Saturday, January 9, 2010

Aku dan Gaza

Aku sama sekali tidak terkejut dengan apa yang dilalui misi kemanusian Viva Palestin ketika cuba memasuki Gaza melalui Rafah. Hampir setahun lalu, perkara yang sama aku tempohi. Bahkan aku bersama wartawan Barat berkali-kali diperlekehkan pihak berkuasa Mesir.

Di bumi firaun tiada apa yang indah. Hanya ada beberapa monumen Islam dan universiti yang terkenal tetapi bukan untuk dibanggakan, Kegemilangan universiti al Azhar sebenarnya telah menjadi sejarah. Segalanya menjurus kepada pengagungan pencapaian masa lalu. Mereka berada di alam mimpi. Rakyat Mesir sebenarnya ditidurkan dengan mimpi yang tidak berkesudahan (malangnya ada pelajar kita terutama dari aliran agama yang turut sama diseret dalam mimpi Mesir. Tahu cakap itu ini, tetapi realitinya ibarat tin kosong). Itu cara yang digunakan pemerintah tentera. Aku jelaskan di sini, yang Mesir bukan negara demokrasi dalam konteks yang sebenar. Segalanya di tangan presiden..

Sebab itu bila menyentuh isu Palestin khususnya Gaza, apa sumbangan Mesir. Haram jadah, Hosni Mubarak dan isterinya Suzan.

Aku beruntung walaupun berkali dihalang dan ditahan, dengan nekad dan niat yang bulat, aku berjaya melepasi al Arish dan memasuki Rafah. Kisahnya terlalu panjang untuk aku catatkan di sini.

Tetapi pengajarannya jelas. Mesir bersekongkol membunuh penduduk Palestin. Jika tidak Amerika Syarikat akan menarik balik pemberian subsidi gandum ke atas republik itu. Untuk maklumah perkara ini ada tercatat dalam perjanjian Camp David antara Anwar Sadat dan Manehem Begin. Itu syarat yang dibuat Israel dan pastinya direstui Jimmy Carter.

Malangnya dalam ceramah ustaz-ustaz kita, ada perkara ini diulas. Balik-balik kupas ayat-ayat suci al Quran dan hadis, yang mana kadang-kadang tafsiran dibuat lebih menjurus kepada pemahaman peribadi. Aku cukup geram bila ustaz-ustaz yang emosional memberi ceramah tentang isu Gaza. Mereka menyempitkan isu dengan meletakkan kesalahan bukan pada tempatnya. Ini bahaya bila tidak menggunakan mantiq. Mereka mempengaruhi pendengar untuk membenci semua orang Yahudi. Walhal ramai juga orang Yahudi yang membenci peperangan dan keganasan. Asyik beceramah sampaikan mereka lupa yang salah seorang daripada 9 isteri Rasulullah teridiri dari keturunan Yahudi(sila rujuk Husein Haykal Hayat Mohamad aan Sirah Ibnu Ishak) dan ada sahabat dari keturunan Yahudi. Zaman berzaman ada sahaja proses pengislaman ke atas orang Yahudi. Ingat Islam itu untuk semua.

Yang salah adalah fahaman Zionisme. Sesiapa sahaja boleh menjadi Zionist.

Malangnya sang pemberi ceramah terpengaruh dengan peel Arab, yang suka menyalahkan orang lain jika sesuatu berlaku. Sama spesis Arab yang berada di Mesir. Orang Arab ni memang over..

Semasa aku transit di Kaherah untuk pulang, dalam siaran berita, Presiden Hosni Mubarak pada sidang parlimen negara itu, berkata dia sanggup berjiran dengan Israel daripada dengan Hamas.

Apakah makna ini? Bagi aku Hosni Mubarak tidak ubah seperti Firaun. Dosanya terhadap bangsa Arab Palestin yang seramai 7 juta amat besar dan tidak akan terampun. Lebih memalukan dia selama ini menjatuhkan maruah Islam dengan menjadi anjing Zionis.

