Sunday, December 27, 2009

Akan Tiba Nanti

Tiga minggu dari sekarang, aku bakal menyambut ulang tahun, seperti sebelum ini angka demi angka akan terus menongkah. Di sebalik kedatangan hari itu, aku tahu yang kematian selalu 'hampir' dalam hidup. Tetapi renjatan yang menginsafkan seperti air pasang, sekejap datang dan pergi. Keinsafan hanya sekadar di gigi air.

Bagi yang ditinggalkan tidak mungkin ada penawar bila ada sebuah kematian. Melainkan tuhan melenyapkan kesedihan itu dan memadamkan episod duka sedikit demi sedikit. Tapi parutnya akan tetap ada sampai bila-bila.

Tetapi mungkinkah itu akan dilalui mereka yang akan aku tinggalkan? Masih adakah insan yang mempunyai perasaan sayang terhadap aku. Jika ada, biarlah waktu yang menentukan. Walhal di kala dijemput pulang, aku kempunan.

Kebelakangan ini apabila ada saja saudara mara, rakan kaulan yang pulang. Ia mengetuk pintu hati dan mengenta naluri bahawa kematian itu semakin tiba. Di usia semakin bertambah dan menghala ke senja, saat-saat itu semakin hampir, tetapi aku berterusan menjadi 'si alim yang jahil' .

Natijahnya, aku masih bermimpi di siang hari dan diulit nikmat dunia sementara ini.Begitu banyak tanda peringatan yang dikirimkan, lihatlah rambut yang semakin kurang dan mula memutih tetapi bisikan syaitan senantiasa membuat hati mati dan seolah-olah aku menongkah dunia.

Friday, December 25, 2009

Harga Diri

24 November lalu, aku menerima panggilan daripada Jabatan Kewangan, MPB. Terlopong mulut setelah dimaklumkan gaji aku akan ditahan kerana dikatakan berhutang dengan syarikat. Pelik, aneh dan ajaib kerana kes ini tiba-tiba muncul, seperti kena terjah rimau di sebalik semak.

"September 2006, awak ada buat tugasan Pemilihan Umno Kubang Pasu. Masa tu awak di NTV7. Kami tak jumpa clearence statement awak. Kalau dah buat mana buktinya. ".

Dengan angkuh perempuan yang menyandang jawatan pengurus bersuara.

"Ini mustahil, saya telah buat semasa itu di NTV7. Awak perlu ingat ini tahun 2009, mana ada copy lagi. Kenapa selepas 3 tahun baru awak minta statement. Kalau benda ini tidak ada, ikut prosedur dalam tempoh sebulan saya dah kena tahan gaji. Kenapa baru semalam awak telefon saya dan tanpa ada sebarang memo, tiba-tiba nak tahan gaji saya. Saya dah serahkan dan orang berkenaan dah berhenti. Kalau benda itu hilang adakah ia kesalahan saya. Mana buku rekod sebelum ini. Semasa di NTV setiap advance yang dipulangkan akan dicatatkan pada buku. Masalahnya mana buku tu. Setakat ini, rekod saya bersih tak pernah ada benda macam ni berlaku?."

Aku cuba pertahankan hak aku. Bertegang leher. Aku diminta membuat bayaran sama seperti jumlah wang pendahuluan yang dikeluarkan dan akan mendapat semula elaun aku. Setelah diconggak logik aku setuju dan tidak sampai setengah jam aku membuat bayaran untuk menggelakkan gaji dipotong.

Dua minggu selepas itu, secara tidak sengaja aku bertemu dengan perempuan berkenaan dan kami sekali lagi bertengkar selepas dia secara terang-terangan mendakwa yang perkara berkenaan berlaku kerana kecuaian aku. Dengan angkuh membuat gelak, yang ia kesalahan aku pada hal, mana pergi buku rekod. Dia yang kena audit cuba menjadikan aku kambing hitam.

Dan dua hari lepas memandangkan bajet aku lari keran bayaran tempohari, aku menanyakan apa jadi dengan bayaran balik "duit elauan". Finance arahkan aku buat memo, jelaskan kenapa lambat pulangkan duit kepada syarikat. Wahhhh ini dah melampau.

Dungu sangat ker aku untuk buat memo. Demi harga diri aku tidak turut telunjuk yang boleh memerangkap. Aku pergi ke HR dan berikan penjelasan panjang lebar mengenai perkara ini. Mereka memahami kerana kes aku tidak sama dengan mereka yang liat bayar balik duit syarikat. Kes aku berlaku bila clearence dan buku rekod hilang. Bila aku buat memo, impaknya amat besar.

