Tuesday, June 22, 2010

Perpisahan

Di kala insan lain menikmati kemanisan mimpi, mata ini semakin segar menemankan aku. Tetiba lagu ini berkumit di mulut. Jari bertemankan tembakau tanpa secangkir kopi, aku merenung sepuasnya ke lebuhraya. Hutan masih berbalam kehijauan walaupun dalam kepekatan. Naluri bersuara, atas nama perpisahan biarlah masa menghakimkan segalanya....atas fitrah alamiah, aku tidak akan mendendami, walau bertalu ditipu. Aku tetap sisipkan doa, semoga kebahagiaan dia berpanjangan....

Thursday, June 17, 2010

Kembali Semula

Lama sekali blog ini ditinggalkan. Tetapi ia tidak bermakna, ia disisihkan. Sebolehnya aku tidak ingin menggunakan masa sebagai kekangan. Masa tetap ada, cuma kudrat akal dan jasad amat terhad. Sepanjang tiga bulan lalu, banyak sekali kisah yang boleh dimadah. Semoga apa yang cita terlaksana.

Perjalanan selama 18 hari ke City of Angel, yang kemudian menjadi medan berdarah perlu dikisahkan. Di sebalik kesibukan di siang hari, masih ada masa untuk bercengkerama. Tetapi bukan dengan kupu-kupu malam. Kunjungan ke Bangkok kali ini, menemukan semula dengan ARO. Ia sesuatu yang menyentuh perasaan selepas berbelas tahun kami membawa diri.

Di malam hari juga aku aktif berchatting, sesuatu yang luar biasa berbanding sebelum ini. Ketika itu, aku disapa Tg Ismail Tg Su, cicit almarhum Sultan Zainal Abidin Ketiga. Dia yang aku panggil Ayahku mengingatkan aku tentang perkahwinan Cha Choam Sufiah atau Tengku Sufiah dengan Raja Mongkut, pada 1857. Dia yang juga bonda saudara Sultan Zainal Abidin menjadi korban percaturan politik.

Ketika itu, Tengku Sufiah mengikuti kekandanya, Sultan Mahmud Riau-Lingga yang diturunkan takhta oleh Belanda. Dia cuba mencari pengaruh Siam untuk kembali berkuasa. Nasib malang menimpa Tengku Safiah apabila kejelitaannya dipandang Mongkut. Dia menjadi salah seorang daripada berbelas gundik Raja Siam.

Cerita yang disampaikan kepada kami, perkahwinan itu tidak melahirkan sebarang zuriat. Tengku Safiah ke Terengganu selepas Mongkut mangkat. Dia akhirnya dikahwinkan sekali lagi dengan Ku Din Molek @ Ku Din Comel, seorang kaki perempuan di zamannya. Perangai Ku Din yang keterlaluan menyebabkan Sultan Zainal Abidin mengarahkan supaya bapa sepupunya dibunuh.

Generasi lama keluarga diraja Terengganu dan Riau-Lingga menyimpan versi tersendiri mengenai Tengku Safiah. Ia satu kisah tragis sebagaimana nasib yang menimpa Sultan Mahmud Lingga yang kemudian mangkat di Pekan, Pahang.

Bandaraya Bangkok bukan asing bagi kami. Sesekali bila bertandang, aku cuba membayangkan generasi lama kami pernah berada di situ. Sama ada dari jurai Pattani atau Riau Lingga. Kedua elemen itu, aku warisi dari sebelah Tok Ki.

Banyak sekali cerita mengenai Bangkok. Aku percaya tanpa hikayat malam, banyak lagi kisah menarik dipaparkan.

Tuesday, May 4, 2010

Biarlah

Jari-jemari ini seolah kematu untuk menulis blog, mungkin lama aku tinggalkan. Sekalipun ada idea bertandang, masa amat menghadkan. Sejak pulang dari Bangkok, aku berterusan bekerja. Kepenatan ada, tetapi jiwa ini begitu menyintai kerjaya.

Aku tidak tersentak apatah lagi melatah bila terdapat seorang ini mengatakan aku "bodoh" dan hanya orang yang bodoh dihantar membuat liputan tunjuk perasaan di Thailand. Biasalah si mulut jahat @ longkang.