Pengalaman hampir seminggu berada di Gaza, memberikan seribu satu kisah dengan apa yang berlaku. Mata, telinga menjulang jiwa sehinggakan aku muak dengan telatah pemerintah Mesir. Untuk makluman, ia menetapkan semua bantuan hendaklah disalurkan melalui Bulan Sabit Mesir yang dinaung Suzan Mubarak. Bayangkan dengan bantuan selama ini mencurah-curah, apa yang Suzan buat. Rakyat Palestin tetap menderita. Bantuan berbentuk kewangan telah dikemut. Untuk maklumah Mesir terkenal dengan rasuah dan berada antara 2o buan negara teratas.

Di Gaza kesengsaraan ada di mana-mana, mereka bukan sahaja disembelih tetapi dibunuh dengan perlahan-lahan melalui kepungan. Siapa yang mengepung? kalau tidak regim Zionis bersama Hosni Mubarak serta kuncu-kuncunya.

Di saat kita perut kita sedang kenyang, saudara mara kita di Gaza sedang kebuluran. Pengalaman menyaksikan mereka merebus rumput untuk mengalas perut kerana kebun dan ladang dimusnahkan, membuat air mata berjurai. Apa lagi yang ada untuk makan? Binatang ternakan dibunuh. Untuk makluman sepanjang 22 hari menceroboh Yahudi membunuh tidak kurang 300 ribu ayam telah dibunuh dan terbunuh. Tanaman diselongkar dan dirosakkan.

Sekarang inipun kalau mereka menggembala…silap hari bulan kena tembak. Bukan sahaja peluru Israel tapi Mesir yang lebih jahat dari itu, kerana menjadi pengkhianat kepada perjuangan membebaskan al Quds.

Di Gaza sebenarnya segala benda mahal disebabkan kepungan Israel dan Mesir.

Pada masa sekarang, kebanyakan penduduk Gaza bukan sahaja kehabisan ubat-ubatan tetapi kekurangan zat makanan turut mengancam mereka. Dalam kebanyakan keadaan, mereka terpaksa bergantung kepada kekacang sebagai sumber protein.

Hendak makan ayam jangan harap. Harga sekor ayam dalam 30 shekkel sama macam kita 30 ringgit. Itu tidak kira kambing dan lembu.

Harga sekilo udang dekat 100 ringgit. Ikan tenggiri 80 ringgit sekilo.

Laut Maditerranean kaya dengan ikan…tetapi macam dalam laporan aku siarkan dalam Buletin Utama, mereka tidak boleh pergi ke laut kerana lebih aja 5 kilometer daripada pantai kena tembak. Tempat lubuk ikan, situlah Yahudi letakkan bot peronda.


Akibat sekatan yang digunakan…ramai yang mati kerana tiada bekalan ubat-ubatan dan kemudahan untuk menampung orang yang cedera.


Walaupun seketika di Gaza aku dapat merasakan sengsara mereka. apatah lagi penduduk Arab. Sejak 60 tahun lalu mereka dilayan seperti binatang. Boleh menceroboh rumah bila-bila masa, memenjara membunuh sesuka hati penduduk Palestin.

Merampas semula bumi Gaza yang dijajah patut menjadi jihad kita umat Islam.

Ramai tidak tahu, Gaza merupakan tempat kelahiran Imam Syafie…mazhab yang majoriti penduduk rantau sini ikuti. Di situ juga bersemadinya, moyang Rasulullah SAW, Hasyim bin Abdul Manaf.

Aku percaya satu masa aku akan kembali lagi ke Gaza kerana jiwa mereka terlalu dekat dengan aku. Aku impikan untuk bersama mereka berjuang membebaskan bumi syuhada'. Memalukan kerana umat Islam hanya ada iradat tetapi tiada kudrat. Lebih dari itu, jangan jadikan isu Gaza sebagai retorik dan modal untuk meraih populariti serta agenda politik.

No comments:

Post a Comment