Pertama, aku mengaku bersalah kerana mengambil duit syarikat untuk tempoh masa yang lama tanpa membuat clearence.

Kedua, perempuan berkenaan akan lepas tangan apabila ditanya audit kerana apa yang berlaku bukan kelemahan dan kecuaian Jabatan Kewangan.

Ketiga, apa jadi dengan buku rekod. Ke mana pergi. Di sini wujud unsur penyelewengan kerana duit yang dipulangkan adalah dalam bentuk tunai. Kalau benar buku berkenaan hilang, kenapa aku seorang sahaja yang hendak dikenakan tindakan. Dalam buku tu mungkin ramai lagi yang lain.

Keempat, biar aku dipanggil dan berdepan sendiri dengan audit untuk memberi penjelasan, banyak sekali persoalan. Dari segi tempoh masa, ugutan tahan gaji yang dilakukan tidak ikut prosedur, kerana tiada memo yang dikeluarkan, sikap tidak profesional, wang elauan aku tidak dipulangkan dan bertimbun lagi.

Kelima, mengapa mengambil masa terlalu lama, hampir tiga tahun barulah kes aku timbul.Apa jadi sepanjang tempoh itu. Ke mana mereka mengemut?.

Dan yang paling penting, aku ada harga diri. Wang ringgit bukan segalanya. Apa guna hidup kalau maruah dipersenda. Aku dituduh bersalah sebelum dibuktikan bersalah. Ini tafsiran yang panjang dari segi undang-undang.

Sebenarnya seharian semalam aku termenung di pejabat. Aku ketuk story ala kadar. Dengan poket yang dibaratkan bocor, aku memang terdesak kerana amaunnya bukan kecil dan aku telah membuat sebagaimana yang diminta.

Dunia ini tidak adilkan pada mereka yang memegang prinsip kejujuran. Sesekali aku rasa sebak kerana berbelas tahun bekerja, aku diperlekehkan oleh mereka yang kononya berbangga dengan jawatan. Mereka yang memasuki dunia media hanya untuk meraih kekakayaan daripada penat lelah kami.

Bak kata aku pada Abu Bakar Atan dua hari lalu, kewartawanan seperti dilacur. Kewartawanan dijadikan alat untuk segala-galanya. Mengejar pangkat(ramai dah bos-bos yang jadi datuk dan ramai tengah bermimpi), menjadi pengampu dan ada kalanya menjadi pengkhianat bukan sahaja kepaa rakan sekerja malah kepada negara. Motifnya satu, ingin hidup mewah. Walhal masih ada 1001 cara yang halal untuk ke arah itu.

Demi maruah dan harga diri, aku pertahankan prinsip yang dipelajari dari Said Zahari manusia yang sepatutnya dinobat tokoh wartawan, tetapi sampai sekarang terus dipinggirkan. Kenapa? Jawapannya mudah, kerana tidak pernah membenarkan diri diperguna sebagai pengampu. Insan ini aku panggil "bapak". Pendiriannya tidak pernah berubah walau menjadi manusia paling lama ditahan ISA. Bacalah buku meniti Lautan Gelora. Petua yang diperturunkan akan aku pertahankan. "Jangan mencari kemulian, kalau kita jujur dan ikhlas, kemulian akan datang dengan sendiri".

MPB dan TV3, tempat aku mencari rezeki dan memberi sedikit ruang untuk aku terus berkarya, malang sekali di situ ramai manusia yang tidak lagi berjiwa manusia. Dalam erti kata lain manusia makan manusia untuk "survival". Sebenarnya mereka berjiwa kanibal.

Monday, December 21, 2009

Teladan

Wanita ini begitu istimewa. Usah dinilai dari segi rupa paras dan wang ringgit kerana itu bukan ukuran. Ketabahannya melayakkan dia dinobat manusia terpilih. Di usia pertengahan 40 an, Kak Anne (bukan nama sebenar) tabah menempuh hidup. Dulu dia pernah dicerca kerana status anak dara tua. Menjadi bahan usikan bos lama dek rupa paras (dah berhentipun pernah ke TV9, semua orang kenal mulut jahat dia dan sifat pilih kasih.) Tetapi dia tidak pernah menyanggah. Sebaliknya sebutir senyuman akan diliemparkan.

