Tanpa berfikir panjang aku keluar dari rumah dengan ala kadar. ZZR 600 memang menjadi teman setia dan aku sering melepas geram bersama. Bila turun, sekali menekan butang, ia mengaum bak singa betina.
Menempuh jalan Tarom di Johor Bahru di waktu kemuncak bukan sesuatu yang indah. Dengan motor besar, aku begitu bergaya melepasi halangan kesesakan.
Tapi pagi 27 Januari 2000, ia tidak memihak kepada aku. Kehebatan aku selama ini, tidak bertahan lama kerana tersungkur selepas bergesel dengan volvo.
Dengan hati yang keras aku menolak sebarang usaha untuk membantu. Sebaliknya aku menyorong motor kesayangan pulang ke rumah. Dalam keadaan berlumuran sewaktu sampai, aku merasa pening dan tiba-tiba ingin pitam. Segalanya begitu pantas. Aku sempat menghubungi bekas Ketua Biro Utusan yang juga rakan serumah.
Dalam keadaan terkejut Ainul membawa aku ke Hospital Pakar Abdul Samad. Sekali lagi aku berdegil dengan mendakwa yang aku tidak apa-apa. Aku akhirnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Ainul yang kebetulan mempunyai tugasan menghantar aku pulang. Ketika itu aku merasa begitu tidak selesa. Ia membuatkan aku tekad untuk pergi lagi ke hospital yang sama. Aku menelefon Zohan @ Zod kawan lama semasa di UKM yang juga rakan sepejabat.
Zod yang tiba terkejut melihat keadaan aku dan bergegas membawa aku ke Unit Kecemasan. Ketika itu aku tidak mampu lagi berkata-kata, aku tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah aku berada di bilik MRI. Ketika itu Zod datang dan melepaskan geram.
"Chap kau sakit ker?.
Dengan mata aku memberi isyarat.
"Itu belum mati lagi. Kau nak sangat mati, sekarang belum mati, taupun kau rasa sakit"
Aku faham, sebagai kawan karib, Zod geram dengan aku yang menjadikan motorsikal kuasa besar untuk melepaskan geram.
Akhirnya aku dirawat dan sehingga sekarang masih mempunyai parut dan sakit belakang, yang sesekali amat menyakitkan.
Sebenarnya 27 Januari, begitu bermakna. Ia menjadi detik pertemuan pertama aku dengan Kay, 17 tahun lalu. Dan ketika kejadian pada pagi itu, sebenarnya perasaan aku begitu bercelaru.
Dan sehingga sekarang, adakala detik itu singgah di memori, Kami yang kemudian berpisah, redha dengan apa yang berlaku dan masing-masing membawa haluan sendiri. Itulah yang dinamakan takdir. Ia tidak menurut kita.
Hari demi hari aku menjadi terus tabah kerana aku percaya, kebahagian mempunyai ruang lingkup yang luas. Tidak salah kalau aku terus sendirian walaupun persekitaran amat menjerihkan.
Dan kini, di permulaan 40 tahun, aku senang begini. Aku tidak ingin lagi dirapati dan merapati sesiapa. Cukuplah, pengalaman banyak mengajar, cuma aku yang tidak bijak mengambil iktibar.
No comments:
Post a Comment