Sunday, November 29, 2009

Jalan Lagi

Pejam celik dah empat tahun tidak menyambut Aidil Adha di kampung. Begitu juga dengan Aidill Fitri. Komitmen kerja, itu juga pengorbanan. Dua tahun lalu di Darfur. Memandangkan cuti tahunan yang bertimbun dan dengan karenah syarikat yang semakin menjadi-menjadi, aku rasa sewajarnya aku menghabiskan masa di kampung kelahiran. (aku sebenarnya tidak ada kampung, sebab alamat rumah lama guna jalan bukit kecil @jalan d.i.d, Kuala Terengganu). Aku balik sehari aja. Tapi nak cerita macam balik seminggu.


Aku menginap di salah sebuah resort, dekat Batu Buruk. Sengaja aku duduk di sini walaupun ada rumah keluarga. Ada masa aku ingin sendirian dan di kebanyakan masa aku memang begitu. Dulu masa sekolah, aku selalu lepak kat sini. Ponteng asrama, seperti biasa bawa buku dan study sorang-sorang, sampai tingkatan enam aku terlepas, niat aku baik hendak ulangkaji sambil menikmati bayu laut. Sekolah aku tak sampai sekilometer dari sini.





Ini dia sekolah aku. Bangunan ini merupakan salah sebuah istana milik almarhum Sultan Zainal Abidin 111, moyangnda kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin. Nama istana ni aku dah lupa, tapi nama Arab. Dulu rumah lama kami, 708 adalah sebahagian daripada kompleks istana. Selepas tanah dan bangunan kekal diwakafkan, rumah kayu berkenaan dipindahkan. Akhirnya dibina semula di Jalan Bukit Kecil. Banyak kejadian aneh dan misteri berlaku di sekolah ini. Tetapi aku tidak pernah alami sebarang benda pelik walaupun pernah tertidur dalam kelas sewaktu prep. Sedar-sedar jam 3 pagi. Aku study di bilik yang hujung sekali. Mungkin makhluk berkenaan mengenali kami. Cuma rumah 708 dianggap keras. Selimut ditarik, kaki digaru dan dicucuk pinggang ketika tidur, perkara lumrah yang pernah aku lalui. Sebab itu ramai adik beradik aku dan sedara mara tidak tahan bila balik ke rumah berkenaan, kerana makhluk terbabit menunjukkan diri sebagai pengawal yang siap berlembing.



Minta izin dengan pak guard nak ambil gambar. Sebab aku terus kekal sehingga tingkatan enam, ada usikan di kalangan kawan-kawan, yang aku tidak akan sesat walaupun ditutup mata. Ini universiti pertama aku. Tempat di mana aku belajar bahasa Arab dan agama. Dengan asas ini kami pergi jauh walaupun tidak menjadi ustaz. Ramai rakan sekelas yang menceburi pelbagai bidang profesional kerana mereka menyambung pelajaran setelah tamat SPM. Aku bersama 7 yang lain meneruskan pengajian ke tingkatan enam, yang penting aku berjaya juga capai cita-cita nak jadi wartawan. Di sini aku tidak ramai berkawan, kecuali rakan sekelas. Kami ada group masa tu(perasan giler kononnya geng bijak pandai dan urban. ) Sebab itu semasa berada di UKM, aku tidak ramai kawan sebab kebanyakan yang kamceng pergi ke tempat lain.

Tapak 708 setelah dijual. Sedih aku tengok. Mana perginya rumah cengal Potong Belanda yang menjadi kebanggan kami, aku harap, ia masih dihargai sebagai kediaman. Setelah rumah dijual, aku memujuk pembeli supaya memberi aku 3 keping papan anak tangga, untuk disimpan sebagai kenang-kenangan, tetapi ia ditolak mentah-mentah. Dulu keluarga kami pernah berikhtiar untuk mengeluarkan makhluk halus dari 708, tetapi tidak berjaya kerana terdapat ikrar zaman berzaman dengan raja-raja Melayu terdahulu. Sudut ini dirakam dari pintu pagar. Pembeli dah robohkan tiang konkrit.


Pokok Putat yang terletak di luar pagar. Dulu ada stor dan garaj kereta bawah pokok ini. Tapi jarang Tok Ki parking TA 50 kat situ, sebaliknya depan rumah. Ramai yang kata pokok ini berpenunggu...tapi aku selalu panjat sebab nak petik pucut. Sekali sekala selongkar sarang burung.




