Tuesday, March 30, 2010

Mencipta Damai

Segala-galanya berlaku secara kebetulan. Dua sahabat karib aku menunaikan umrah dalam bulan yang sama dan pada minggu yang sama, cuma penerbangan yang berlainan. Yang pasti di hati masing-masing terbungkam sesuatu yang juga ceritanya hampir sama. Seorang di ambang perceraian dan seorang lagi telah melepasi proses itu. Syukur di sebalik dugaan terpana hasrat untuk mencari kekuatan di bumi yang penuh kerahmatan.

Kedua-dua mereka menjadi tetamu Allah. Bagi insan sejahil aku, tiada saat paling indah kecuali bertelingkuh menghadap Kaabah. Kala itu, tinggalkan segalanya, merasa betapa rapat hubungan antara yang dicipta dengan Sang Pencipta.

A.H, seorang peguam yang memiliki beberapa firma guama. Telah lama kami berkawan. Aku memahami situasi yang dialami. Minggu lepas sewaktu makan tengahari yang secara kebetulan dia ada kes di KL, aku dan kawan-kawan yang lain cuba kuatkan semangatnya untuk terus mempertahankan perkahwinan yang menjangkau 10 tahun.

Dia yang juga rakan sepermainan, sebolehnya cuba menjadi suami yang baik, soleh dan bermaruah. Aku perhatikan sejak berkahwin, kenakalannya semakin berkurang. Paling ketara solat dan penerampilan amat berbeza. Dia yang pandai mengaji dan berzanji sebenarnya menjurus ke arah kehidupan yang lebih baik. Tetapi rintangan yang berlaku menjadi penghadang yang silap perhitungan boleh menguji keimanan.

Malang sekali dengan bungalow, estima dan BMW7 series, itu semua masih belum mampu memberi jaminan yang perkahwinan akan selamat dari badai. Si isteri akhirnya menuntut cerai tanpa ada alasan yang munasabah....

Pada perjumpaan minggu lalu bersama dua rakan kami yang lain, dia cuba menahan kesedihan. Untuk menghiburkan hati A.H menyuarakan kepada kawan aku yang juga seorang banker, untuk tukar BMW7 series ke BMW5 series....Aku dengan kawan aku seorang lagi, pandang memandang satu sama lain. Lie kau ambik kereta aku tu...dan si banker menyamput, aku boleh arrange untuk kau buat loan. Bulan-bulan RM2700. Aku yang tercekik air liur terus menjawab, kalau bulu %&*$# emas bolehlah aku pakai.

Sewaktu blog ini ditulis, A.H telahpun berada di Madinah, beribadatlah sepuas hatimu, pintalah semau hatimu apa yang terbuku. Insya Allah akan termakbul. Aku tahu apa yang engkau lalui dan sebolehnya aku tidak ingin engkau menempuh kesukaran lagi.

Kepada seorang lagi sahabat M.S, yang berlepas pagi tadi, aku sebak sewaktu menaipkan teks sms semasa mengirimkan doa. Aku sedih mengenangkan nasib kau sahabat. Tetapi kau begitu tabah. Kekuatan kau sememangnya luar biasa. Paling menakjubkan kesabaranmu. Terus terang, kau mempunyai kehebatan. Tetapi ketika air mata kau berderai, aku memahami yang kau cuba memamah kepahitan. Adakala kita akrab kerana banyak berkongsi cerita. Paling tidak nasib lelaki yang ditinggalkan.

Pagi tadi juga aku memeluk Aishah dan Emran, 16 dan 14 tahun yang akan menunaikan umrah petang ini. Aku bisikkan jangan lupa doakan uncle dan buatkan umrah untuk arwah ayah ( sepupu aku, Ezral Husin, pegawai tentera meninggal dunia ketika usia 27 tahun ketika dalam latihan untuk dinaikkan pangkat ke mejar, dia meninggal sehari selepas Emran dilahirkan). Berbanding Emran, si kakak, Aishah lebih rapat dengan aku. Dulu kerana keakraban dengan anak yatim, aku menjadi sasaran cemburu. Kini masa menjadi neraca kebenaran, telahan dan rasa ragu Kay hanya mainan. Selain Aishah dan Emran, aku ada lima lagi anak yatim piatu....tidak banyak aku harapkan daripada mereka, cukuplah sedekahkan fatehah bila aku tiada nanti.

No comments:

Post a Comment