Tiga tahun lalu, dia disahkan menghidap kanser payu dara. Insan ini terus tabah. Ikhtiarnya tidak pernah kenal noktah. Kaedah moden dan tradisional, kedua-duanya diusahakan. Kimoterapi telah dilakukan. Dia dalam proses pemulihan. Syukur ke hadrat Tuhan.

Bagaimanapun kebelakangan ini, kakak yang tabah ini kelihatan sedikit kelainan. Sekilas pandang ada kegusaran pada mimik wajah yang menghiasi badan kecil moleknya.

Seolah-olah ada sesuatu. yang cuba diselindungkan.

Tanpa banyak kata ketika ditanya, dia mengalunkan bicara pada nada yang tenang.

"Doktor syak sel kanser pergi ke otak. Tengah tunggu jawapan keputusan imbasan".

Nyata jawapan itu menghiris harapan.

Sebagaimana dia, akupun titipkan doa agar telahan yang dibuat doktor tidak benar. Di sebalik jawapan yang diberikan tergambar semangat menyala-nyala untuk melawan penyakit yang dihidapinya.

Kak Anne, aku cuba belajar kesabaran yang kau miliki. Siffat mu yang mahmudah akan ku terap dalam menempuh ketidaktentuan keadaan. Kau lalui ini dalam keadaan hidup sendirian. Terpinggir dari mereka yang lain. Dipermainkan kerana tidka menjaja harga diri. Dan aku percaya itulah kesamaan kita

Monday, December 14, 2009

Sekalung Budi Segunung Intan

"Kami semua sayangkan Ali. Kenapa terlalu mengasingkan diri daripada orang lain. Ali tahu tak kita tidak pernah lupa terutama bila ada gathering. Macamana kita sayang Boyeh macam tu kita sayang Ali. Kita semua ada. Ali suka memberi kenapa enggan menerima kami".

Dengan pelat Perancis dan slang Terengganu yang kuat, Amid cuba menyuarakan pandangan terhadap aku. Kata-kata yang terpacul sewaktu kami berdua makan tengahari di Sushi King dekat One Utama siang tadi. Kalimah demi kalimah terus mengetuk tangkal hati. Banyak yang perlu aku ulas. Tetapi biarlah beberapa andaian berpanjangan kerana sebahagian jawapan akan terus terkunci.

Selepas 6 bulan bercuti di Malaysia, Amid perasan, aku payah didekati.Dengan tempoh setengah tahun berada di sini. Dia cuba melestari aku kerana ini tempoh paling lama kami berada berdekatan selepas Amid dihantar bersekolah ke Jesuit School, Paris ketika berusia 12 tahun. Pada madahnya terselit pujukan daripada ahli keluarga yang lain dan dengan hikmah aku cuba memberi jawapan.

"Ali telah tempuh pelbagai kesukaran. Bahkan sehingga sekarang ia berpanjangan. Tahu tak, segala apa yang dilalui adalah pilihan sendiri. Ketepikan soal jodoh. Alam pekerjaan yang Ali ceburi membahagiakan tetapi manusia di sekeliling terlalu hipokrit.

Nampak urban, tapi hasad dengki, terlalu teruk. Peribadi Ali banyak diserang dan dikutuk walaupun tidak campur hal dia orang.

Maknanya dia menilai orang lain dari sudut itu. Bukan dari segi kerja. Tahu tak gaji ni kalau nak kira tak sampai 1000 Euro. Ali suffer sangat.

Tetapi Ali tak mahu orang lain tahu terutama ahli keluarga dan orang yang rapat rasa perit yang ditanggung. Ali bukan sahaja menanggung beban fitnah dengan pelbagai kerenah manusia sekeliling tetapi beban yang pelbagai.

Biarlah Ali bertanggungjawab pada diri sendiri. Ini pilihan dan Ali akan terima. Dalam banyak perkara kita kena positif walau macamana susah. Kalau matipun Ali puas kerana dah enjoy setakat yang termampu tanpa menipu atau mengainaya orang lain. Biarlah orang kenakan Ali, dah biasa sangat kena tipu. Apa nak buat".

Makan tengahari kami dua beradik terpaksa dihabiskan awal kerana FBI telefon yang casting yang aku buat dua hari lalu tertinggal satu scene.

Sewaktu beredar aku memperkenalkan Amid dengan bini baru aku yang diletakkan dekat OU. Sebelum pergi seperti biasa Amid peluk dan membisikkan sesuatu dalam bahasa Perancis.