Wednesday, November 25, 2009

Ronda dan Makan

Bila dah merayap ke segenap alam, makan menjadi agenda utama. Seperti biasa aku suka singgah di kedai kopi @ kopitiam. Aku akan cari yang original, bukan yang setakat nama aja kopitiam tapi rasa hampeh.


Yang duduk di kaunter, anak pengasas Hai Peng. Panggil Mok Mek atau Semek. Pernah berhijrah ke Kanada tetapi akhirnya balik ke Kemaman untuk teruskan legasi kopi.

Semestinya Nasi Dagang jadi pilihan. Tengoklah kelongsong. Unik dan menarik. Paling penting ia mesra alam.


Ini satu lagi tempat wajib yang aku perlu singgah bila bercuti ke Kota Bharu. White House Kopitiam beroperasi dari 8 pagi hingga 1 tengahari dan 8 malam sehingga 12 pagi.




Kopi dan telur separuh masak memang tiada tandingan. Di sini boleh temui pelbagai ragam manusia yang mempunyai citarasa yang sama. Berkongsi kenikmatan kopi.

Terbang Tinggi

Cuti sehingga tahun depan? Terbeliak mata kawan-kawan sepejabat. Memang itu patut aku lakukan. Tidak guna kemut cuti, kesudahan aku yang rugi kerana ia tidak boleh di bawa melebihi bulan Mei. Selepas tu, ia terbakar dan hanggus.

Bila dah cuti, apa lagi, terbanglah sang bangau....seperti selalu, sudut ini menjadi kegemaran aku merakam gambar.


Kerana 2 hari 1 malam, aku membuat keputusan meletak kereta di LCCT. Tidaklah mahal sangat berbanding ambil teksi. 42 jam baru RM 73.

Hidup ini terlalu singkat....aku nikmati keindahan alam dan bersyukur nikmat yang diberikan.

Pemandangan dari Hotel Puteri Pacific, di mana aku menginap. Nampak Tambak Johor dan di seberang sana Woodlands. Kesabaran aku pernah diuji tahun lepas sewaktu memasuki republik itu. Sampai sudah aku tidak tahu apa punca walaupun aku ada andaian. Kali ini aku tidak lagi bertandang ke Singapura.

Bila balik JB aku tidak akan melepas cari ZZ. Tetapi seperti kelaziman aku hadap lontong kering sendirian. Tetiba masa tengah sedap ngap teringat lagi drama masa kat Hutan Bandar, Johor Bahru. Pandai sungguh orang tu berlakon, teringat lagu Ruffadge. Tipah tertipu tipah, Tipah tertipu Tipah, Tipah tertipu lagi.....Tapi aku bukan Tipah yang tipu aku tu Tipah, dah terbalik Mungkin lirik jadi macam ni Tipah tipu aku Tipah, Tipah tipu aku Tipah. Tipah tipu aku lagi. Biarlah itu cara dia.

Yang penting minggu pertama bulan depan aku terbang lagi....walaupun tidak lama, ia membawa aku beribu batu dari sini. Rezeki jangan ditolak.

Saturday, November 21, 2009

Buat Apa

Menghabiskan cuti panjang, adakala membosankan. Sebelum pergi berpeleseran jauh, masih ada saki baki daging dalam peti sejuk. Dah dua bulan disejukbeku. Tetiba teringat resepi keluarga. Masakan ini dikira favourite jugalah di kalangan kami. Dulu masa 708 meriah, setiap hari Khamis arwah Wan akan sajikan. Daging singgang salah satu masakan sihat kerana segalanya rebus dan kaya dengan rempah ratus segar.

Singgang salah satu bentuk sup. Apa yang unik singgang juga terdapat dalam hidangan masyarakat Filipina. Mereka memanggil Sinagang.

Apa kata, saban hari menjamu tekak dengan makanan luar, sesekali kita cuba lauk pauk kampung.

Cara-cara, tak payah...pejam matapun boleh buat.