Sebodoh-bodoh aku mampu membuat berita dari pandangan aku sendiri. Tidak setakat cut and paste....aku masih mampu menemuramah dalam bahasa Inggeris dan juga Arab. Sedangkan orang yang mengutuk, hanya setakat bahasa Melayu yang masih berbunyi kekampungan. Dulu hendak tunjuk lagak dan pandai depan aku....bersembanglah dengan mat salleh. Mula-mula dengar pertanyaan dia, aku sesak nafas dek tercekik air liur.
" Where you go sir?.....

Fikirlah sendiri, di tahap mana penguasaan bahasa Inggerisnya.

Akhirnya kerana tidak ingin dilihat bodoh...aku menyampuk mat salleh berkenaan dan meneruskan perbualan sehingga aku sampai ke Paris. Si bangang ni diam dan terus diam...kerana perbualan aku turut diselit dengan bahasa Perancis, aku pernah belajar bahasa itu.


Ohhh lupa, insiden itu berlaku ketika yang berkenaan menumpang aku bercuti di Perancis. Masa tu dia dan geng dia bukan main baik, maklumlah tidak pernah jejak kaki di Eropah. Nyata kebaikan mereka hanya lakonan. Masa sampai di Lapangan Terbang Charles de Galle bukan main berlagak salji tidak, panaspun tidak tetapi dengan penuh yakin mengayakan spek mata hitam, yang tiruan pulak tu...malu aku. Tetiba telinga aku terkasima mendengar pertanyaan.

"Ada nasi ke kat sini?'...

Bila aku jumpa suku sakat aku, aku masih ingat kedengaran di hujung telinga, kata-kata salah seorang daripada mereka.

" Oooo dia ada saudara kat sini, mat salleh...model terkenal kat KL tu saudara dia".

Aku pekakkan telinga. Kerana itu prinsip menjauhkan diri dari perasaan riak dan takabur.

Dua tahun lalu percutian aku di Eropah sebenarnya tidak kesampaian. Dalam erti kata lain, ia tidak mencapai kepuasan. Aku telah dipergunakan oleh Si Jakun.

Selepas pulang ke Kuala Lumpur, aku terima balasan daripada yang berkenaan. Tiba-tiba salah seorang daripada mereka, tidak bertegur sapa dengan aku. Kedengaran cerita yang kurang enak. Rupa-rupanya, dua ekor ni tidak puas hati kerana tidak memasukkan perjalanan ke Venice dalam jadual percutian kami dan semasa di Barcelona aku membantah untuk menukar laluan ke Venice.

Jawapan aku mudah, kalau rasa nak pergi..uruslah sendiri, jangan babitkan aku, kerana Barcelona bandar seni. Aku perlukann masa untuk menghayati keindahannya. Mereka sebenarnya tidak tahu berdikari. Terdetik dzan yang mereka mengambil kesempatan. Tetapi ketepikan rasa buruk sangka.

Sebenarnya sebelum bertolak aku bukannya baik sangat dengan makhluk ni. Bila mereka dengar rancangan aku dengan senior sorang lagi untuk bercuti, mereka datang approach....tetapi kesudahannya hampeh.

Aku juga manusia, ada kelemahan tetapi kekurangan itu telah diperbesarkan walhal kealpaan mereka aku terus sembunyikan.

Dan siang tadi sewaktu di pejabat, seorang ini terus mengata di belakang. Kenapa persoalkan kerja aku? Tengoklah diri 9 tahun kerja mampukah menguasai pelbagai genre kewartawanan seperti berita am, luar negara dan bisnes. Hanya setakat satu bidang sahaja, itupun nak tunjuk hebat....pernah suruh buat liputan pilihanraya, merungut mengalahkan betina. Dia bising sebab tidak tahu nak buat kerja, peel ala-ala Cik Kiah mana boleh lasak mental dan fizikal. Semoga dengan sikap busuk hati yang berkenaan akan dipulangkan ke unit berita am, sebenarnya dia lupa selama ini dia dipinjamkan.