"Soyez fort nous vous aimons".

Kata yang ringkas dengan makna semoga mempunyai ketabahan yang kuat kami semua sayang, membuat mata aku berkaca. Terima kasih kerana mula memahami dan cuba membawa aku pulang ke ganggang.

Thursday, December 10, 2009

Selamat Tinggal Sayang

Bukan mudah membuat keputusan terutama yang membabitkan hati dan perasaan. Aku pada mulanya bukan berkali berfikir malah lebih dari itu.

Rasa sayang ini masih menebal. Tetapi aku perlu berpijak pada rasional. Berdasarkan hitung conggak, akhirnya tiba masa kita berpisah. Sepatutnya 26 Disember ini kita meraikan ulang tahun ke 6. Sayang sekali ia tidak kesampaian. Maafkan aku.

Bukan mudah melupakan sesuatu yang istimewa. Saat suka duka, pahit manis. Hampir sepanjang masa kita bersama. Hubungan kita amat akrab dan melampaui sempadan kekasih. Kau terlalu setia, biarpun ada kala aku mencurangimu dengan membandingkan kehebatan yang lain. Tetapi kau tetap menerimaku. Kejujuranmu tiada bandingan, tidak pernah engkar dengan kemahuanku. Dan sampai bila-bila kemesraan dan layananmu terhadap aku akan terpahat di ingatan.

Apapun sekali lagi aku mengkhianati dengan meninggalkanmu. Di saat aku membuat keputusan, kau diam kelu dan membisu. Aku faham perasaanmu. Maafkan aku atas ketelanjuran yang dilakukan. Inilah yang dipanggil fitrah kehidupan. Datang dan pergi silih berganti. Hakikatnya, kau terlalu istimewa.

Weihhh aku jiwang sebab dah jual kereta kesayangan aku. GEN2. Bukan kerana perasaan aku terhadap orang. Minggu ni aku dapat kereta baru. Kereta apa? Biarlah rahsia. Cukuplah ala kadar.

Hari terakhir bersama bini aku. Selama hampir enam tahun ke sana sini bersama. Menemani aku di saat duka dan ceria. Semoga kau bahagia dengan pemilik baru.

Merayap

Sehari berada di Kuala Lumpur, aku kembali merayap. Dalam keadaan yang masih mengantuk, seawal jam 7 pagi aku keluar rumah. Memandangkan keadaan jalan yang jam, aku ambik komuter.

Sejak 14 tahun lalu, perkhidmatannya tetap sama. Bagi aku jauh ketinggalan dan stesyennya masih dihiasi petugas yang kemalasan.

Lupakan soal perjalanan.

Sebaik sampai di Johor Bahru, tanpa banyak songel dengan perut yang berkeroncong, aku pergi ke City Square. Pastinya ke Robins Roasted Chicken.

Aku kemalasan untuk bermalam di JB dan aku juga cuak untuk terbang lagi. Kesudahannya aku memilih untuk menaiki keretapi Senandung Malam. Bak komuter, tiada apa yang berubah. Aku melihat perkhidmatan keretapi di negara ini jauh ketinggalan walaupun kita canggih dalam beberapa perkhidmatan lain.

Sebabnya ramai pemimpin politik kita yang berminat untuk terbang ke sana sini dan menyunsur dengan kereta mewah. Jangan harap mereka akan naik bas ekspres atau keretapi untuk ke Kuala Lumpur.


Wooooo sedap giler. Aku memang tak lepaskan peluang makan ayam panggang Robin's. Sedap. Tapi ada benda lain yang lebih sedap dan memang superb...tart telur Portugis. Memang sedap banget.

Lihatlah kedhaifan stesyen keretapi yang terletak betul-betul di pintu masuk negara ini. Sedihkan? di zaman canggih menggunakam LCD, KTMB masih jauh ketinggalan.

Dindingnya berlubang-luang. Tengoklah tempat menunggu, penyamaan udara ambik syarat ada aja.

Warna bukan lagi tema KTMB, sebaliknya aku lihat macam citarasa Hindu.


Dah sampai. Tren Senandung Malam dari Singapura. Rasa serampun ada, apa tidaknya CIQ yang bersebelahan terang benderang, stesyen KTMB Johor Bahru ala-ala rumah hantu.


Harga masih tidak jauh berubah. Untuk kelas 11 bawah masih RM45, kira murah berbanding naik bas. Mulanya hendak ambik kelas 1, tetapi duit tunai tak cukup. Malang menimpa bila debit kad Maybank aku tak diterima. Nasib baik apek tua yang sebelah aku tidak berdengkur.