Sekilo daging. Ni saki baki raya itu hari. Ada daging dan telepong (paru-paru)



Bahan-bahan rempah. 12 biji bawang merah, 5 ulas bawang putih. Di mayang. Jangan sesekali ditumbuk, Seinci halia, kunyit hidup (jangan sesekali pakai kunyit serbuk, kalau tidak rasa akan lari) dan lengkuas. Semua ini dititip @ ketuk. Setengah sudu teh ketumbar, garam gula dan 4 asam keping. Tidak boleh tinggal cili padi. Masukkan bila singgang dah masak. Bila nak makan baru "khe-nyet" dipicit.




Campak segala bahan-bahan tadi. Rebus dengan api perlahan lebih kurang dalam satu jam 40 minit.




Begini ropernyer bila dimasukkan ke dalam puyuk. Selepas gelegak dan dah empuk, baru masukkan gula dan garam. Tak payah pakai serbuk perasa.

Sebenarnya gabungan halia, lengkuas dan kunyit akan memberi kombinasi bau yang wowwwww. Hampir semua masakan bersup dan gulai orang Terengganu menggunakan gabungan ini. Begitu juga dengan asam keping. Arwah Wan berpesan ia bagus untuk untuk kesihatan.

Asam keping juga menjadi ramuan utama mandi wap. Ia menjadi rahsia penjagaan kesihatan keluarga kami yang bernasab dari darah bangsawan Riau Lingga. Nasib baik aku sempat simpan dan catat kerana masa kecil dulu aku sering dimandikan dengan ramuan ini. Penyediaannya tidak sukar, cuma di KL ni nak cari daun-daun kayu segar agak payah. Dulu pagar sekeliling 708 ada daun-daun yang banyak kegunaan ini. Sebelah rumah Mok Long ada pokok asam jawa, rumah Mok Teh ada pokok mengkudu, Der Wan Moh ada pokok jambu batu atau Mok Teh Wook ada pokok mertajam. Petik aja pucuk-pucuk pokok ni.

Monday, November 16, 2009

Kenapa Lambat

Sewaktu lunch mereka selalu keluar tepat masa atau lebih awal. Tetapi bila tang balik, akak-akak selalu terbabas. Berikut jawapannya

Lelaki

1. Waktu lunch, jalan ke tempat makan
2. Sampai kedai makan, masuk
3. Ambik Pinggan
4. Letak nasi
5. Letak Lauk
6. Ke kaunter, Bayar nasi dan Air Sekali
7. Makan
8. Habis
9. Balik Opis or
10. pegi surau

Perempuan.

1. Waktu lunch, jalan ke kedai makan
2. Perhatikan orang waktu jalan
3. Sempat mengumpat dulu
4. Sambil jalan betulkan tudung, tgk baju sendiri, tgk kaki
5. Tengok baju orang lain, especially yang cantik dr baju sendiri.
6. Sampai kedai makan, jenguk-jenguk dulu
7. Ramai orang, cari kedai lain.
8. Jalan lagi
9. Dah puas ati.. masuk..
10. Survey lauk dulu 2, 3 minit.
11. Carik2 pinggan, ambik pinggan
12. Belek-belek pinggan, bersih ke?? tak bersih?.. eeeeiiii. .
13. Dah puas ati, ambik nasi1
4. Ambik nasi ceduk sikit-sikit
15. Tak sah kalau tak ceduk 2/3 kali
16. Buang balik nasi. banyak. .
17. Tak puas ati, banyak lagi.. buang lagi..(tinggal sejemput)
18. Godek2 sikit nasi dalam pinggan 2minit
19. Carik lauk. Survey dulu keliling meja. Tenguk sana, tenguk sini
20. Jengok dlm bekas lauk, ambik kuah sikit
21. Jengok bekas lauk lain, ceduk kuah sikit lagi
22. Jengok lagi? sambil tu tengok2 orang, jeling-jeling
23. Ambil lauk
24. Pusing lagi
25. Carik sayur pulak!
26. Ambik sayur selepas survey dan keliling 2 minit
27. Ke kaunter bayaran
28. Tgk2 nasi dlm pinggan
29. Berbisik ngan kawan "alaamak byk la aku ambik"
30. Sampai depan kaunter "berapa?"
31. Bukak dompet.. belek2 celah kad2 bank, celah kad2 nama, celah gambar2..
32. Keluarkan duit
33. Buat isyarat mata ngan member (sbb nasi mahal)
34. Tutup dompet. Ambik nasi
35. Tinjau-tinjau tempat duduk.
36. Jumpa tempat duduk.. alamak kotorlah !!
37. Cari tempat duduk lain
38. Jumpa. Duduk. .
39. Alamak. Air tak order lagi
40. Tinjau2, carik org order air.. sambil tangan betulkan0 tudung
41. Order air
42. Bangun
43. Ambik sudu
44. Duduk46. Bangun
45. Ambik Tisu
46. Duduk
47. Air sampai
48. Belek dompet (Step tadi)
49. Bayar
50Tutup
51. Minum air
52. Start makan
53. Tengok-tengok orang sambil makan
54. Makan separuh.. kenyang
55. Sebab dah minum air
56. Letak sudu, letak garpu
57. Pinggan tolak tepi
58. Borak2 kater makanan tak sedap
59. Ngumpat2.. tgk orang
60. Pukul 2, naik opis..
61. Ambik beg makeup, g surau!!!!!Betul ker??

