Thursday, June 17, 2010

Kembali Semula

Lama sekali blog ini ditinggalkan. Tetapi ia tidak bermakna, ia disisihkan. Sebolehnya aku tidak ingin menggunakan masa sebagai kekangan. Masa tetap ada, cuma kudrat akal dan jasad amat terhad. Sepanjang tiga bulan lalu, banyak sekali kisah yang boleh dimadah. Semoga apa yang cita terlaksana.

Perjalanan selama 18 hari ke City of Angel, yang kemudian menjadi medan berdarah perlu dikisahkan. Di sebalik kesibukan di siang hari, masih ada masa untuk bercengkerama. Tetapi bukan dengan kupu-kupu malam. Kunjungan ke Bangkok kali ini, menemukan semula dengan ARO. Ia sesuatu yang menyentuh perasaan selepas berbelas tahun kami membawa diri.

Di malam hari juga aku aktif berchatting, sesuatu yang luar biasa berbanding sebelum ini. Ketika itu, aku disapa Tg Ismail Tg Su, cicit almarhum Sultan Zainal Abidin Ketiga. Dia yang aku panggil Ayahku mengingatkan aku tentang perkahwinan Cha Choam Sufiah atau Tengku Sufiah dengan Raja Mongkut, pada 1857. Dia yang juga bonda saudara Sultan Zainal Abidin menjadi korban percaturan politik.

Ketika itu, Tengku Sufiah mengikuti kekandanya, Sultan Mahmud Riau-Lingga yang diturunkan takhta oleh Belanda. Dia cuba mencari pengaruh Siam untuk kembali berkuasa. Nasib malang menimpa Tengku Safiah apabila kejelitaannya dipandang Mongkut. Dia menjadi salah seorang daripada berbelas gundik Raja Siam.

Cerita yang disampaikan kepada kami, perkahwinan itu tidak melahirkan sebarang zuriat. Tengku Safiah ke Terengganu selepas Mongkut mangkat. Dia akhirnya dikahwinkan sekali lagi dengan Ku Din Molek @ Ku Din Comel, seorang kaki perempuan di zamannya. Perangai Ku Din yang keterlaluan menyebabkan Sultan Zainal Abidin mengarahkan supaya bapa sepupunya dibunuh.

Generasi lama keluarga diraja Terengganu dan Riau-Lingga menyimpan versi tersendiri mengenai Tengku Safiah. Ia satu kisah tragis sebagaimana nasib yang menimpa Sultan Mahmud Lingga yang kemudian mangkat di Pekan, Pahang.

Bandaraya Bangkok bukan asing bagi kami. Sesekali bila bertandang, aku cuba membayangkan generasi lama kami pernah berada di situ. Sama ada dari jurai Pattani atau Riau Lingga. Kedua elemen itu, aku warisi dari sebelah Tok Ki.

Banyak sekali cerita mengenai Bangkok. Aku percaya tanpa hikayat malam, banyak lagi kisah menarik dipaparkan.

3 comments:

  1. bestnya cerita ni razali, tulis lagi kisah-kisah macam ni....

    Lama betui hilangnye

    ReplyDelete
  2. salam saudara razali,can u pls contact me at 0123505333 boleh kita berbincang mengenai engku besar tanjung tq wassalam

    ReplyDelete
  3. pls read my blog"bendahara zamin eran"

    ReplyDelete