Monday, December 7, 2009

Mabuhay

Selepas dua bulan, aku kembali lagi ke Manila, tetapi bukan atas nama kerja. Sebaliknya ada beberapa urusan yang menjadi tanggungjawab peribadi. Kunjungan kali ini ibarat serampang dua mata. Selain berbelanja dengan ala kadar, aku perlukan ruang untuk diri sendiri.

Cuba berpijak pada realiti terutama di usia yang menghampiri permulaan dewasa. Ramai yang melihat kemiskinan sebagai penderitaan. Tetapi berapa kerat dan kerap ia dijadikan satu madah untuk muhasabah diri. Tidak perlu berselindung terutama di usia menjelang 40 tahun, aku tiada lagi perasaan cinta sama ada untuk menyintai atau dicintai. Cukuplah ia merobek masa lalu. Untuk hari selanjutnya aku mampu hidup tanpa istilah itu. Alangkah besar makna, jika ruang berkenaan diagih kepada mereka yang memerlukan, dalam ertikata mudah ia bukan lagi tertumpu kepada individu, tetapi kelompok tertentu, yang lebih memerlukan aku.

Untuk aktiviti dan tugasan lasak, aku selalu membawa beg galas Deuter 80 liter ini. Ia mampu memuatkan pakaian untuk tempoh 2 minggu.

Aku tidak janggal sendirian, bahkan ia satu kepuasan.


Ramai yang tahu aku mempunyai minat merakamkan sayap kapal terbang, ada sesuatu yang menarik.



Kalaw Avenue, aku rakamkan dari bilik hotel. Masih ada kehijauan. Kunjungan kali ini bernasib baik kerana musim taufan baru saja berlalu.




Beginilah ropenyer bilik teman. Kira oklah, 107 USD satu malam. Namanyer Manila Pavillion.



Aku terpana dengan sudut ini. Ia mendapat sentuhkan konsep zen.




Di negara yang tidak terjamin keselamatan, lebih baik memilih hotel 4 bintang ke atas kerana ia ada menempatkan pengawal bersenjata.




Sebahagian ruang lobi yang menempatkan lif. Terasa macam duduk di Concorde Kuala Lumpur, ada persamaan dari segi tata hias.



Sempat merakamkan sambutan ulangtahun Manila Medical Center, UN Avenue yang terletak bersebelahan dengan hotel.


Alahai...nama kedai makanan Timur Tengah ini ala-ala nama aku.


Saras Street yang menempatkan banyak agensi pekerjaaan yang membekalkan tenaga kerja republik ini ke seluruh dunia.

Kunjungan aku ke perkampungan San Andress, Malate disambut majlis perkahwinan. Kemeriahan tetap ada walaupun mereka hidup dalam kedhaifan.



Aku berjanji akan cuba mendapatkan dana terutama daripada kawan-kawan untuk memperbaiki dan memperelok masjid ini. Lihatlah bumbung. Tetiba air mata terburai, Ia rahsia antara aku dengan al Khalik. Ajal maut tiada siapa tahu. Apapun harapan dipanjatkan supaya diberi kesempatan untuk kembali lagi.


Akidah anak-anak ini perlu diperkukuhkan untuk berdepan dengan ancaman Kristian. Sudah ada penaja untuk membawa kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke atas ke Malaysia bagi mendapat pendidikan yang lebih sempurna. Untuk permulaan 5 orang.



Masih ada saudara seagama yang prihatin mendengar keluhan dan rintihan mereka yang serba kekurangan.


Mengejutkan dan menakjubkan, masyarakat Islam Filipina membentuk komuniti peniaga di Quipo, Metro Manila.



Antara menu utama makanan yang dihidangkan masyarakat Islam Manila yang rata-rata berasal dari selatan Filipina.


Aku hayati nikmat makanan laut. Aku tidak pernah cerewet untuk makan, tolak kayu dan batu.

Penderitaan ada di mana-mana. Aku rakamkan wajah insani sewaktu menaiki teksi menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.


Sayap ini selalu membawa aku terbang tinggi. Sesekali perasaan sebak menjengah meninggalkan Manila.


Aku terbang pulang tanpa rasa terkilan. Seperti sebelum ini, aku berwaadat akan datang lagi.

Yang pasti jam 10.45 pagi nanti, aku terbang lagi....