyang dia memang terkenal dengan kecantikan, kulit putih melepak dan berbibir merah.walaupun ketika itu umur sudah tua.) Che Jah terpaksa keluar menjadi pelarian selepas oneng lelaki yang berketurunan Raja Jambu, dibunuh kerana cuba memberontak menentang Siam. Arahan yang sama juga dikeluarkan kepada ahli keluarganya. Untuk menyelamatkan diri, Che Jah dengan diringi beberapa orang kepercayaan terpaksa meninggalkan Jambu dan menuju ke Manir, Terengganu. Dari situ, dia dibawa berlindung di Kampung Kota yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk Pattani yang melarikan diri. Keluarga Raja Jambu yang mengampu dan menjadi talibarut terus kekal sehinggalah kuasa raja-raja Melayu dihapuskan pada 1902.




Gambar moyang (anak kepada Che Jah bernama Tengku Mariam @ Che Yam. Seorang lagi kakak beliau mata buta, dikenali sebagai Che Pah, meninggal di Manir tanpa ada zuriat) Gambar Nyang Che Yam yang meninggal dunia pada 1950, masih dalam simpanan kami. Ia diambil pada tahun 1948, di Kota Tinggi. Berbeza dengan keluarga sebelah Wan, yang mempunyai salsilah keluarga Sultan Siak dan bangsawan Terengganu-Pahang-Riau yang jelas sehingga abad ke 16, keluarga Tokki tidak mempunyai fakta sekukuh itu. Kami hanya mewarisinya dari mulut ke mulut. Surat perlindungan daripada Raja Patani kepada Sultan Terengganu juga hilang. Begitu juga dengan seuncang duit lama. Kali terakhir aku lihat duit berkenaan, pada 1982 beberapa ketika sebelum Tokki meninggal. Ketika itu aku masih kanak-kanak dan Tok Ki menceritakan yang duit berkenaan harta keluarga kami. Aku masih ingat duit VOC Belanda. Siapalah yang menjadi lahanat yang melarikan khazanah itu. Pastinya ahli keluarga aku sendiri.





Aneh sekali selepas tiga hari, krew mengesyorkan supaya aku memakan sirih pinang. Katanya ubat itu berkesan terutama bagi mereka yang berasal dari keluarga bangsawan yang ada pantang larang. Nyata selepas sekeping sirih dengan secolet kapur dan sekacip pinang, ia berjaya menamatkan "sengsara" cirit birit di malam hari. Mimpi ngeri aku juga berakhir. Apakah ini bermakna kepulangan generasi keenam ini direstui, atau masih ada tulah yang menghalang kami pulang ke Patani selepas berlaku persengketaan dan pembunuhan keluarga. Sukar diungkai misteri ini.

No comments:

Post a Comment