Sunday, November 15, 2009

Badut

Sejak 12 tahun lalu, ku kira perjalanan hidup ini banyak merundum, lebih kerap jatuh dari bangun, lebih acap merangkak dari berlari. Dalam ertikata ringkas, segala-galanya sukar. Inilah karma, kita ada pilihan tetapi tertakluk kepada batasan. Seandainya diberi ruang dan kesempatan ingin ku perbetulkan kesilapan dan kealpaan. Aku ingin kebahagiaan seperti orang lain, mengecapi nikmat berpasangan, berkeluarga dan sebagainya. Malang sekali, impian hanya tinggal di dalam dairi dan mimpi.

Untuk menghiburkan orang lain, badut ketawa dan berlawak jenaka. Malangnya di sebalik contengan wajah dan gerak ceria, tiada siapa peduli sang badut sedang merintih. Tempelan bedak dengan hidung kembang dan sepasang bibir melirik, mudah membuat penonton geli hati walhal di sanubarinya, ada cerita tersendiri.

Hiduplah sang badut untuk menghiburkan orang lain dengan ketawa sedangkan derita badut tiada siapa peduli.

Ada masa aku menjadi seperti mereka. Menghiburkan kaum keluarga dan rakan-rakan. Jiwa ini adakala sensitif, cepat terusik dek kata-kata. Badut ini masih tersenyum kerana tidak ingin mengguris hati orang lain. Mereka ketawa dan aku terpaksa ketawa.

Di celah-celah deraian ketawa penonton, badut di sarkis itu selalunya beraksi seorang. Aku juga begitu.Cuma prop yang berbeza. Aku bergantung pada jemari untuk menulis, bukan di pentas. Dengan jemari ini ia menjadi teman abadi yang setia menolong melakar satu ilusi yang penuh warna tapi sepi. Dan bila tirai itu dilabuhkan, badut yang memetik jemari selalu menangis.....

Wednesday, November 11, 2009

Bukan Mudah

Belumpun selesai membuat liputan Persidangan Negara Islam Membangun D8, aku mendapat satu tugasan yang dikira mencabar. Menemuramah Naib Presiden Pulo, Kasturi Mahkota. Aku mendapat restu untuk bertemu tokoh yang berjuang untuk membela nasib penduduk Melayu di Pattani. Ia bukan tugasan mudah. Banyak risiko yang perlu aku tanggung. Dalam soal ini aku meletakkan, nyawa aku di belakang. Yang penting mesej apa yang berlaku perlu disampaikan kepada penonton.

Perjalanan merentas awan menuju ke lokasi pertemuan. Ia menjadi sesuatu yang menguja.

Mengambil gambar dari udara menjadi kemestian ke mana sahaja aku pergi. Cuaca cerah seolah-olah merestui pertemuan kami.

Di bandar ini, kami bertemu. Sebelum berpisah dengan ringkas Kasturi berbisik, doakan perjuangan kami mendapat kemenangan.


Setiap kali membuat tugasan istimewa, aku selalu menyarung jeans Calvin Klein kesayangan aku.

Aku rasa setakat ini, hanya aku yang pakai jeans koyak di pejabat. Lagi banyak koyak lagi seksi ....sebenarnya ia luahan hati aku.