Kata-kata nista, tohmahan dan fitnah akan ada kesudahannya. Semoga Allah melapangkan dada untuk lalui ini semua. Demi hari esok yang lebih baik aku yakin yang dugaan ini, ada hikmahnya.

Tuesday, March 30, 2010

Mencipta Damai

Segala-galanya berlaku secara kebetulan. Dua sahabat karib aku menunaikan umrah dalam bulan yang sama dan pada minggu yang sama, cuma penerbangan yang berlainan. Yang pasti di hati masing-masing terbungkam sesuatu yang juga ceritanya hampir sama. Seorang di ambang perceraian dan seorang lagi telah melepasi proses itu. Syukur di sebalik dugaan terpana hasrat untuk mencari kekuatan di bumi yang penuh kerahmatan.

Kedua-dua mereka menjadi tetamu Allah. Bagi insan sejahil aku, tiada saat paling indah kecuali bertelingkuh menghadap Kaabah. Kala itu, tinggalkan segalanya, merasa betapa rapat hubungan antara yang dicipta dengan Sang Pencipta.

A.H, seorang peguam yang memiliki beberapa firma guama. Telah lama kami berkawan. Aku memahami situasi yang dialami. Minggu lepas sewaktu makan tengahari yang secara kebetulan dia ada kes di KL, aku dan kawan-kawan yang lain cuba kuatkan semangatnya untuk terus mempertahankan perkahwinan yang menjangkau 10 tahun.

Dia yang juga rakan sepermainan, sebolehnya cuba menjadi suami yang baik, soleh dan bermaruah. Aku perhatikan sejak berkahwin, kenakalannya semakin berkurang. Paling ketara solat dan penerampilan amat berbeza. Dia yang pandai mengaji dan berzanji sebenarnya menjurus ke arah kehidupan yang lebih baik. Tetapi rintangan yang berlaku menjadi penghadang yang silap perhitungan boleh menguji keimanan.

Malang sekali dengan bungalow, estima dan BMW7 series, itu semua masih belum mampu memberi jaminan yang perkahwinan akan selamat dari badai. Si isteri akhirnya menuntut cerai tanpa ada alasan yang munasabah....

Pada perjumpaan minggu lalu bersama dua rakan kami yang lain, dia cuba menahan kesedihan. Untuk menghiburkan hati A.H menyuarakan kepada kawan aku yang juga seorang banker, untuk tukar BMW7 series ke BMW5 series....Aku dengan kawan aku seorang lagi, pandang memandang satu sama lain. Lie kau ambik kereta aku tu...dan si banker menyamput, aku boleh arrange untuk kau buat loan. Bulan-bulan RM2700. Aku yang tercekik air liur terus menjawab, kalau bulu %&*$# emas bolehlah aku pakai.

Sewaktu blog ini ditulis, A.H telahpun berada di Madinah, beribadatlah sepuas hatimu, pintalah semau hatimu apa yang terbuku. Insya Allah akan termakbul. Aku tahu apa yang engkau lalui dan sebolehnya aku tidak ingin engkau menempuh kesukaran lagi.

Kepada seorang lagi sahabat M.S, yang berlepas pagi tadi, aku sebak sewaktu menaipkan teks sms semasa mengirimkan doa. Aku sedih mengenangkan nasib kau sahabat. Tetapi kau begitu tabah. Kekuatan kau sememangnya luar biasa. Paling menakjubkan kesabaranmu. Terus terang, kau mempunyai kehebatan. Tetapi ketika air mata kau berderai, aku memahami yang kau cuba memamah kepahitan. Adakala kita akrab kerana banyak berkongsi cerita. Paling tidak nasib lelaki yang ditinggalkan.

Pagi tadi juga aku memeluk Aishah dan Emran, 16 dan 14 tahun yang akan menunaikan umrah petang ini. Aku bisikkan jangan lupa doakan uncle dan buatkan umrah untuk arwah ayah ( sepupu aku, Ezral Husin, pegawai tentera meninggal dunia ketika usia 27 tahun ketika dalam latihan untuk dinaikkan pangkat ke mejar, dia meninggal sehari selepas Emran dilahirkan). Berbanding Emran, si kakak, Aishah lebih rapat dengan aku. Dulu kerana keakraban dengan anak yatim, aku menjadi sasaran cemburu. Kini masa menjadi neraca kebenaran, telahan dan rasa ragu Kay hanya mainan. Selain Aishah dan Emran, aku ada lima lagi anak yatim piatu....tidak banyak aku harapkan daripada mereka, cukuplah sedekahkan fatehah bila aku tiada nanti.

Friday, March 5, 2010

Bila Tiada Pekerti

Tidak seperti orang lain, semakin aku berusia, semakin kurang berkawan. Itu pilihan dan itulah keputusan yang termaktub. Biar aku ramai kenal orang tetapi, tidak bermakna aku mudah dirapati. Sejak awal tahun ini, ia semakin ketara. Makan tengahari, minum petang, solat Jumaat dan macam-macam lagi, kini lebih selesa sendirian.

Entahlah, di permulaan usia 40 an, aku semakin serik dengan hari-hari yang berlalu. Penangan si penipu, kata-kata manis dan sandiwara, membulatkan hati. Nyata hari-hari yang silih berganti menyaksikan nasib baik tidak memihak kepada aku.

Wajarkah aku ketepikan keegoan semata-mata untuk menjaga hati orang lain. Perlukah aku menjaga tutur kata dan tingkahlaku di atas nama berbudi bahasa. Adakah itu yang dinamakan pengorbanan? Yakni sentiasa memberi hatta diperlekehkan. Yang merendah sentiasa ditindas dan yang meninggi sentiasa di atas. Adakah ini yang dinamakan fitrah kehidupan?

Di mana musibah untuk dijadikan pengajaran jika diri tidak henti-henti dicari kesalahan. Adakah semakin mendiamkan diri, bertambah galak khabar berita yang dusta? Kudrat ragaku tidak lagi mampu bertahan di atas tujahan ini semua.

Tika diuji dengan nista, adakah yang dilalui ini hamparan mazmumah dalam mencari mahmudah. Berkali ku pujuk diri, akan ada nanti nian yang menerangi jalan. Tetapi filasi itu adakah kebarangkalian.

Tongongkah mereka kerana tidak henti-henti meretus kesabaran orang lain. Bukannya bacul jika aku semakin mendiamkan diri. Jika ada ruang, bertanyalah pada diri kalian, apakah kesudahan fitnah ke atas insan yang cuba mencari jalan pulang.

Bait-bait kata bukannya baja kebaikan, tetapi onar yang menjadi onak. Yang berkudis kian bernanah.

Apakah kelebihan diri menjadi penghalang sehingga aku terus menjadi buah mulut kalian. Jika itu menjadi ukuran, ia adalah anugerah Tuhan. apa yang dilakukan selama ini untuk menyempurnakan tugasan. Malang semalangnya, bila peribadi diserang selepas mereka kekikisan umpatan. Aku cuba ketepikan waham, tetapi itulah mereka tidak akan berhenti mengata.

Sepatutnya mereka yang melagukan kisah aku, bersyukur kerana tidak menempuh dugaan sebegini. Jika perkahwinan aku tidak berkesudahan biarkan saki baki ruang selebihnya untuk mencari rezeki dan membina kerjaya diri. Adakah kalian akan terus menderita selagi tidak melihat kehidupan aku bernoktah? Atau merasa lara jika aku terus berada di sini.

Kepada rakan sebaya yang berpangkat, tidak cukupkah keburukan aku ditambah untuk kalian mendapat perhatian dan kedudukan? Kepada si marhain yang berselera besar dan perempuan yang terperangkap dalam jasad lelaki (maknanya si pondan), mulut kalian amat busuk. Karma tidak pernah dusta, sama ada pengajaran atau pembalasan akan tiba kecelakaan sebagai imbuhan kejahatan.

Friday, February 26, 2010

Makang Sarok

Berbeza dengan negeri-negeri lain, kemewahan sumber laut menjadikan Terengganu kaya dengan pelbagai makanan berasaskan ikan. Kawan aku dari NTV7 yang lama tinggal di luar negara, ke Terengganu pada cuti Tahun Baru Cina, terkejut badak bila lihat orang Terengganu makan ikan, sebagai snek minum petang. Ikang Celup Tepung memang menjadi juadah biasa. Itu tidak kira kherpok gondel (idgham kena betul)pais, sata, otok-otok dan sarok.