Tuesday, November 10, 2009

Tercapai Akhirnya

Sudah lama aku mengatur janji untuk berjumpa dengan Tun Mahathir Mohamad. Sejak balik dari Gaza, aku ada membuat temujanji tetapi sering terlepas kerana Tun M, sememangnya sibuk. Pembantu setia beliau, Sufi suruh aku datang ke Yayasan Perdana, tetapi nasib tidak memihak kepada aku kerana tiada kesempatan.

Jumaat lalu bagaikan mendapat rahmat apabila aku menerima undangan. Bersama 7 rakan setugas kami dijemput makan tengahari di JW Marriot. Lebih meriah Tun M menjadi tetamu kehormat majlis Women's Role In Nation Building yang dinaungi NAM Institute For The Empowerment of Women.

Siang tadi segala yang dimpikan menjadi realiti. Harapan aku selama ini untuk mendapat autograf Tun M pada buku mutakhir beliau, akhirnya tercapai.

Lama tak makan salmon, tapi tak sesedap sangat. Daripada 5 aku bagi 3.

Apple pie ini tiada apa yang istimewa. Rasanya kalau emak Mimi Aryani (kawan masa kat U dulu) buat lagi mengancam.

Dulu ada orang pinjam buku ni. Apa nak buat bila tidak dipulangkan. Kira sedekahlah. Aku cari dan beli satu lagi. Mula-mula pergi Borders tapi dah habis. Kemudian ke MPH di The Curve nasib baik tinggal satu aja.

Akhirnya tercapai, aku dapat autograf Tun M. Yahoooooooooooooooooooooooo.

Monday, November 2, 2009

Tiba Masanya Nanti

Sebelum ini, seberat mana kerja aku tampung selagi boleh sendirian. Seperti juga masalah peribadi aku kantung pada kudrat diri. Jangan sesekali babitkan orang lain. Hari ini, aku bereskan kerja membuat liputan D8. Keluar rumah jam 7 am dan pulang 1030pm. Itu bukan sesuatu yang pelik.

Di sebalik stress, tekanan dan yang sewaktu dengannya, ada aksesori yang menambahkan beban. Aku hairan kenapa kenyataan aku suka disensasikan padahal sama sekali tidak benar. Bukan sekali terjadi tetapi berulang-ulang.Mungkin ini dugaan. Inilah fenomena politik di pejabat. Aku menghindari terbabit dengan politik di luar, tetapi di pejabat aku menjadi modal untuk manusia terpilih menyiapkan cerita.

Perempuan, lelaki dan pondan ada sahaja, perhatian yang tertumpu kepada aku. Nak kata hebat, jauh sekali. Kalau kaya jauh panggang dari bara. Mungkin kerana gaya kot. Ini tidak masuk akal kerana sapalah aku. Ramai personaliti lain yang meletup-letup.

Itulah realiti kehidupan. Tidak ada cerita buat cerita. Bila ada cerita kenalah jaja. Kalau tidak ringan dosa.

Sebahagian kita sebenarnya kekakisan norma, sehingga tidak lagi merasa bersalah atau timbul rasa kesal kerana mengata atau mengena orang lain. Mungkinkah ini menjadi wadah bagi mengajar aku erti kesabaran.

Pesan orang tua-tua, semua ilmu boleh belajar kecuali satu, ilmu sabar.

Kesabaran cabang keintelektualan. Tiada guna melatah kerana ia akan memburukkan keadaan. Bak sebelum ini, kepahitan itu aku cuba jadikan penawar. Selagi boleh telan aku telan walaupun ia tidak akan hadam.

Apa guna bersengketa kerana aku juga nampak buruk. Lagipun sumpah seranah tidak akan membetulkan kesilapan, sebaliknya mencalit warna hitam bukan pada peribadi tetapi menyesap ke jasad.

Apalah sangat erti kehebatan duniawi...segalanya fana'. Usia aku semakin meningkat dan aku semakin tua. Tetapi aku tidak pernah lupa, yang ajal aku sebenarnya semakin dekat. Ia semakin hampir. Seperkara yang aku minta dari Tuhan, gantikan fitnah yang aku terima dengan kelebihan di kala aku dijemput pulang. Tutupkan keaiban dan permudahkan sakratul maut. Aku tidak ingin mati dalam kehinaan.