Tidak seperti kherpok gondel, pais, sata otok dan sarok menggunakan rempah ratus dan dicampur dengan kelapa muda. Cara penyediaannya juga berbeza. Pais, sata dan otok-otok dibakar. Tetapi sarok berlainan kerana ia dikukus.

Sarok ada dua jenis. Sarok ikang dan sarok lade.

Dulu di masa 708 berada di kemuncak, kerja Che Jah dan anak dia, Che Nik giling rempah. Tetapi di kebanyakan masa nenek aku akan buat sendiri. Alasannya, air tangan tidak akan sama.

Itu cerita dulu. Sekarang hendak makan sarok memang payah. Jenuh aku bertanya dengan keluarga yang lain, masalahnya mereka juga sama dengan aku. Zaman dulu-dulu ada tukang masak. Jadi mereka tidak ambil kisah sangat, bila nak makan tau arah aja.

Puas mencari, akhirnya aku mendapat resepi dari keluarga aku yang berusia. Syukur sekurang-kurangnya ia tidak pupus. Tidak seperti resepi sayur che' bek (sayur keladi yang dimasak dengan isi ikan panggang dan udang kertas)gulai ikang duri, apam kuoh(apam beras warna perang dan dimakan dengan kuah ikan yang dicampur kelapa muda), ti sok me, taming sari, che abbas demam, colek telur dan banyak lagi...semuanya pergi tanpa dicatatkan.

Kehebatan Wan memasak memang superb, kerana Wan mula ke dapur seawal usia 7 tahun. Selepas emak kandung meninggal dunia dan moyang aku kahwin lain, Wan dihantar ke rumah datuknya, Engku Kelana Terengganu @ Tok Ku Tuan Nanung di Chabang Tiga. Di situ Wan belajar memasak selain mendapat pendidikan agama. Itu cerita 85 tahun dulu. Setiap kali teringin makan yang sedap, aku terbayangkan Wan. Walaupun telah meninggal dunia 9 tahun lalu, aku tidak pernah merasa jauh dengan Wan.

"Nanti bila Wan meninggal jangan bagi kubur tumbuh lalang".

Amanat itu aku tunaikan sampai sekarang. Setiap kali pulang, aku bertelingkoh di tepi kubur. Sambil membaca fatehah aku bersihkan rumput di sekeliling kandang. Semasa arwah hidup, aku bersyukur kerana diberi peluang menemani Wan di saat dia kesepian dan di ketika itu aku menjadi pelarian dek masalah hidup.

Sebenarnya semalam aku bermimpikan Wan dan itu sebenarnya mendorong aku buat Sarok.







Campurkan isi 5 ekor ikang kembung, sebutir nyior mude, 7 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, seinci lengkuas, 2 sudu ketumbar, sesudu jintan manis dan sesudu jintan putih Lepaskan kita mulakan senaman.




Pertama kali menggunakan batu giling(jumpa semasa 708 telah dirobohkan). Berpeluh dan berjeluah (berkecah). Yang penting aku mendapat hasil yang memuaskan. Che' Ngah Mek tidak bagi pakai blender. Katanya nanti sarak khersal(rasa berpasir kerana kelapa mudah payah lumat)


Campurkan cili, asam jawa, garam, gula kabung@ gula melaka, daun kesum dan belacan. Kombinasi rasa mesti sama ada pedas, masin, masam dan manis.



Selepas gaul dengan sebati, macama ini rupa sarok yang belum dikukus. Dulu masa kecik-kecik aku suka makan mentah. Selalu kena marah sebab suka cepelak (curi makan @ ambil makan dengan cara sembunyi-sembunyi)

Lepas tu kukus dalam 15 minit. Sewaktu hantar rumah kakak aku, dia kata dah lama aku nak makan tapi tak tahu nak cari kat mana. Ni kau beli kat mana? Aku cakap aku buat, kakak aku terkujap.